Tajuk: Juara.

Penulis: S. Othman Kelantan.

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Tahun Penerbitan: 2019.

Jumlah Halaman: 157 muka surat.

Kategori: Novel, Sosial & Motivasi

“Kejayaan dalam berjuang umpama kenikmatan yang ajaib terbangun dalam detak dada seorang pejuang. Hanya pemberani yang berjiwa sang wira saja yang mampu menjadi serikandi di ranah rantau”.

Inilah suatu kata yang mampu saya adaptasikan buat mengintrospeksikan karya tersohor S. Othman Kelantan yang berjudul ‘Juara’. Hakikatnya, nama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku penerbit yang tidak dinafikan kemegahannya di Malaysia sudah berupaya memaut tambatan hati untuk menghadamkan buku ini. Inikan pula sebaris nama penulis yang tinggi nilai kemasyhurannya pada paparan media cetak dan elektronik. Faktanya pula, sebuah naskah setebal 157 halaman ini telah memadatkan intipati yang penuh dengan kemaslahatan buat seorang bibliofil seperti saya dan para pembaca yang lain. Melunasi karya seorang sasterawan negara ini telah  berjaya memacu variasi sifat yang unggul dalam mengemudi kehidupan yang penuh dengan tribulasi ini. Selain itu, kronologi kisah yang dihidangkan menerusi karya ‘Juara’ turut menzahirkan rasa inkuiri yang membuak-buak umpama air yang tidak dapat diempang. Maka sewajarnya ia dikongsikan dalam risensi ringkas mengenai nilai kebaikan untuk diteladani oleh semua generasi alaf baru kini.

            Sesunggunya S. Othman Kelantan telah membawakan Mamat sebagai watak utama yang sarat dengan karakter yang sang juara, selayaknya judul karya ini yang mana harus dimiliki oleh seorang manusia. Meskipun kedapatan serba sedikit kekurangan dalam soal mata pencarian Mamat selaku penjudi, namun masih banyak sudut penting yang positif yang dapat dicontohi dari akhlak yang dipamerkan oleh Mamat.  Falsafah hidup Mantan Ahli Politik ini menjadi tunjang cerita. Meskipun Mamat pernah kandas dalam mengekalkan tapak namanya dalam arena politik di Kelantan pasca kemerdekaan yang lalu, namun kegagalan ini tidak merebahkan dirinya untuk menjadi juara dalam perlagaan lembu. Kata-kata puitis yang serasi disandarkan kepada Mamat ialah, ‘daun yang gugur tidak pernah membenci angin’. Ini kerana kekalahan berulang yang menyinggah dalam perjuangannya sewaktu aktif dalam parti politik tidak menjadikan seorang Mamat berputus asa dan lemah dengan masa lalunya. Bahkan pengalaman inilah yang berkembang menjadi mata air inspirasi sehinggakan kejayaan berganda mengiringi langkah Mamat dalam perlagaan lembu di Selatan Siam.

            Keperibadian Mamat yang ditonjolkan pada peringkat prolog dan klimaks cerita telah menjawab telahan saya mengenai tajuk karya ini iaitu ‘Juara’. Mamat yang merupakan ketua keluarga turut berjaya menjuarai dan memenangi hati seisi keluarganya dengan mengangkat sikap degil dalam mengecapi impian yang ingin dituju sehingga terbukti jaya pada kesudahan usahanya. Manakan tidak dua ekor lembu yang disinonimkan dengan gelaran ‘Calet’ dan ‘Aral’ berjaya dalam pertarungan sengit di lapangan perlagaan lembu. Ternyata kondisi anggota badan yang masih dilanda sakit dan lesu tidak menjadi benteng penghalang untuk Mamat menyertai pertempuran antara Aral dan Nibung, malahan kerana kehadiran Mamatlah, seekor lembu bertanduk cakah itu dinobatkan sebagai juara. Pengajaran signifikan yang dapat dipetik daripada plot cerita ini ialah dengan tidak berdalih atas paksi kesakitan dan kesukaran demi merealisasikan sebuah cita-cita kerana tingkat kesulitan itulah yang menentukan darjat kejayaan seseorang. Kian mendaki puncak getir dalam derap usaha, maka makin lumayan juga hasilnya dan begitulah sebaliknya.

