Selamat Datang Ke Laman Web Konfess Buku
Ulasan Buku : Memoir Shamsiah Fakeh – Dari AWAS ke Rejimen ke-10

Ulasan Buku : Memoir Shamsiah Fakeh – Dari AWAS ke Rejimen ke-10

Judul: Memoir Shamsiah Fakeh: Dari Awas ke Rejimen Ke-10
Pengarang: Shamsiah Fakeh
Penerbit (Edisi Baru): SIDC, Cetakan Pertama 2007; Cetakan Kedua 2014.
Penerbit (Kali Pertama diterbitkan): Penerbitan UKM, 2004.
Muka Surat: 142 halaman
ISBN: 978-983-3782-32-1

Sebut nama Shamsiah Fakeh berkemungkinan ramai anak-anak muda hari ini tidak mengenalinya, apatah lagi dapat mengaitkan beliau dalam perjuangan membebaskan tanah air. Buku ini menceritakan kisah hidup seorang srikandi pejuang kiri Melayu, Shamsiah Fakeh. Memoir ini merakamkan suatu peristiwa dari sudut yang jarang didengar oleh masyarakat.

Pada awal tahun 2017, saya telah terbaca sebuah keratan artikel wanita pejuang kemerdekaan Tanah Melayu. Antara nama yang dituliskan ialah Shamsiah Fakeh. Dan, ketika saya ke sebuah café buku baru-baru ini, saya telah ditemukan dengan buku ini. Saya nekad mahu mencari senaskhah yang sama untuk simpanan sendiri, dan akhirnya saya beli buku judul ini secara atas talian dengan harga RM 30. Membaca memoir ini kira-kira mengambil masa dalam beberapa hari sahaja.

Jadi, siapakah Shamsiah Fakeh? Setelah membaca memoir ini, dapatlah kiranya saya mengenali dengan lebih dekat akan cerita perjuangannya. Shamsiah telah dilahirkan pada tahun 1924 di Kampung Gemuruh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Dan, beliau telah meninggal dunia pada 20 Oktober 2008. Beliau adalah anak kedua dari lapan orang adik-beradik seibu sebapa dan mempunyai dua kakak saudara perempuan sebapa. Shamsiah menceritakan pada awal memoir tentang latar diri dan keluarganya. Beliau dilahirkan dari keluarga yang miskin dan bukan dari kalangan keluarga berpendidikan tinggi. Pada umurnya 24 tahun, beliau telah melarikan diri ke dalam hutan untuk turut sama menentang penjajahan British untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu. Pada bab 3 (muka surat 23), ada diceritakan pada ketika Jepun menakluki kawasan, Shamsiah sendiri masih buta politik. Sesudahnya tamat Perang Dunia Kedua dan Jepun sudah berundur barulah beliau sering mengikuti  pertemuan gerakan parti politik dan semangatnya memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu meluap-luap.

Shamsiah juga menukilkan kisah tentang perkahwinannya. Beliau telah berkahwin sebanyak lima kali. Perkahwinan pertama dan kedua berlaku sebelum beliau bergiat aktif dalam politik. Pada tahun 1941, beliau telah berkahwin dengan Yasin Kina dan dikurniakan dua orang anak, Noraini dan Abdul Munir. Pada tahun 1944, beliau berkahwin pula dengan Rusdi, Cuma bertahan selama lima bulan sahaja. Penceraiannya untuk kedua-dua perkahwinannya ini tidak mengikut aturan agama yang betul. Perkahwinan yang ketiga adalah dengan Ahmad Boestamam. Dalam majalah Dewan Masyarakat Jun 1991, ada dituliskan tentang perkahwinan ini,

“Inilah pernikahan paling sensasi dalam perjuangan nasionalisme Melayu. Boestamam dan Shamsiah – ketua API dan ketua AWAS, sama padan sama gagah.” (muka surat 41).

Shamsiah juga telah menjadi madu kepada isteri pertama Ahmad Boestamam, Rabitah. Mereka berdua mempunyai hubungan yang baik dan sama-sama rakan perjuangan. Tidak lama kemudian, Shamsiah dan Ahmad Boestamam berpisah. Pada tahun 1948, Shamsiah bernikah pula dengan Wahi Anuwar dan berpisah kerana dikatakan bahawa Wahi Anuwar telah menyerahkan diri kepada penjajah British. Hasil perkahwinan dengan Wahi Anuwar dikurniakan seorang anak lelaki dan kisah anaknya ini dibunuh ada diceritakan juga. Perkahwinan terakhirnya adalah dengan Ibrahim Mohamad pada 1 Jun 1956 dan dikurniakan tiga orang anak Shamsuddin, Kamaruddin, dan Jamaluddin.

