Ulasan Buku : Tuan Direktor

 “Manusia umpama mesin, yang perkasa akan melintas laju di peta dunia. Sedangkan yang tidak cekal bertahan, akan lemah terdampar ke tepi”.

Kenyataan inilah yang saya adaptasikan daripada kesudahan bacaan buku karya Hamka yang terangkum sebanyak 129 halaman terbitan Publishing House Sendirian Berhad (PTS). Hanya dua perkataan sahaja yang menjadi judul naskhah pusaka ini iaitu “Tuan Direktor”. Saya kira tajuk buku ini agak misteri bukan kerana plot penceritaan yang mistik, akan tetapi kerana karakter sebenar bagi watak utama yang berjaya mencetuskan rasa inkuiri dalam minda pembaca. Beberapa polemik fikiran mula terbit saat melangkah ke prolog kisah hingga menjengah ke klimaks cerita bagi menngetahui mesej utama pengarang buku ini. Ternyata hanya berbekalkan dua perkataan bagi satu judul buku, karya ini berjaya menyampaikan lebih dari dua pengajaran dan hikmah bagi akal-akal yang sentiasa terbuka menerima nasihat dan teguran yang sihat.

            Input pertama yang saya perolehi setelah menelaah buku ini ialah anugerah jagat jaya untuk dipelihara dan diambil manfaatnya secara terkawal bukannya untuk dieksploitasi dengan sewenang-wenangnya atas alasan pembangunan. Manusia adalah makhluk mulia dan planet bumi adalah penempatan eksklusif yang diciptakan Allah untuk saling melengkapi antara satu sama lain. Maka hendaklah manusia yang merupakan khalifah Allah di dunia ini sedar bahawa kedua-duanya terpandang ciptaan alam yang tidak boleh dinilai murah harganya. Maka janganlah sesekali melempiaskan nafsu serakah terhadap alam demi kekayaan ringgit, sebagaimana yang dilakukan oleh Tuan Direktor Jazuli. Betapa sanggup Tuan Direktor memusnahkan kediaman milik kuli-kuli yang damai nan hijau semata-mata ingin menubuhkan kilang fabrik.

Lantaran darjat yang tinggi sebagai direktor yang dimiliki oleh insan yang digelar Tuan Direktor, bukan sumber alam sahaja yang digunakan untuk mengaut keuntungan, bahkan beliau memecat pekerja-pekerjanya yang setia berkhidmat di bawahnya. Walhal hanya itu jualah pekerjaan yang menjadi mata pencarian mereka.  Benarlah pangkat dan harta mampu membongkakkan jiwa manusiawi yang azalinya berasal dari tanah sehingga menjadikan golongan ini bersifat melangit. Selain itu, pedoman kedua ialah usahlah membeli penghormatan dengan wang tetapi curilah hati manusia dengan keluhuran budi. Selain Tuan Direktor yang bernama Jazuli, watak pesaing yang dipaparkan adalah watak Pak Yasin yang memiliki personaliti yang sangat bebeza dengan Tuan Direktor dan sahabat-sahabatnya.

Puji sanjungan tidak akan meninggikan dan keji bantahan tidak akan menjatuh bawahkan manusia. Adakala sanjungan tidak akan mengenyangkan, sebaliknya bakal menikam dari belakang secara diam. Watak tiga orang sahabat Tuan Direktor iaitu Kadri, Margono dan Haji Salmin yang diibaratkan seperti duri dalam lipatan wajar dijadikan pengajaran. Merekalah yang memberikan julukan kewibawaan yang tiada tandingannya kepada Tuan Direktor sehingga Tuan Direktor menjadi semakin tamak. Meskipun telah mempunyai perusahaan emas yang masyhur hingga menjadi tarikan orang Eropah dan perniagaan hotel yang berkembang gah, namun dek hasutan tiga sahabatnya itulah Tuan Direktor masih tidak merasa puas. Implikasinya, Tuan Direktor memasang impian untuk memiliki tanah milik Pak Yasin dengan menggunakan pelbagai helah yang licik sehingga mengabaikan hukum.  Rasuah dihalalkan demi tercapainya rencana kekayaan.

Disebalik iktibar besar yang ingin dititipkan Hamka, terdapat unsur positif yang menjadi nadi utama berdirinya novel ini iaitu ikhtiarkan sehingga dapat, sabar hingga peroleh hasil yang dimaksud. Beberapa tahun yang lalu, Jazuli hanya seorang perantau dari Kalimatan yang berhijrah ke Surabaya dengan hanya membimbit sebuah bungkusan. Bersandarkan kekerasan hati dan kejujuran, Jazuli bekerja keras dan akhirnya berjaya meninggikan statusnya dari seorang kuli kepada majikan di atas kakinya sendiri. Begitulah sejarah awal sikap yang dimiliki oleh Tuan Direktor Jazuli sebelum beliau dinobatkan sebagai direktor dan sebelum beliau terkenal di serata Surabaya Indonesia kerana pangkat dan kemewahan aset yang dimiliki. Namun demikian, janganlah menafikan kudrat dan keringat yang turut dikorbankan oleh para sahabat kita sehingga kita mampu menempa nama di mata umum dan inilah jasa yang telah dilupakan Tuan Direktor Jazuli.

Teladan seterusnya yang boleh dicontohi ialah kekuatan agama dan telus dalam bersaudara meskipun hidup secara bersederhana. Pak Yasin yang merupakan pemilik tanah di kampung-kampung yang sempit sangat disayangi lantaran sifat ramah-tamah dan berperikemanusiaan yang ditonjolkan terhadap penyewa-penyewa yang menyewa di kediaman miliknya. Langgar atau surau kecil dibina oleh beliau demi mengimarahkan solat lima waktu dan pusat mengajarkan ilmu asas kepada penyewa yang buta huruf wajar dipuji. Epilog kisah ini diakhiri dengan Tuan Direktor yang masih tidak berubah sikap meskipun diuji dengan pengkhianatan oleh sahabat-sahabtnya, sementara Pak Yassin masih dengan kesederhanaannya dan kebaikan akhlak terhadap orang di sekelilingnya.

Demikianlah perjalanan hikayat yang dinukilkan Hamka, diawali dengan gambaran kejayaan Tuan Direktor, kemudian mengimbau latar belakang beliau, seterusnya menghadirkan watak Pak Yasin dan diakhiri dengan keadaan sikap mereka setelah keluar dari penjara. Saranan saya, karya ini selayaknya dibaca oleh lebih ramai pencinta buku dan insan yang mendambakan hikmah. Akhirulkalam, sematkan dalam diari minda bahawasanya manusia tidak mampu ditakluk dengan wang semata-mata sedangkan tandus budi dan miskin adab, tetapi menangilah jiwa manusia dengan keluhuran yang terpancar ia dari hati dek kerana ditempiaskan oleh keimanan dan kezuhudan.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


.Atiqah Abd Rahim.
.Atiqah Abd Rahim.

Penuntut UKM Bangi, jurusan Usuluddin & Falsafah.

Articles: 20