Ulasan Buku : Tuhan Memberi Motivasi

Tajuk Buku: Tuhan Memberi Motivasi.

Penulis: Fakhrullah Mawardi.

Tahun Penerbitan: 2016.

Jumlah Halaman: 88.

Kategori: Agama & Motivasi.

Penerbit: Sinergy Media Plt.

“Dua agen pendebungaan utama tumbuhan adalah serangga dan angin. Manakala dua agen pendebungaan manusia yang utama adalah keutuhan pegangan kepada Al-Quran dan Sunnah. Berbenturlah ia ke arah penyebaran Islam. Lantaran keduanya menyumbang kemaslahatan bukan sahaja dari sudut autentik pemikiran, malahan selaku kosmetik semulajadi kepada sahsiah generasi Rabbani”.

Pengadaptasian kenyataan ini dilakukan usai saya menghabiskan halaman demi halaman lanjutan dalam karya seorang penulis muda yang juga berperanan selaku Motivator yakni Fakhrullah Mawardi. Karya beliau yang dijelmakan jasadnya dalam bentuk poket atau mini diberi judul ‘Tuhan Memberi Motivasi’ telah memberi kelainan agar pembaca boleh membawanya ke mana sahaja tatkala dahagakan suntikan motivasi melalui suara-suara oleh tinta penulisan. Genre buku mengetengahkan elemen agama secara sepenuhnya dengan membuat sekilas perbandingan dengan sumbang saran melalui motivasi oleh Barat. Meninjau isi kandungan naskhah pula, penulis hanya mencerakinkan muatan ilmiah ini menerusi 3 bahagian sahaja, yang mana pada setiap bahagian mempunyai korelasi yang saling bersangkutan antara keajaiban Al-Quran, sentuhan nasihat oleh Al-Quran dan rahsia kejayaan yang dititipakan melalui penghayatan Al-Quran.

Secara holistiknya, karya ini menyadur segenap isi perbincangan dengan saduran ayat- ayat menerusi rujukan Al-Quran dengan matlamat agar pembaca mampu mentadabbur makna kalam Allah secara langsung. Sudut nasihat pula memperlihatkan bagaimana setiap profesion dalam pelbagai lapangan kerjaya mampu beringat-ingat akan kebesaran Allah s.w.t hanya melalui ayat Al-Quran. Penulis sangat kreatif dengan tidak hanya memfokuskan kepada para Ustaz dan Ustazah sahaja dalam menggalas tanggungjawab menyampaikan seruan agama, baik dari sudut Tauhid, Akhlak, Sirah mahupun Syariah. Bahkan semua status pekerjaan turut berpeluang untuk meraih pahala dengan menjadi seorang ulul albab dan seorang yang sentiasa mncerna akal fikiran dalam mengingati kebesaran Allah s.w.t. Siapa kata hanya golongan asatizah jurusan agama sahaja yang diberi ruang untuk menambah ganjaran amal dalam menyampaikan qudwah hasanah dan peringatan mengenai agama? Walhal agen pelancaongan, penternak haiwan dan zoologis sekalipun perlu senantiasa tajdid niat untuk memberi manfaat kepada Islam. Contoh petikan ayat Quran yang bertitik tolak dengan bidang zoologis ialah daripada Surah Al-Ankabut, 29: 41;

“Misal bandingan orang-orang yang menjadikan benda-benda yang lain daripada Allah s.w.t sebagai pelindung-pelindung (yang diharapkan pertolongannya) adalah seperti labah-labah yang membuat sarang (untuk menjadi tempat perlindungannya); padahal sesungguhnya sarang-sarang yang paling reput ialah sarang labah-labah, kalaulah mereka orang yang berpengetahuan”.