Nama Shamsiah disebut dan digambarkan wajah seorang pengganas yang pernah terlibat bersama Partai Komunis Malaya (PKM) satu ketika dahulu sehingga mencetuskan huru-hara dalam negara. Shamsiah menjadi ketua Angkatan Wanita Sedar (AWAS) menggantikan Tan Sri Dr. Aishah Gani yang meninggalkan AWAS untuk menyertai UMNO. Sekitar tahun 1945, banyak parti politik melayu yang lahir ketika itu, seperti Persatuan Kebangsaan Melayu Muda (PKMM), United Malays National Organisation (UMNO) atau singkatan melayunya PEKEMBAR, Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Angkatan Pemuda Insaf (API) merupakan suatu sayap PKMM. PKMM dikatakan sebagai parti berhaluan kiri. Ahlinya sering ditangkap, dipenjara dan dihukum gantung oleh British. Parti-parti berhaluan kiri melayu kemudiannya menubuhkan suatu pakatan di namakan Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA). Melalui memoir ini, Shamsiah ada menerangkan tentang tuduhan tentang kematian anaknya. Tuduhan yang dikenakan itu adalah tuduhan jahat kerana beliau tidak membunuh anaknya (anak hasil perkahwinan bersama Wahi Anuwar). Sebenarnya, selepas tiga tahun kemudian baru beliau dapat tahu dari Musa Ahmad (ahli tertinggi Rejimen ke-10) bahawa anaknya itu telah dibunuh oleh tiga orang anggota PKM, bukannya diserahkan kepada penduduk kampung untuk dipelihara. Amat mendukacitakan, Musa Ahmad sendiri membuat spekulasi kepada wartawan bahawa Shamsiah telah membaling anaknya ke sungai. Kenyataan ini tidak benar, kerana membaca memoir ini sendiri ada diceritakan pahit getir kisah beliau sesat di dalam hutan dan menyelamatkan anaknya ketika diserang.

“…ada masanya badan anakku itu telah digigit oleh pacat sampai 20 ekor. aku membuang pacat itu seekor demi seekor yang sudah kenyang makan darah anakku…”

Shamsiah ada memetik beberapa kata dari buku berjudul 25 Tahun Merdeka, hasil tulisan veteran UMNO Tan Sri Datuk Abdul Samad Idris dalam usaha menerangkan tentang perjuangannya. Setelah membaca memoir ini, akan dapati Shamsiah mempertahankan parti-parti berhaluan kiri tanpa mengecam pergerakan UMNO. Kerana padanya, masing-masing mempunyai tujuan yang sama memperjuangkan kemerdekaan tanah air. Shamsiah telah mengorbankan jiwa dan raga untuk memerdekakan Malaya mengikut caranya yang tersendiri. Selepas terpisah dari PKM, beliau terus berada di China menyambung hidup dengan bekerja di kilang besi. Pada 23 Julai 1994 (muka surat 130), beliau sekeluarga kembali ke Malaysia dan menghabiskan sisa usia tuanya di sini.

Langkah menerbitkan buku ini seharusnya dipuji demi mendapatkan gambaran sejarah yang sebenar dari kaca mata pejuang sendiri. Sumbangan beliau dan rakan-rakannya akan tetap berada di lipatan sejarah. Memoir ini juga boleh dijadikan sebagai teladan kepada wanita-wanita, mahasiswi-mahasiswi, aktivis-aktivis kerana memuatkan kisah seorang wanita berjiwa cekal bernama Shamsiah Fakeh. Membaca memoir nasionalis-nasionalis berhaluan kanan dan kiri dapat meningkatkan pemahaman kita terhadap perjuangan mendapatkan kemerdekaan. Memetik dari prakata buku ini (muka surat 12),

“Sebenarnya aku bukanlah pemimpin wanita Parti Komunis Malaya atau seorang tokoh wanita yang terkemuka. Aku hanya seorang pejuang wanita yang berjuang melawan British untuk kemerdekaan tanahair dan untuk emansipasi (kebebasan) wanita.”

Shamsiah Fakeh adalah simbol wanita Melayu yang bersemangat jitu, hebat dan optimis.

Diulas oleh Maizatul Farhain Binti Ismail


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca