Ulasan Buku : Ubah Patah Hati Jadi Prestasi

Nama buku: Ubah Patah Hati Jadi Prestasi

Penulis: Addien Abdul Kadir, Dwi Suwiknyo

Muka surat: 312

Penerbit: Puteh Press

Tahun terbit: 2021

Cetakan: Kedua

Menyelak buku yang dicetuskan oleh dua penulis yang berlainan negara ini benar-benar mengubah diri untuk lebih berani! Benar, buku ini menambahkan keyakinan terhadap apa jua kegagalan untuk tidak berhenti mencapai kemenangan.

Judul buku Ubah Patah Hati Prestasi ialah buku yang dipersembahkan kepada seluruh pembaca untuk mengubah segala bentuk kekecewaan. Buku yang dikarang untuk membantu kita membina jiwa yang lebih kuat, sihat dan berkualiti.

Saat minda dan fizikal kita bebas daripada kerunsingan, kita dapat mempertingkatkan semangat dalam kehidupan. Dapat mengubah pola fikir yang negatif ke arah yang lebih positif. Dapat berhubungan dan bersilaturahim tanpa harus menyembunyikan diri.

Inilah yang sebenarnya cuba disampaikan oleh para penulis buku ini untuk memotivasikan manusia untuk tidak berlama-lama hanyut dalam kesedihan kerana ia sama sekali tidak menghasilkan kegembiraan dan keceriaan.

Buku ini memaparkan banyaknya kebaikan untuk kita cerap sebagai pencetus utama kepada kita untuk tidak berputus asa dengan mudah.

Dalam 13 bab yang terkandung ini, terdapat kisah-kisah yang menjadi pedoman yang boleh menyedarkan kita bahawa tiada masalah yang tidak menemukan jalan penyelesaian. Sengaja penulis meletakkan kisah-kisah berikut untuk membuktikan bahawa mereka juga mampu mengubah patah hati menjadi prestasi yang baik.

Ada kisah mereka yang mengalami patah hati kerana cinta dikhianati, kisah mereka yang pernah diejek dan gagal, kisah mereka yang pernah kehilangan segala-galanya, kisah para pendosa yang tersedar daripada kekhilafan. Ajaibnya, meskipun kekalahan di awal cerita, mereka menjadi juara yang berjaya menangkis halangan dan anggapan-anggapan yang menjengkelkan.

Sementelahan itu, karya ini tidak sunyi dalam menyadurkan kisah para sahabat dan orang-orang soleh yang mekar namanya hingga ke hari ini. Antaranya seperti kisah taubat Fudhail bin Iyadh, kisah seorang sahabat Nabi SAW yang dijaminkan Syurga kerana tidak lokek memaafkan orang lain dan lain-lain yang menimbulkan keinsafan kita sebagai umat Islam.

Buku ini ada tambahan seperti buku latihan kerana, ada halaman yang memuatkan uji kaji dan soal jawab bagi menguji kejujuran dan kebolehan. Antaranya seperti uji kaji dalam menentukan kesihatan mental, mengenal pasti kecerdasan kita dan lain-lain yang membantu kita untuk mencari punca masalah yang menyekat kemahuan kita untuk berubah.

Kalau anda mengalami patah hati yang menyakitkan usah membiarkan air mata membanjiri wajah sehingga menjadi sebuah empangan yang boleh mengalir deras. Kalau anda pernah jatuh kerana kekalahan, maka belajarlah daripada kisah mereka yang mendaki kejayaan seperti yang dibentangkan.

Mungkin, impian tidak semanis seperti yang yang dijangkakan. Mungkin, ini akan menjadi pengalaman untuk belajar daripada kesilapan lepas. Namun, dengan usaha dan membebaskan kesakitan yang masih terperangkap, percayalah tidak mustahil kita juga boleh mengatasinya seperti kisah mereka yang maju ke hadapan.

Kekecewaan tidak akan dapat mengembangkan bakat kita. Melainkan, ia semakin menyukarkan dan merumitkan kerana tidak cerdik mencari peluang untuk bersiap sedia.

Justeru itu, usah membiarkan hati yang patah menjadi kemurungan yang parah. Mintalah pertolongan kepada Dia yang memegang hati kita dengan usaha-usaha yang disuarakan oleh dua penulis.

Secara keseluruhannya, buku ini sangat baik diutarakan kepada semua pembaca untuk mengajak kita berfikir dan bermuhasabah kerana kedua-dua ini akan mendatangkan keamanan jiwa. Buku ini sedikit sebanyak menjelaskan tentang potensi kita yang boleh mengelak daripada hati yang patah.

Selamat membaca.

“Walau apapun kekecewaan yang kita hadapi, masa depan masih boleh dirancang. Malah, pada hari ini pun masih banyak perkara positif yang boleh kita nikmati dan perjuangkan sehabis baik. Ayuh ‘move’ on!” Petikan pada bahagian blurb buku Ubah Hati Jadi Prestasi.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Syuhara Suriati
Syuhara Suriati

Penulis artikel, antologi dan anekdot.🌷Isteri suri membaca dan menulis 🌷

Articles: 67