Selamat Datang Ke Laman Web Konfess Buku
Ulasan Buku : Melayu Ke Bulan

Ulasan Buku : Melayu Ke Bulan

Tiga cara untuk melemahkan dan menjajah sesebuah negara :
1. Kaburkan sejarahnya.
2. Hancurkan bukti-bukti sejarah bangsa sesebuah negara itu sehingga tidak boleh dibuktikan kebenarannya.
3. Gantikan hubungan asal usul mereka dengan sikap bodoh dan primitif. Mereka akan malu untuk mengakuinya.

Buku ini jika digandingkan dengan buku Jangan Selewengkan Sejarah Tanah Melayu terbitan The Patriots pasti akan menjadi pemecah kepada inferiority complex yang dialami bangsa Melayu sejak berkurun lamanya.Melayu malas, Melayu mudah lupa. Dua slogan retorik yang sangat sinonim dengan orang Melayu. Inferiority complex akan menyatakan ianya sebagai sebuah kebenaran sedangkan sikap malas dan mudah lupa adalah dua sifat yang tidak seharusnya menjadi milik sesuatu kaum, sebaliknya ia bersifat individu.Meskipun buku ini ditulis pada 2015, isi dan segala perkongsian yang ditulis masih relevan sehingga ke hari ini. Penulis berjaya menyentuh pelbagai aspek kehidupan, baik ekonomi mahupun politik semasa. Beliau juga berjaya mengeluarkan solusi dari setiap kritikan yang telah ditulis.

“Sehingga ke hari ini, aku dah pergi hampir 11 buah negara Barat. Mereka maju dari segi tamadun fizikal tetapi mundur dari segi tamadun rohani dan jiwa manusia. Sistem politik sekular-liberalisme mengakar dari falsafah Christendom yang mengatur kehidupan bermasyarakat tamadun Barat adalah satu sistem yang gagal dalam menyemai roh kehidupan ke dalam jiwa-jiwa manusia. Manusia dituhankan dan Tuhan dimanusiakan.”

Penulis memberi persoalan, atas sebab apa kita boleh bermudah dalam menjustifikasi sesebuah negara Barat ini lebih Islam dari negara Islam itu sendiri? Adakah kerana urus tadbir negara yang baik sahaja? Ke mana perginya unsur ketuhanan? Nilai Rabbani yang menjadi asas kepada pembentukan sebuah negara tauhid seharusnya menjadi kayu ukur utama dalam memberi penilaian kepada sesebuah negara Islam. Mengunyah prinsip-prinsip politik Barat lalu menterjemahkannya ke dalam kehidupan bermasyarakat di Malaysia adalah sesuatu kaedah yang menjamah diri kembali kepada kebinasaan.Penulis turut menyentuh isu salah faham berkaitan tafsiran ‘la ikraha fiddin’.

Di dalam buku Pemikiran Islam Liberal tulisan Dr Ugi Suharto, beliau menukilkan bahawasanya Islam mengakui adanya religous plurality (dalam erti menerima perbezaan agama dan budaya dalam kehidupan bermasyarakat) tetapi menolak religous pluarism (yang menyamakan semua agama. Prinsip ‘lakum dinukum waliyadin’ dan ‘la ikraha fiddin’ menjadi teras utama toleransi dan kerukunan beragama dalam Islam. Prinsip ini pada dasarnya menerima adanya perbezaan agama dari segi akidah dan keyakinan masing-masing.

Syeikh Ramadhan Al-Buthy turut menulis di dalam Fiqh Sirah, Allah telah menjadikan kesucian agama dan akidah itu lebih daripada yang lain. Tidak ada ertinya bagi tanah, negara, kekayaan, pangkat dan harta sekiranya aqidah dan syiar gama terancam, musnah dan dimusuhi. Oleh yang demikian, Allah mewajibkan ke atas setiap hambanya agar mengorbankan segala-galanya sekiranya keadaan memaksa demi kepentingan aqidah dan Islam.

Bukan itu sahaja, bahkan norma-norma masyarakat (budaya, jati diri, agama) akan diliberalisasikan sehingga mereka menjadi masyarakat yang tiada identiti. Inilah yang dimahukan oleh pihak musuh. Projek globalisasi ini disebut dengan pelbagai istilah seperti penjajahan budaya, penjajahan media, pembersihan budaya, kebergantungan budaya dan penjajahan elekrtronik digunakan untuk menjelaskan kebudayaan global baru. Tidak lain dan tidak bukan, agenda utamanya ialah mengeluarkan umat Islam dari agama mereka. Apabila keperibadian kita berubah, maka pemikiran kita akan berubah. Apabila pemikiran kita berubah, neraca penilaian kita akan rosak dan bercampur baur. Apabila nilai telah rosak maka mudahlah musuh menguasai sesuatu bangsa.

Proses pembinaan jiwa dan akal umat ini harus dilakukan segera. Ianya bermula dari merawat jiwa yang sakit.Saya begitu kagum dengan perkaitan yang dibuat oleh penulis tentang Melayu dan Islam. Oleh sebab itu jugalah keseluruhan ulasan hanya berkait dengan Melayu-Islam. Di dalam buku ini juga, penulis berjaya membawa para pembaca kembali meneroka kegemilangan tamadun Melayu yang telah berjaya disembunyikan oleh musuhnya. Malah, penulis juga turut menyatakan beberapa ancaman yang dirancang dalam diam oleh mereka yang menganggap kita sebagai musuh.

Secara umumnya, Melayu Ke Bulan adalah satu realiti yang perlu diketahui oleh setiap umat Islam terutamanya yang berbangsa Melayu. Ayuhlah bersatu wahai umat Islam. Bukankah Saidina Umar pernah berkata, kebatilan yang terancang, mampu menghalang kebenaran yang tidak tersusun?


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca