Ulasan Buku : Buya Hamka Berbicara Tentang Perempuan

Nama buku: Buya Hamka Berbicara Tentang Perempuan

Penulis: Buya Hamka

Muka surat: 164

Penerbit: Jejak Tarbiah

Tahun terbit: 2021

Cetakan: Ketiga

Karya Buya Hamka sentiasa menjadi sorotan dalam kalangan pembaca-pembaca tegar yang sangat meminati keseluruhan karangan beliau. Buya Hamka cukup dikenali sebagai pujangga yang sangat arif malahan bijaksana dalam melontarkan kata-kata yang puitis.

Judul buku Berbicara Tentang Perempuan merupakan sebuah karya Buya Hamka yang membincangkan keseluruhan berkaitan keunggulan wanita muslimah termasuklah peranan beserta kemuliaan wanita yang diangkat mengikut necara Islam.

Karya ini sekali gus bertindak sebagai pembelaan ke atas hak-hak wanita yang seharusnya dijaga dan dipertahankan daripada dijajah oleh pemikiran-pemikiran barat yang merosakkan. Membersihkan nama baik wanita yang pernah menjadi mangsa pembunuhan di zaman jahiliyyah.

Sejak zaman dahulu, wanita menjadi pembantu setia dalam menggubal tanggungjawab terhadap perkembangan agama yang disebarluaskan oleh Nabi Muhammad SAW. Bererti, peranan wanita amat diperlukan tanpa menolak kewujudan mereka ini dalam pelbagai bidang yang ditawarkan.

Jika dilihat sejarah para sahabat wanita dan isteri-isteri baginda, mereka mengambil tempat sebagai wanita yang turut serta memulihkan kegelisahan sang suami. Ambil contoh kisah Khadijah RHA. Beliau bukan sekadar ahli perniagaan yang berjaya tetapi juga seorang wanita yang handal memecahkan kebimbangan baginda SAW.

Suami pula menjadi benteng memagari tekanan yang dihunuskan berlebih-lebihan oleh para isteri. Dalam ketegangan rumah tangga yang dihuni oleh poligami juga, berlakunya kecemburuan dalam kalangan para isteri Rasulullah SAW. Namun, baginda SAW cerdik dalam mengawal keadaan daripada berubah dan bertukar menjadi kucar kacir.

Buya Hamka mengupas secara terperinci dan cuba membahaskan, lalu menyedarkan kepada seluruh masyarakat mengenai kepentingan wanita yang tidak boleh diabaikan sama sekali.

Daripada tangan wanita yang mulus ini, lahirlah pelbagai sumbangan yang telah menjadikan sesebuah negara mencapai kemajuan yang besar. Kehebatan intelektual dan ketinggian ilmu yang diraih, telah membentuk generasi bijak pandai.

Melalui karya ini, Buya Hamka membawakan rujukan al-Quran dan hadis sebagai penyokong ketat terhadap pernyataan yang melibatkan isu-isu wanita secara detil dan padat.

Namun, berlaku sedikit penambah baikan apabila penerbit buku ini mengambil inisiatif terbaik dengan merumuskan nota kaki terhadap hadis-hadis yang diragui status keshahihannya yang telah dimasukkan oleh Buya Hamka.

Menilai keabsahan dan kebenaran sesuatu hadis bukanlah kepakaran bagi Buya Hamka sebenarnya. Walau bagaimanapun, ini tidak menyebabkan sesetengah pandangan penulis ditolak secara mentah-mentah, kerana hal-hal yang diperjuangkan oleh Buya Hamka sangat releven meskipun telah melewati peredaran zaman yang bersilih ganti.

Dengan menghadam enam belas bab yang terkandung, pembaca akan menyaksikan sendiri kedudukan wanita yang mendapat pengiktirafan di sisi Islam. Jauh sekali menenggelamkan kepimpinan seorang wanita meskipun, lelaki mengatasinya dari segi menjadi ketua dalam institusi keluarga.

Kehadiran tokoh-tokoh wanita yang menjadi sandaran utama bagi semua wanita, menunjukkan bahawa terdapat keistimewaan yang perlu diteladani agar mampu mencipta peribadi yang baik dan dihormati.

Kekerasan yang berlaku dalam rumah tangga yang telah lama dikenderai bersama pasangan sejiwa wajar dihindari kerana Islam amat menyantuni wanita dengan kelembutan. Justeru itu, Buya Hamka menasihati pasangan suami dan isteri agar memperhalusi serta mengatur hubungan halal ini dengan menerapkan nilai-nilai kecintaan tanpa perlu bersikap baran kerana tindakan ini tidak mampu mendatangkan kebahagiaan yang berpanjangan.

Karya ini menghimpunkan mesej terbesar betapa wanita adalah pelengkap kepada hidup lelaki dan melayani mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana ibu yang mendapat cinta percuma daripada anak-anak.

Wanita bukanlah insan yang lemah, namun ada ketikanya mereka tewas dalam mengalahkan emosi dan perasaan. Inilah yang turut diperbualkan oleh penulis sendiri, betapa lelaki perlu belajar menghilangkan derita wanita, bukan mengangkat tangan ataupun mengasari wanita.

Konklusinya, membaca karya bestseller karangan Pak Buya Hamka ini akan membuatkan kita lebih menghargai para wanita yang banyak menurunkan jasa. Kitab Al-Quran justeru memperakui martabat wanita sebagai makhluk yang istimewa. Buku ini adalah terjemahan edisi bahasa melayu yang diterbitkan oleh Jejak Tarbiah dan diambil daripada judul asli penulis, Kedudukan Wanita Dalam Islam.

Kata Buya Hamka,

“Mereka dipandang sebagai bahagian yang sama penting dengan laki-laki dalam memikul tanggungjawab beragama, mengukuhkan akidah dan ibadat, sehingga timbullah harga diri yang setinggi-tingginya pada mereka, timbul ilham perjuangan.” Buya Hamka Berbicara Tentang Perempuan, hal. 20.

Selamat membaca.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Syuhara Suriati
Syuhara Suriati

Penulis artikel, antologi dan anekdot.🌷Isteri suri membaca dan menulis 🌷

Articles: 67