Ulasan Buku : Untukmu Wanita

Menyingkapi setiap permasalahan yang terjadi kepada ramai golongan wanita, naskhah ini hadir dengan penjelasan dan jawapan yang mudah di fahami. Naskhah yang ada di tangan saya ini adalah cetakan ke-5 dengan kandungan muka surat 299, ada penambahan berbanding cetakan terdahulu yang hanya memuatkan 249 muka surat. Banyaknya permintaan daripada pembaca sehingga dicetak berulang kali, kerana itu dapat dilihat sebenarnya ramai pembaca yang menginginkan naskhah sebegini, iaitu menggabungkan pertanyaan dan jawapan sekaligus pandangan dari penulis bersandarkan nash Al-Quran dan Hadis berkait sesuatu hukum.

Saya kira naskhah ini bukanlah khusus untuk wanita sahaja, tetapi sebaiknya di baca juga oleh golongan lelaki bagi memahami isu-isu tertentu yang kadangkala di anggap remeh oleh sebahagian suami pada masa kini, seperti isu aurat, talak dan zihar umpamanya.

Bercerita tentang isu aurat sebenarnya bukan lagi menjadi permasalahan baru dalam kalangan masyarakat hari ini. Banyak kempen telah dijalankan bagi memberi kesedaran kepada wanita muslimah hari ini, tetapi kesedaran wanita islam itu sendiri masih berada di tahap yang sangat mengecewakan, mana kan tidak, pengaruh dari berbagai pihak mencetuskan reaksi sedemikian, antara penyebabnya adalah kemalasan menuntut ilmu menyebabkan kurangnya pengetahuan ilmu agama dalam kalangan umat islam hari ini.Sehingga hal yang sangat ditegaskan dalam agama di anggap remeh oleh sebahagian wanita islam zaman ini.

Turut dimuatkan penjelasan dan bantahan penulis mengenai segolongan kelompok wanita yang mentafsirkan ayat-ayat Al-Quran berkenaan aurat dengan hanya bersandarkan hawa nafsu bagi menyokong kehendak mereka dalam berpakaian.

Saya kira antara isu yang perlu diberi perhatian juga adalah berkaitan zina, dalam naskhah ini ada beberapa soalan yang membuat saya berfikir, betapa rosaknya anak-anak muda masa kini, dengan sistem kebebasan dalam pergaulan sehingga batasan-batasan yang telah digariskan dalam islam tidak di endahkan, bertambah buruk kesannya apabila pihak ibu bapa kurang prihatin dan gagal memainkan peranan memantau aktiviti anak-anak mereka.

Kerosakan akhlak anak-anak muda masa kini begitu nampak kesannya, begitulah sekiranya agama di pisahkan dari kehidupan sehari-hari. Amat menyedihkan apabila difikirkan, tetapi apa peranan kita sebagai ibu bapa dalam membendung masalah sebegini agar tidak menular ke dalam keluarga dan keturunan kita? Semoga naskhah ini membuka minda ibu bapa untuk lebih cakna dengan keadaan semasa dan nasihat berguna buat muda mudi agar lebih teguh menjaga maruah dan kehormatan diri.

Selamat membaca!


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Aishah Nerina
Aishah Nerina

لا يشكر الله من لا يشكر الناس

Articles: 47