Ulasan Buku : To Kill A Mockingbird

“Mockingbirds don’t do one thing but make music for us to enjoy. They don’t eat up people’s gardens, don’t nest in corncribs, they don’t do one thing but sing their hearts out for us. That’s why it’s a sin to kill a mockingbird.”

“To Kill a Mockingbird” tulisan Harper Lee merupakan salah satu buku yang popular terutamanya di Amerika Syarikat. Jika ditaip ‘must read books’ di enjin carian Google, buku ini antara buku pertama yang tertera tajuknya. Penulisnya juga merupakan salah seorang penerima Hadiah Pulitzer, iaitu antara pengiktirafan paling hebat yang diberikan kepada para penulis.

Novel ini berlatarbelakangkan tahun 1930-an di Maycomb, Alabama. Naratif cerita dalam novel ini adalah daripada sudut pandang seorang budak perempuan bernama Jean Louise “Scout” Finch, atau lebih dikenali sebagai Scout Finch. Scout dan abangnya, Jeremy Finch tinggal bersama bapa mereka yang merupakan seorang peguam: Atticus Finch. Ketiga-tiganya merupakan orang berkulit putih. Mereka mempunyai seorang pembantu berkulit hitam (digelar Negro) bernama Calpurnia.

Situasi mula menjadi sedikit rumit apabila pembaca diperkenalkan dengan Tom Robinson, seorang Negro yang telah dituduh merogol seorang perempuan berkulit putih, Mayella Ewell. Atticus ditugaskan untuk menjadi peguam bela kepada Tom Robinson. Penduduk Maycomb mula menggelar Atticus dengan panggilan yang menghina kepada Atticus. Bagi yang tidak tahu, rasisme di Amerika Syarikat terutamannya di kawasan Selatan (South) menjadi satu kebiasaan kerana perbezaan darjat antara orang berkulit putih dan orang berkulit hitam walaupun sistem perhambaan telah tamat secara rasmi pada tahun 1865. Pensyarah saya bahkan pernah menyebut orang berkulit putih yang miskin pada era itu merasakan bahawa mereka lebih tinggi darjatnya daripada orang berkulit hitam yang telah pun bebas dari perhambaan dan bekerja sendiri kerana hak mereka lebih terjamin.

Scout mula tertanya-tanya mengapa Atticus masih tetap dengan pendiriannya mahu mempertahankan Tom Robinson di mahkamah sedangkan Atticus sendiri menjelaskan mereka tidak akan menang kes tersebut. Atticus menjawab,

“… simply by the nature of the work, every lawyer gets at least one case in his lifetime that affects him personally. This one’s mine, I guess. You might hear some ugly talk about it at school, but do one thing for me if you will: you just hold your head high and keep those fists down. No matter what anybody says to you, don’t you let ‘em get your oat. Try fighting it with your head for a change. It’s a good one, even if it does resist learning.”

Atticus juga berkata “simply because we were licked a hundred years before we started is no reason for us not to try to win.”

Watak Atticus mempersoalkan moraliti kita sebagai manusia ketika beliau memilih untuk mempertahankan seorang lelaki yang berbeza dengannya kerana beliau percaya kepada kebenaran serta hak kesamarataan antara manusia. Atticus, pada zamannya, adalah satu figura yang menonjolkan keberanian kerana rela dikeji serta dipersoalkan hanya kerana beliau hidup dengan prinsipnya yang tersendiri. Kata Atticus,

“They’re certainly entitled to think that, and they’re entitled to full respect for their opinions, but before I can live with other folks I’ve got to live with myself. The one thing that doesn’t abide by majority rule is a person’s conscience.”

Tidak hairanlah novel ini menjadi begitu popular di Amerika Syarikat kerana isu ini masih relevan sehingga sekarang, bukan sahaja di Amerika Syarikat malah di mana-mana. Kita cenderung untuk fokus kepada perbezaan apabila memandang manusia lain, sedangkan kita hakikatnya sama sahaja: manusia. Kita juga mudah menghukum apabila orang lain tidak berkongsi nilai atau prinsip yang sama dengan kita, sedangkan perbezaan itu lumrah apabila hidup bersama. Namun akhirnya, hanya diri kita sendiri yang mampu menetapkan di mana letaknya nilai diri kita. Belajarlah untuk berhenti sejenak untuk berfikir dan meletakkan diri kita di tempat orang lain, sebelum kita lantang menyuarakan pendapat kita tentang mereka.

Saya akhiri ulasan ini dengan kata-kata Atticus:

You never really understand a person until you consider things from his point of view — until you climb into his skin and walk around in it.”


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Farah Hanim Mohd Alwi
Farah Hanim Mohd Alwi
Articles: 1