Ulasan Buku : Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck

“Laki-laki bilamana telah menentukan cintanya untuk seorang perempuan, maka perempuan itu mesti jadi haknya seorang, tak boleh orang lain hendak ikut berkongsi dengan dia. Tetapi cinta perempuan kepada laki-laki sebaliknya dari itu. Laki-laki pada pemandangan perempuan adalah laksana dokoh emas yang tergelung di lehernya, atau gelang bertatah berlian yang melilit tangannya, perhiasan yang akan dibanggakannya kepada kawan sesama gedangnya.”

Cinta yang tidak kesampaian, sengsara jiwa seorang lelaki yang jujur lagi naif dan lara hati seorang perempuan desa yang tersepit dalam menentukan pilihan hidup. Apa lagi yang boleh disimpulkan pada kandungan Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck ini?

Tak siapa menyangka novel roman hasil karya Ulama Nusantara, Prof Dr. HAMKA ini setia dibaca zaman berzaman. Menurut Buya HAMKA, karya ini mula ditulis ketika usianya mencecah awal 30-an pada tahun 1938. Bermakna sudah kurang lebih 80 tahun usia karya ini namun ia masih berada di pasaran dengan pelbagai versi terbitannya malah langsung tidak jemu-jemu dibaca. Luarbiasa sekali!

Elemen utama novel ini tentunya cinta. Mengisahkan seorang pemuda bernama Zainuddin yang salah silah keturunannya tidak sejati Minangkabau telah terpaut hati pada Hayati, seorang gadis minang ketika beliau menduduki Negeri Batipuh yang juga negeri asal almarhum bondanya. Namun begitu, sayangnya Zainuddin tidak diiktiraf sebagai sebahagian keturunan asli Minangkabau lantaran konflik salah silah keluarganya maka sampai bila pun penduduk Negeri Batipuh menganggapnya sebagai orang asing. Justeru apabila bibit awal perkenalan Zainuddin dengan Hayati melalui surat menyurat mula dihidu lantas menjadi buah mulut orang banyak malah sehingga difikirkan memberi aib kepada keturunan Hayati sendiri akhirnya Zainuddin dinasihatkan untuk meninggalkan Negeri Batipuh kemudian berpindah ke Padang Panjang.

Dari Padang Panjang, Zainuddin dan Hayati masih kekal berutus surat sehingga tali kasih antara keduanya terlerai apabila keberanian Zainuddin untuk cuba melamar Hayati ditolak keluarganya bahkan dijodohkan pula Hayati dengan Aziz, seorang lelaki yang zahirnya nampak berada dan lebih dihormati. Kisahnya tidak berakhir di situ namun naratifnya terus bersambung dengan plot-plot baru yang lebih menarik sehingga pada akhirnya memberi jawapan mengapa novel ini dinamakan sebagai Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.

Apa istimewanya novel ini? Baik, selain ia diangkat sebagai salah sebuah mahakarya seorang pujangga Islam, keindahan sebenarnya adalah terletak pada lenggok bahasa yang digunakan oleh Buya HAMKA dalam menyampaikan kisah ini sehinggakan melalui surat-surat Zainuddin dan Hayati terasa sekali remuk redam kekecewaan antara mereka sampaikan hati berbisik, naïf benar engkau Zainuddin.

Antara mesej lain yang dapat saya perolehi ialah satu kritikan sosial daripada Buya HAMKA sendiri terhadap masyarakat Minangkabau yang terlalu jumud mempertahankan adat berbanding mengutamakan kehendak-kehendak agama sama sebagaimana apa yang cuba disampaikan Buya melalui sebuah lagi novel, Merantau ke Deli.

Selain itu Buya meninggalkan mesej pentingnya untuk memiliki jiwa besar sambil melupakan kesan-kesan sejarah hidup yang lampau dalam meneruskan arus kehidupan, bak kata anak muda sekarang, ‘move on’. Ini dizahirkan pada watak Zainuddin yang tanpa sangka ada sedikit rasa dendam pada Hayatinya sehingga memberi pengakhiran yang tak terjangka untuk kisah cinta mereka.

Ada satu watak yang barangkali tidak terpandang tetapi ia memain peranan penting sekali dalam novel ini iaitu Bang Muluk. Watak Muluk ini mencerminkan sikap yang perlu ada dalam bersahabat bahkan sesama muslim itu sendiri. Walaupun berasal dari orang yang tidak baik disebut ‘prewar’ dalam novel ini, Bang Muluk memperlihatkan seorang sahabat setia yang tak henti-henti memberi pandangan dan nasihat yang baik-baik kepada Zainuddin.

Antara petikan nasihat Bang Muluk,

“Apa sebab hati akan dibiarkan bersedih dan bersusah di dalam alam ini? Padahal lapangan kemuliaan dan perasaan bahagia terbuka buat semua orang. Orang yang bercela di dalam dunia ini hanya bertiga sahaja. Pertama , orang yang dengki yang selalu merasa sakit hati melihat orang diberi ALLAH nikmat. Kesakitan hatinya itulah yang menyebabkan dia celaka, padahal nikmat ALLAH tak dapat dihapuskan oleh tangan manusia.

Kedua, orang yang tamak dan loba, yang sentiasa merasa belum cukup dengan apa yang telah ada dalam tangannya, selalu menyesal, mengomel, padahal yang akan didapatinya tidak akan lebih daripada yang telah ditentukan ALLAH dalam kudrat-Nya.

Ketiga, orang berdosa yang terlepas dari tangan hakim, kerana pencurian atau pembunuhan, kerana memperkosa anak bini orang. Orang yang begini, meskipun terlepas dari jaringan undang-undang, tidak juga akan merasai nikmat sedikit pun ke mana jua dia pergi.”

Bagi saya novel ini cukup rencahnya dan itulah yang membuat ia kekal relevan merentasi zaman. Jika mahu bersendu dengan airmata dek hikayat cinta ia sudah tentu ada namun Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck sebenarnya memberikan pembacanya lebih daripada itu. Bacalah dan anda akan rasai sendiri keluarbiasaanya!

Diulas oleh Ahmad Fairoz


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Ahmad Fairoz
Ahmad Fairoz
Articles: 2