Ulasan Buku : Minimalis

Nama buku: Minimalis

Penulis: Faridah Ghazali

Muka surat: 231

Penerbit: Puteh Press

Tahun terbit: 2021

Cetakan: Kedua

Keadaan dunia yang serba canggih dan sarat dengan kebendaan ini jarang sekali kita sebagai manusia hendak ketinggalan dalam menikmati dan merasainya.

Hidup dalam kemewahan, memiliki wang yang banyak dan berbelanja hingga ke larut malam, ini merupakan salah satu bentuk kepuasan dan mustahil untuk diketepikan oleh sesetengah masyarakat.

Mengamalkan hidup sederhana, mengutamakan kualiti dan memanfaatkan apa yang ada hanyalah sebahagian masyarakat yang benar-benar boleh menerima dengan berlapang dada.

Kadang-kadang, terlalu sederhana ini telah membuatkan orang ramai memandang sinis kerana sering kali ia disinonimkan dengan perangai ‘kedekut’. Nyata, anggapan ini adalah salah dan tidak layak makna ini difahami mengikut tutur kata orang yang mengata.

Minimalis, merupakan sebuah buku yang mendidik manusia untuk tidak terlalu candu terhadap kebendaan, material, pemikiran atau apa sahaja yang berkaitan. Lebih tepatnya, buku ini mengeluarkan kita daripada keinginan yang tidak terkawal dan menjadikan kita insan yang sentiasa bersederhana.

Penulis mempunyai pandangan yang amat bernas apabila mengangkat tema yang cukup relevan dengan situasi semasa. Di mana, ramai individu yang ketagih membebaskan wang ke arah sesuatu yang tidak berfaedah.

Misalnya, membeli banyak pakaian mahal sehingga pakaian lama terbiar bertumpukan dalam almari tanpa kegunaan, membeli barangan perabot meskipun terdapat perabot yang masih baik dan berfungsi serta selamat digunakan, mmbelanjakan wang yang ada untuk menambah peralatan yang telah sedia ada di rumah dan pelbagai lagi kuasa beli yang dikira menjamin kebahagiaan bagi sesetengah pemilik.

Kehendak individu sememangnya sukar sekali dibendung. Sulit dan tidak mampu dinilai sebagai keperluan mahupun bukan. Lantas, penulis buku ini berpandangan, bahawa sikap ini telah mewujudkan kesan yang kurang baik kerana berlakunya pembaziran dan boleh menyebabkan seseorang mulai boros.

Meskipun berkemampuan, tetapi gaya hidup yang melampau-lampau dilihat kurang sesuai sekiranya para pemilik sekadar berfikir untuk kepentingan dunia. Dikhuatiri seseorang boleh terjerumus dalam penyakit wahn, “cinta dunia, takut mati.” Inilah yang turut menjadi sindiran pedas oleh penulis.

Apa yang bagusnya buku ini, ia mengajak pembaca mencontohi gaya hidup minimalis ini sama seperti junjungan Nabi Muhammad SAW yang amat zuhud dari hal-hal dunia. Termasuklah dari segi pakaian Rasulullah SAW, tempat tidur dan makan yang sedikit. Ia bukan cuma kajian tetapi ia juga selari mengikut ajaran Islam.

Pada pendapat peribadi sendiri, jujurnya saya sangat bersetuju dengan pendapat penulis. Meminimaliskan semua perkara membantu kita untuk lebih tenang daripada memikirkan pemilihan kebendaan yang tidak berkesudahan.

Membimbing kita untuk lebih bersyukur terhadap kurniaan Allah tanpa perlu mencicirkan wang ke arah yang tidak mendatangkan maslahat dan keuntungan untuk akhirat sama sekali.

Buat yang tidak tahu bagaimana hendak memulakan langkah minimalis, sebanyak sepuluh bab diutarakan oleh penulis mengandungi panduan bernas dan tuntas untuk dipraktikkan.

Setelah digali keseluruhan isi, saya justeru bersetuju bahawa minimalis membenih kebaikan yang banyak antaranya,

1. Membawa kita sebagai umat Islam untuk sentiasa mengingati Allah dalam setiap rezeki yang kita ada. Seluruhnya, hanyalah pinjaman sementara.

2. Menjimatkan wang dan tenaga malahan juga emosi daripada kusut dan letih kerana menyalahgunakan material.

3. Membantu kita dalam merancang kewangan dengan lebih baik dan bijak untuk mengatur masa hadapan yang cerah.

4. Melatih kita menguruskan situasi dan kekemasan dalam kediaman agar keharmonian dapat tumbuh dengan subur.

Tentunya, terdapat banyak lagi sisi poin penting yang tidak dapat dimuntahkan dalam karya ini. Jemput dapatkan dan selamat menikmati gaya hidup minimalis. Semoga berjaya!

“Semakin mudah kita melepaskan kebanggaan dan melepaskan keinganan, apabila jelas semua ini hanya pinjaman dan bukan milik kita yang sebenarnya. Kita dapat melakukannya dengan sentiasa ingatkan diri, tujuan kita dihidupkan dan destinasi terakhir kita. ” Minimalis, hal.210.

 


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Syuhara Suriati
Syuhara Suriati

Penulis artikel, antologi dan anekdot.🌷Isteri suri membaca dan menulis 🌷

Articles: 67