Ulasan Buku : Wang Ada Di Mana?

Dalam beribu buku, ada sebahagian buku yang membuatkan kita berkata, “Andai saja aku menemukannya lebih awal”, dan saya mengalaminya setelah membaca buku ini. Buku yang bertajuk Wang Ada Di Mana? ditulis oleh Dr Azizul Azli Ahmad terbitan Rumah Buku.

Buku ini mempunyai 146 muka surat dan 6 bab iaitu Gaji, Rumah, Jana Pendapatan, Wang Hilang, Wang dan Sikap Kita, dan Hindari Pelaburan Ini. Ia sarat dengan tips dan panduan praktikal untuk membantu pembaca menguruskan kewangan dengan lebih baik. Gaya bahasa buku ini mudah dan santai. Jangan risau, buku ini tiada istilah “bahasa ekonomi” yang susah untuk difahami, hanya sesekali ada ayat yang membuat kita sentap dan terasa hati. Tidak mengapa, itu tandanya kita ada kesedaran diri, teruskan baca lagi sehingga muka surat terakhir.

Dalam bab pertama iaitu Gaji, penulis mengajar pembaca cara pengurusan gaji yang betul melalui tiga kaedah pembahagian duit gaji. Simpanan adalah item wajib dalam setiap kaedah. Gaji kecil bukan masalah utama, asalkan diuruskan dengan betul pasti akan cukup. Bukan itu sahaja, beliau juga mendedahkan kesilapan yang selalu dilakukan oleh kita dalam menguruskan gaji.

“Duit adalah untuk perbelanjaan hidup, bukan untuk bergaya. Jika kita lebih gaya, maka itu puncanya kita tak kaya-kaya.”

Seterusnya bab kedua ialah Rumah. Penulis sangat menggalakkan orang muda membeli rumah dahulu sebelum kereta. Tetapi apa yang berlaku sekarang ini adalah sebaliknya. Dalam entri ini, beliau membantu kita cara membeli rumah, memilih lokasi rumah, cara membuat tabungan deposit rumah dan sebagainya tentang rumah. Di bahagian Jana Pendapatan pula, penulis mengajak pembaca supaya mempunyai pendapatan tambahan. Menurut beliau, tiga cara untuk dapatkan wang iaitu manusia dapatkan wang, wang dapatkan wang dan gabungan kedua-duanya – ini ialah cara yang terbaik.

Selain itu, Wang Hilang dan Wang dan Sikap Kita ialah himpunan nasihat penulis untuk menguruskan kewangan. Antaranya, lupakan kereta idaman jika belum beli rumah, jangan membuat pembiayaan peribadi untuk belanja majlis perkahwinan, berjimat adalah kualiti yang penting dalam urus kewangan, hiduplah di bawah kemampuan dan baikilah kewangan kita daripada salahkan menteri. Jika kita mempunyai hutang, di bahagian ini terdapat sisipan perancangan untuk menyelesaikan hutang.

Dalam bab yang terakhir iaitu Hindari Pelaburan Ini, penulis berkongsi ciri-ciri skim pelaburan yang tidak patut diceburi seperti tiada prospektus syarikat, keuntungan melampau, tiada liputan media, bahasa tinggi yang kita tidak mampu faham dan banyak lagi. Penulis juga menerangkan beberapa skim yang ada udang di sebalik batu seperti, skim kereta graduan, skim ansurans mudah dan skim cepat kaya yang semakin berleluasa sekarang untuk menghakis duit kita.

Kesimpulannya, ilmu pengurusan kewangan sangat penting kepada setiap individu kerana kita perlu berurusan dengan duit setiap hari sehingga mati. Buku ini disarankan kepada sesiapa yang mahu memperbaiki status kewangannya atau mahu menjadi kaya. Tidak salah bukan, menjadi kaya? Bukan semua orang kaya jahat dan suka menindas, ramai orang kaya yang mulia dan cita-citanya mahu masuk syurga. Sebelum jadi kaya, perlu jadi bijak dahulu. Bacalah buku-buku kewangan yang akan membijakkan kita.

Buku ini boleh dapatkan dari penulis sendiri melalui laman Facebook beliau Azizul Azli Ahmad atau melalui laman web Rumah Buku.

Selamat membaca dan semoga bermanfaat.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Nur Mustika Adriena
Nur Mustika Adriena

Perempuan yang membaca.

Articles: 22