Benarlah suatu pernyataan yang mengatakan bahawa, “Hanya kesetiaan cinta yang murup subur sahaja yang menjadi nadi kekuatan manusia”.  Sifat setia dan mendamaikan pasangan yang dizahirkan oleh Minah dalam mengekalkan kerukunan rumahtangga patut dipuji. Mamat menyifatkan sang isteri sebagai tonggak teguh kekuatannya, baik dalam berpolitik mahupun dalam perlagaan lembu. Benih sayang yang tidak berbelah bahagi antara merekalah yang berjaya mencipta keharmonian saban hari. Berkisar mengenai kejituan ukhwah yang tersemai dalam keluarga Mamat, ia turut meresap dalam persahabatan antara Mamat dan pengikut setianya atau boleh diangkat sebagai sahabat-sahabat Mamat yakni Jali, Mat San dan Sani. Tanpa pertolongan Jali, sudah tentu jasad Mamat sudah terburai dek kegilaan lembu Aral akibat mabuk. Kisah ini menjadi teladan kepada masyarakat agar memunggar rasa cinta yang telus sesama keluarga dan sahabat kerana dengan demikian sahajalah corak kehidupan akan menjadi lebih bermakna dan berharga.

            “Pentas layar kompetensi antara manusia hanya menempatkan insan berilmu dan memiliki banyak pengiktirafan dalam bentuk sijil”, demikianlah olahan daripada monolog hati seorang bapa kepada empat orang anak yakni Mamat. Meskipun trivia akademik Mamat hanya pada peringkat darjah dua sahaja, namun Mamat tetap meletakkan ketinggian martabat pelajaran untuk diambil serius oleh anak bongsunya Jusoh. Menurut hemat Mamat, hanya ketinggian ilmu yang akan menambahbaikkan posisi seorang insan di mata sosial. Dengan kesedaran inilah, Mamat sering mengambil inisiatif untuk menasihati anaknya yang masih di bangku persekolahan agar menggalas tanggungjawab mencerdaskan minda demi meninggikan maruah diri di kemudian hari. Meskipun Mamat, isterinya dan kakak-kakak Jusoh tidak menyambung pengajian yang lebih tinggi, Jusoh tetap diarahkan untuk sentiasa berusaha dalam perjuangan ilmu dan cita-cita. Pesanan ini merupakan azimat yang tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas kerana sejak zaman berzaman anak nusa perlu sentiasa diingatkan perihal amanat untuk memandaikan diri sendiri dengan penguasaan maklumat kerana hanya dengan pemerkasaan ilmu sajalah harakat peradaban bangsa juga akan menjadi terbilang dalam lipatan sejarah.

            Elemen lain yang turut disajikan dalam novel ini ialah mengenai dendam kesumat yang akhirnya menyemadikan banyak nyawa ke liang lahad. Perasaan hasad dengki akan kemenangan yang menjadi takdir pihak lawan telah menjadi kudis yang menyelinap dalam sanubari kedua-dua puak. Bahkan pergolakan yang meletus tidak diklasifikasikan sebagai perselisihan faham yang biasa kerana ia memperjudikan antara hidup dan mati. Percaturan dendam yang dibalas dendam antara Mamat dan Pak Isa akhirnya membawa kepada peleraian yang digeruni oleh pembaca naskhah ini. Kepincangan dalam menguruskan emosi dan mencerakinkan solusi yang paling munasabah tatkala berdepan dengan musibah merupakan antara pengajaran paling signifikan yang cuba disampaikan oleh S. Otman Kelantan. Sekiranya seseorang itu menjadikan nafsu dan amarah sebagai pengemudi akal dan hatinya, maka celakalah jasadnya. Tamsilan yang nyata adalah watak antagonis yang disandang oleh Pak Isa yang bertindak atas hasutan dendam dengan membunuh seorang yang digelar pahlawan lembu iaitu Pak Lazim.

Epilog kisah membenarkan asumsi bahawa yang tergadai nyawa adalah Pak Isa sendiri. Oleh yang demikian, buanglah kekeruhan dalam menjalinkan ikatan sosialisasi sesama manusia agar perpecahan yang berlaku dapat diselamatkan dengan kata-kata kemaafan dan nilai muhibbah yang utuh antara pihak yang bertelagah. Bukahkan nyawa Pak Isa dapat diselamatkan seandainya kesat dan kelumat hati di antara Mamat dan Pak Isi dicairkan dengan perdamaian?  Akhirulkalam daripada novel ini adalah ianya sangat wajar dihadam dan dihayati oleh sesiapa sahaja kerana nilai murni yang ditonjolkan daripada setiap karakter yang berbeza peringkat umur, baik berstatus pelajar sekolah, para isteri dan lelaki berusia separuh abad hayatnya. Jadilah sang juara pada diri sendiri, bukan untuk bersaing sesama yang lain. Akan tetapi cuma bersaing dengan masa lalu agar menjadi lebih baik berbanding diri sendiri  sewaktu kejahilan yang terdahulu.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


.Atiqah Abd Rahim.
.Atiqah Abd Rahim.

Penuntut UKM Bangi, jurusan Usuluddin & Falsafah.

Articles: 20