Memetik nasihat dalam buku Good Leaders ask Great Question oleh John C. Maxwel, memberitahu bahawa sikap gemar mengajukan persoalan akan menerbitkan satu ciri psikologi positif iaitu kuat berfikir. Impaknya, minda seseorang akan lebih aktif dan matang. Faktanya ialah saranan daripada pakar motivasi antarabangsa ini sudah tersedia dalam mashaf Al-Quran, dalam Surah An-Nahl, 16, 43 yang berbunyi, “Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan jika kamu tidak mengetahui”. Kesediaan untuk bertanya, lantas merendahkan tapak duduk keegoan yang bersebati dalam diri wajar dipuji dan inilah nasihat pertama yang dititipkan penulis kepada golongan pelajar. Nasihat kedua pula adalah peringatan mengenai membendung muflis dalam mengulang kaji pelajaran. Muflis atau miskin sebenarnya bukanlah pada indikator harta semata-mata. Muflis hakiki adalah kerana kurangnya ulangan dalam pembelajaran. Apa yang menariknya, penulis tidak hanya menghamparkan satu demi satu tips belajar dan korelasinya dengan ayat Al-Quran semata-mata. Malahan turut menyajikan kepada pembaca analogi yang mudah dicerap dan difahami kerana ghalibnya berlaku dalam plot tumbesaran manusia.

Kisah yang pernah dilewati oleh kanak-kanak rupanya terselit ibrah untuk disedari baik kanak-kanak itu sendiri, lebih-lebih lagi warga berusia. Perhatikan saja kronologi kemahiran yang diasah menerusi proses belajar mengayuh basikal sewaktu seseorang masih kecil. Bukankah struktur basikal pertama yang mula diajar adalah kenderaan ringan bertayar tiga (tricycle)? Kemudian keseimbangan yang diperolehi melalui tayar tiga akan beralih kepada tayar dua sehinggalah seseorang itu menjadi si pemberani untuk mengemudi kayuhan tanpa memegang handle atau pemegang basikal. Adakah proses peralihan ini semudah yang diduga? Benarkah langkah pelajaran berbasikal buat pertama kalinya dimulai dengan basikal beroda tiga? Sedarkah bahawa prolog pertama adalah dengan bantuan dan pengawasan orang dewasa? Ingatkah akan tragedi jatuh bangun dan calar balar sehingga luka gara-gara belajar mengemudi basikal dengan seimbang? Rumus-rumus inilah yang turut dimanfaatkan dalam menghasilkan kesempurnaan iaitu latihan dan ulangan. Ternyata contoh ini sangat dekat di hati dan secara terus dapat asimilasikan dalam kehidupan agar menjadi seorang yang gian dalam melakukan ulang kaji sehingga memperoleh pulangan yang membanggakan.

Penulis tidak hanya menukilkan dua sahaja petua belajar dengan kolaborasi saranan daripada pemaknaan Al-Quran. Kedapatan lapan lagi nasihat yang dititipkanya yang mana amat wajar dihadam sendiri oleh para pembaca sekalian. Pastinya penyandang ciri-ciri bibliofil tidak akan menyesal andai membeli mini naskhah ini ke arah merubah personaliti daripada seorang yang pasif kepada reaktif, aktif dan proaktif. Cakerawala berfikir pembaca juga akan lebih meluas dan mampu mengenali intrisik diri sendiri dengan lebih dekat. Sebagaimana contoh pengkajian yang dibawakan oleh penulis bersumberkan penyelidikan daripada Universiti Philadepphia. Manusia dikaitkan dengan daya ingatan yang berbeza sehingga membentuk tiga kategori. Kategori pertama ialah manusia visual yang mana lebih mengingat aka napa yang dilihatnya. Manusia auditori pula lebih cenderung dengan mengingat aka napa yang didengarinya, manakala kategori ketiga atau terakhir pula ialah yang lebih terarah dalam mengingati sesuatu pergerakan atau dinamakan sebagai manusia konestetik.

Konklusinya, penjelasan menerusi buku ini mengandungi penuh serat yang berkhasiat buat menyelami serba sedikit daripada ilmu makrifat dari Yang Maha Hebat. Percayalah bahawa pembaca akan mampu mengekalkan postur tubuh saat asyik dalam perkongsian buku ini. Gedung ilmu ini bukan sahaja didatangkan buat para pelajar di bangku persekolahan malahan buat pelajar di alam kecerlusan kehidupan. Dapatkan sepuluh nasihat bermanfaat hanya dalam satu karya poket yang berpotensi merangka fragmen anggapan yang lebih luhur dan takjub terhadap roh Al-Quran kerana kadang kala pesanan yang sekadar ‘angin lalu’ itu lebih berbekas dalam rentang ingatan buat pedoman saat kelalaian.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


.Atiqah Abd Rahim.
.Atiqah Abd Rahim.

Penuntut UKM Bangi, jurusan Usuluddin & Falsafah.

Articles: 20