Selamat Datang Ke Laman Web Konfess Buku
Ulasan Buku : Anak-Anak Karen

Ulasan Buku : Anak-Anak Karen

Peperangan. Itulah perkataan tunggal yang dapat digunakan bagi membuat konklusi ke mana hala tuju penceritaan buku ini. Sebuah buku yang sarat dengan mesej perjuangan membebaskan tanah air dan diri sendiri daripada terus dijajah dan terkongkong daripada akibat keluarnya penjajah British daripada tanah Burma. Satu aspek penceritaan berdasarkan sejarah cuba diselitkan oleh penulis yang dikatakan menulis buku ini berdasarkan pengalamannya sendiri ketika hidup sebagai orang tidak berwarganegara di Malaysia. Insan yang berasal dari Thailand ini, pada pendapat aku, berjaya melakar lukisan kisah tentang jerit-perit beberapa etnik yang cuba membebaskan etnik sendiri biar darah dan nyawa menjadi taruhan.

Daripada kulit dan tajuk buku ini, tergambar jelas bahawa cerita ini bukan sekadar cerita pahlawan dewasa, akan tetapi, kisah ini lebih ingin menonjolkan pembawaan kisah perjuangan kanak-kanak. Kanak-kanak yang sudah kenal erti kebebasan yang dicari. Kanak-kanak yang berimpian mengubah nasib keluarga dan kawan-kawan. Kanak-kanak dan remaja belasan tahun yang terpaksa mengotorkan tangan mengangkat senjata demi membebaskan diri sendiri. Kanak-kanak yang kebanyakannya masih mentah, ditipu dan diperdaya untuk kepentingan ‘perjuangan’ pihak tertentu yang mewakili syaitan kapitalis dalam kalangan penyalak-penyalak nasionalis.

Kisah peperangan yang dimulakan dengan aspek kesukarelawanan. Nadine dan Roxana, dua watak yang mempelopori aspek ini, dicoretkan cuba untuk mengubah nasib anak-anak Karen dengan menjadi sukarelawan untuk mengajar bahasa Inggeris kepada mereka. Dengan berbekalkan ilmu menulis, mengira dan membaca, ditambah pula dengan kepetahan berbahasa Inggeris umpamanya, maka dilihat nasib anak-anak Karen mempunyai peluang menuju sinar perubahan. Betapa tertonjolnya kekecewaan Kim ketika dia tidak berjaya dalam permohonan untuk dipindahkan ke Amerika untuk mencipta hidup baru di sana. Maka bermula dengan kekecewaan ini, beberapa agenda lain dalam buku ini merebak tinta coretannya. Nadine kecewa daripada pertunangan, maka yang dicari sebagai ganti ialah kesukarelawanan. Kim kecewa dari sebuah pengharapan untuk berpindah, beralih ke arah pertempuran berdarah. Bagaimana selepas itu nyawa silih berganti pergi menghadap Ilahi akibat ditembak oleh pembelot dan pemanipulasi perjuangan pembebasan.

Daripada cerita ini, tergambar beberapa perkara di fikiran aku. Perjuangan anak-anak yang diceritakan ini juga mempunyai nilai yang tersendiri, dan perlu disokong dan dibela. Apabila didekatkan lagi lansa renungan ke negara kita sendiri, kita akan sedari bahawa isu ‘stateless people’ di Sabah mempunyai persamaan sedikit sebanyak dengan kisah anak-anak Karen. Tinggal lagi, kisah itu tidak di-sinetron atau di-cerekarama-kan dalam buku ini, tetapi dalam buku yang lain dan ianya bukan bersifat naratif tetapi lebih ke arah informatif.

216 halaman daripada kisah ini aku fikir cukup untuk menjelaskan kepada kita bahawa perkara sebenar yang diperlukan oleh sesuatu bangsa itu ialah kesatuan dalaman, sebelum berfikir tentang bantuan negara luar. Hal ini dapat dilihat ketika konflik anak-anak Karen ini berlaku, ada segelintir anak-anak yang terlebih semangat, yang mengharapkan bantuan daripada Amerika, padahal mereka tidak sedar, kelonggaran perpaduan dalaman mereka yang sebenarnya menularkan kanser penjajahan yang menggagalkan tindakan kemoterapi kemerdekaan yang sudah berlangsung saban waktu.

Mungkin kurang aku gemari jalan penceritaan buku ini yang berterus-terusan disulam konflik. Sememangnya penceritaan yang mendebarkan ini berjaya memecah kebosanan ketika membaca, tinggal lagi konflik yang tidak berkesudahan seperti dalam cerita ini sedikit sebanyak memberi ilustrasi negatif bahawa anak-anak Karen tidaklah begitu mudah untuk keluar ke Thailand untuk membebaskan diri daripada mati ditembak dan diburu oleh malaikat maut berpakaian tentera. Mungkin hal ini sebenarnya mesej hakiki daripada penulis. Atau mungkin ini hanya sangkaan aku yang gagal membaca dengan penghayatan yang sama seperti yang dicurah penulis buku Anak-anak Karen ini.

Satu lagi aspek yang mencabar aku untuk menghabiskan pembacaan ialah penggunaan nama anak-anak Karen dengan nama yang sukar untuk aku sebut. Makanya, berterabur dan bertebaranlah nama semua anak-anak Karen yang diwatakkan dalam cerita ini tanpa dapat aku hayati watak mereka satu persatu. Ada juga kalanya aku terkeliru dan perlu mencari semula siapakah watak yang sudah mati, kerana terdapat beberapa nama yang lebih kurang ejaan dan mungkin juga bunyi sebutannya.

Walaubagaimanapun, pujian perlu diberikan kepada penulis. Cerita yang cuba dikisahkan amat penting untuk kita tatap mesejnya dan perlu untuk kita hayati serta sedar bahawa apabila sesebuah negara itu hancur-lebur kejujuran budi dan yakin diri bangsanya sendiri, agak lama masa yang diperlukan untuk menjayakan agenda kemerdekaan. Terselit juga dalam rentetan penulisan santai ini elemen kepentingan penulisan oleh beberapa watak yang dalam kekalutan belajar mengangkat senjata, dia tidak lupa cara menukil kisah melalui pena dan tinta.

Buku yang bagus untuk dibaca dan dibedah. Tahniah!

Diulas oleh Book Surgeon


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca