Ulasan Buku : Dengarlah Jeritan Hatiku

Tajuk buku: Dengarlah Jeritan Hatiku
Penulis: Rehan Makhtar
Halaman: 560

“Dengarlah jeritan hatiku… Yang memanggil namamu selalu”

DJH ialah novel keenam Rehan Makhtar (RM) yang kubaca selepas Terlerai Kasih, Suami Tak Kuhadap, Bila Nak Saksi, Dia… Cinta Yang Kucari dan Seseorang Untuk Aku.

Dan setiap kali membaca novel RM, perasaan itu masih kekal sama. Perasaan ternanti-nantikan novel baru beliau. Perasaan tidak boleh ‘move on’ dengan ceritanya. Perasaan sebak dan terharu. Perasaan rindu dengan watak-wataknya. Ye lah, Rehan Makhtar kot. RM ialah salah seorang penulis yang kusayang. Penulis yang air tangannya akan sentiasa melekat dihati.

Seperti tertulis di blurb, DJH ialah kisah cinta.

Cinta anak pada ibunya. Walaupun disisihkan oleh Datuk Yohana selama 18 tahun, Yugasri tetap memilih ibunya. Walaupun akhirnya, Yuga kehilangan cinta hatinya, dia tetap bersama ibunya. Walaupun si ibulah yang menjadi punca kepada kemelut mereka.

Cinta adik pada abang. Yuga yang sangat menyayangi Amri yang sentiasa melindunginya. Disaat kebenaran terbongkar, Amri terluka. Sekali Amri terluka, berkali-kali Yuga menangis dan dia rela melepaskan Ashita asalkan abangnya kembali.

Cinta kekasih pada kekasihnya. Yuga yang menjatuhkan hatinya kepada Ash walaupun dia sedar yang dia tidak sempurna. Suara Ash diibaratkan muzik merdu dalam dunia Yuga yang sunyi sepi. Tapi walaupun Yuga serba kurang, Ash tetap memilih Yuga. Tapi, ujian tetap datang.

Sebanyak bintang dilangit, itu yang ingin kuberi untuk naskhah ini. Kusuka bila penulis menulis watak utamanya seorang yang pekak dan bagaimana dia meneruskan hidup tanpa mendengar bunyi nafasnya sendiri. Watak Yuga sangat membuatku insaf dan bersyukur masih dikurniakan deria pendengaran.

Dan kusuka watak Ash. Seorang yang memiliki hati yang pemurah. Sudi memaafkan walaupun hakikatnya sangat perit. Ash yang sudi menerima Yuga yang serba kurang.

Dan akhir sekali, kusuka RM. Beliau seringkali menyatakan bahawa karyanya hanya sekadar air masak, bukanlah air manis. Ya. Ceritanya banyak tentang kehidupan. Bukan sekadar manisnya hidup suami isteri. Dan setiap bait kata yang ditulis, buatkan kutertanya-tanya apa sebenarnya yang jadi.

Tahniah!

DJH sangat sesuai  dan disarankan untuk bacaan umum yang tercari-cari bahan bacaan bukan klise dan pada masa yang sama, mendidik hati.

Diulas oleh Wafaa Nur Izzaty binti Mohd Shukri


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Wafaa Nur Izzaty
Wafaa Nur Izzaty
Articles: 2