Selamat Datang Ke Laman Web Konfess Buku
Ulasan Buku : When Breath Becomes Air (Bahagian 1)

Ulasan Buku : When Breath Becomes Air (Bahagian 1)

Reviu Buku “When Breath Becomes Air” oleh Paul Kalanithi Bahagian Satu

  1. Pengenalan

Buku terbitan Random House, sebuah syarikat penerbitan yang berpangkalan di Amerika Syarikat, yang banyak menerbitkan buku-buku bergenre umum, dan sesuai untuk bacaan setiap lapisan masyarakat. Penulis buku ini, Paul Kalanthini, merupakan seorang doktor bedah otak (Neuro-surgeon) dan juga merupakan seorang yang menghidap penyakit barah paru-paru(lung cancer) di usia 36 tahun.

Buku ini berkisar kisah benar seorang doktor pakar bedah otak yang kehidupan sehariannya bertemu dengan pesakit yang pelbagai, datang kepada beliau dengan pelbagai jenis penyakit otak, kepada menjadi pesakit barah paru-paru. Pengalaman beliau berada di kedua-dua posisi menjadi isi utama penceritaan tema buku ini, iaitu Kehidupan dan Kematian. Justeru, buku ini terbahagi kepada dua bahagian; (1) sewaktu beliau bergelar doktor dan (2) ketika beliau di posisi seorang pesakit.

  1. Titik Temu antara Sastera, Falsafah dan Biologi

Dalam memahami kehidupan, beliau meyakini bahawa sastera memberi makna dan membentuk cara fikir seseorang. Dengan membaca karya sastera, manusia mengatur kehidupan dan beradaptasi dengan peristiwa-peristwa yang berlaku di sekeliling seseorang itu. Seperti kebiasaannya, karya sastera akan hadir dalam bentuk cerita, mengandungi pelbagai nilai moral dan etika yang boleh menjadi panduan hidup seseorang. Penulis mendapatkan ijazah pertamanya dalam bidang Sastera.

Pada beliau, biologi pula, terutama bahagian otak dengan segala kemampuan yang dimilikinya membolehkan manusia bergerak, berinteraksi dan berfikir. Otak juga memungkinkan manusia mencari makna dalam kehidupan seharian mereka. Seperti yang beliau rakamkan dalam bukunya ini, “I studied literature and philosophy to understand what makes life meaningful, studied neuroscience and worked in an fMRI lab to understand how the brain could give rise to an organism capable of finding meaning in the world,…”. Jadinya, ketiga; sastera, falsafah dan biologi bertemu pada cara manusia menilai kehidupannya.

  1. Hubungan antara Doktor dan Pesakit

Sewaktu menjadi doktor pelatih, beliau menceritakan mengenai pengalamannya bersama mayat. Meskipun berinteraksi dengan mayat yang sudah tidak bernyawa, beliau tidak boleh lari dari memikirkan tentang bagaimana kehidupan mayat tersebut sewaktu sihat dahulu. Membayangkan bahawa yang kaku di hadapannya itu seorang yang mempunyai keluarga dan rakan-rakan. Dari seorang manusia yang boleh bernafas kepada seorang yang terbujur layu.

Beliau menyatakan pengalaman secara terus dengan pesakit, serta mayat mengukuhkan lagi konsep kehidupan dan kematian yang sebelum ini hanya di peringkat konsep, sewaktu beliau belajar di bangku universiti. Pengalaman berbual, bertanyakan kehidupan pesakit yang ada sesetengahnya itu sudah tidak mampu dirawat, benar-benar memberi kesan kepada beliau.

What is the value of life that is worth saving?”, tanya beliau. Ketika berhadapan dengan pesakit yang masih boleh diselamatkan tetapi sudah mati otaknya, sudah lumpuh badannya, dan yang berfungsi cuma jantungnya sambal dibantu pelbagai wayar berselirat di seluruh tubuh. Biarkan mati atau selamatkan? Bagaimana seorang doktor membuat penilaian moral ketika berhadapan dengan situasi tersebut? Apakah yang akan disampaikan doktor kepada ahli keluarga pesakit?

  1. Kesimpulan

Sebagai seseorang yang gemarkan buku non-fiction, saya merasakan kesukaran sewaktu memulakan pembacaan buku ini. Tetapi, dek kerana topik yang begitu dekat dengan hati saya, helaian demi helaian diteruskan. Buku ini benar-benar memberi kesan kepada saya. Meskipun bukanlah terlibat secara lansung dalam dunia perubatan, mesej yang ingin disampaikan penulis begitu jelas.

Apa nilai sebuah kehidupan? Apa nilai nafas yang disedut ke dalam paru-paru? Apa nilai berfungsinya otak dan minda manusia dalam memberi makna dalam kehidupan? Penulis tidak menyatakan secara jelas jawapan kepada persoalan ini, bahkan meninggalkan kepada semua pembaca bukunya untuk membentuk jalur fikir sendiri.

Yang menjadi kekuatan buku ini adalah ianya berkisarkan kisah benar, dan disampaikan kepada pembaca dengan nada serius dan jelas. Pasti, setelah habis pembacaan, ramai yang sukar untuk melupakan buku ini.

Saya akan terus mengulas buku ini di bahagian dua.

Diulas oleh Amirul Neezam.

 


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca