Ulasan Buku : Ustazah Zaman Dulu-Dulu

Tajuk Buku : Ustazah zaman dulu-dulu
Penulis : Maisarah Mohd. Pauzi
Terbitan : Jejak Tarbiah
Cetakan : Pertama (2018)

Pada bab pertama naskhah Ustazah zaman dulu-dulu ini menceritakan tentang perjuangan hak wanita, pada asalnya naskhah ini diberi judul Wanita-wanita Merdeka kerana penulisannya berkisarkan tentang perjuangan wanita pada zaman pra dan pasca kemerdekaan Tanah Melayu.

 Kisah yang seharusnya diketauhi umum bagi memberi kesedaran khususnya bagi kaum wanita zaman kebelakangan ini, tentang peristiwa dan sejarah lampau bermulanya hak wanita diperjuangkan, antara kisah tokoh perjuangan wanita yang dimuatkan dalam bab pertama ini adalah :

 • Ibu Zain

• Aishah Ghani

• Shamsiah Fakeh

• Khatijah Sidek

• Sakinah Junid

 Dapat saya fahami setiap jalur perjuangan mereka bermula dengan penindasan kepada kaum wanita itu sendiri. Kebangkitan mempertahankan maruah kaum wanita yang pada ketika itu tidak diperjuangkan oleh kaum lelaki. Bahkan kebangkitan mereka menjadi ejekan dan bantahan kerana menyelisihi norma masyarakat pada ketika itu. 

 Bagaimana sekiranya jika kita berada di zaman itu? melihat didepan mata kehormatan wanita di injak-injak dan hanya dijadikan sebagai pelampias nafsu serakah kaum penjajah. Adakah kita mempunyai keberanian dan jati diri yang kental bagi membela kehormatan setiap wanita? 

 Naskhah ini sedikit sebanyak memberi kesedaran kepada pembaca betapa nikmat yang dikecapi hari ini adalah jasa tokoh-tokoh wanita terdahulu yang seharusnya dikenang dan disyukuri setiap insan yang bergelar wanita. Perjuangan mereka terdahulu bagi  memastikan kemaslahatan dan keselamatan kaum wanita sebagai insan yang perlu dihormati dan dilihat selayaknya manusia, dan dihargai kerana wanitalah yang melahirkan zuriat, mendidik dan mengasuh pada pasca awal generasi dari rumah hingga meningkat dewasa.

 Saya kira setiap tokoh mempunyai semangat dan persamaan dalam perjalanan perjuangan mereka. Iaitu Wanita, Ilmu dan Maruah diri. Kerana tokoh-tokoh yang di sebutkan di atas ini mempunyai taraf pendidikan walaupun ketika itu sulit bagi seorang wanita untuk bersekolah dan mempunyai pendidikan yang tinggi. Namun asbab pendidikan dan ilmulah yang menjadi jambatan bagi mereka untuk membela maruah diri dan membebaskan kaum wanita dari penindasan serta menaikkan martabat wanita dalam masyarakat umum.

 Di bab ketiga penulis berkongsi dengan pembaca tentang novel yang mengangkat tema wanita, bagaimana watak-watak wanita memainkan peranan penting dalam memberi kesedaran kepada masyarakat, tentu ramai yang kurang menyadari tentang inti sesebuah novel lebih-lebih lagi bagi pembaca yang kurang meminati novel seperti saya, namun penulis memberi saya satu kesedaran bahawa setiap penceritaan kisah mempunyai mesej yang mendalam yang seharusnya pembaca gali dan fahami dengan sebaiknya. Mungkin begitulah salah satu cara memberi kesedaran kepada orang awam sama ada pada zaman terdahulu ataupun pada zaman sekarang ini. 

 Melalui pembacaan sebegini orang awam mendapat mesej dan kritikan atau bantahan mengenai suatu isu, perbuatan  ataupun peristiwa yang terjadi sama ada dalam dunia politik ataupun hukum kehidupan sejagat.

 Sememangnya wanitalah yang lebih memahami tentang diri wanita, justru dengan persamaan itulah kaum wanita saling membutuhkan dan memahami peranan, tanggungjawap dan amanah mereka kepada keluarga dan masyarakat sebagai madrasah dan pendidik generasi masa depan.

 Suka saya sarankan kepada setiap warga pembaca untuk memiliki naskhah ini sebagai “suatu kenang-kenangan” kepada para tokoh wanita yang telah berjasa memberi sinar kehidupan baharu kepada wanita zaman ini  menikmati udara segar kebebasan dan bebas mencapai impian hidup.

 Setiap peristiwa emas yang terjadi membuktikan jasa wanita dalam peradaban bukanlah sesuatu yang boleh dianggap remeh dan enteng. Sejarah telahpun membuktikan peran dan jasa para wirawati tersohor negara mengerahkan usaha, masa, jiwa dan raga mereka demi memartabatkan wanita ditempat yang selayaknya.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Aishah Nerina
Aishah Nerina

لا يشكر الله من لا يشكر الناس

Articles: 47