Ulasan Buku : The Girl with Seven Names

Buku The Girl with Seven Names tulisan Hyeonseo Lee merupakan sebuah buku bergenre autobiografi mengisahkan kehidupan sebelum dan selepas seorang pelarian Korea Utara dalam meninggalkan negara kuku besi tersebut. Bercerita tentang penulisnya iaitu Hyenseo Lee, beliau mula mendapat perhatian dunia ketika menyampaikan ucapan di syarikat persidangan terkemuka Amerika Syarikat, TED. Video ucapannya yang berdurasi 12 minit itu telah dimuat naik pada tahun 2013 dan sehingga kini telah ditonton sebanya 15 juta kali di YouTube. Beberapa bintang terkemuka misalnya pengacara Oprah Winfrey memuji Hyeonseo, “Ini adalah ucapan paling mengujakan yang pernah ada di TED”. Video tersebut mengisahkan perjalanan ringkas beliau tentang kehidupan selepas melarikan diri dari Korea Utara.

Kejayaan yang dikecapi buku ini antaranya tercatit dalam senarai buku terlaris yang dikeluarkan oleh syarikat akhbar harian The New York Times. Pastinya ramai yang tertanya mengapa tajuk buku ini dinamakan sedemikian. Makna dalam Bahasa Melayu yang bermaksud ‘Budak Perempuan dengan Tujuh Nama’. Kisahnya bermula sejak kecil apabila beliau dijaga oleh bapa berbeza dan terpaksa menukar nama menggunakan nama keluarga yang berbeza. Apabila menginjak dewasa, terdapat nama yang terpaksa ditukar untuk menyembunyikan identiti sebagai pelarian Korea Utara di China.

Meski buku ini banyak menumpukan perjalanan penulis setelah keluar dari Korea Utara, namun pada permulaan buku ini menceritakan tentang latar belakang diri, keluarga dan masyarakat di negara tersebut. Bermula dari era permerintahan diktator Kim Sung Il berlarutan sehingga Kim Jong Il. Kisah bagaimana rakyat disana diajar dengan doktrin tentang keagungan negara mereka amat menarik perhatian saya.

 Malah penulis sendiri mengakui bahawa ketika beliau masih berada di Korea Utara, anggapan bahawa negara tersebut merupakan negara terbaik di dunia sering melekat di ingatannya. Contohnya, tentang ketaatan mereka kepada pemimpin seperti tidak boleh menuding jari kepada tugu atau sebarang gambar berkaitan pemimpin mereka dan ketidakpercayaan terhadap kematian pemimpin kerana sudah menganggap mereka sebagai Tuhan. Ditambah dengan kisah bagaimana rakyatnya perlu menyelematkan potret pemimpin mereka terlebih dahulu jika berlaku sebarang bencana seperti banjir dan kebakaran. Penulis mengakui beliau tidak menghadapi sebarang masalah untuk tinggal di Korea Utara kerana latar belakang keluarganya yang tinggi dalam sistem sosial dan status di negara tersebut. Di Korea Utara sistem ini dipanggil songbun. Namun timbul keraguan di hati ketika berlakunya masalah kelaparan yang berlaku pada tahun 1994-1998. Beliau menjadi saksi keperitan rakyat untuk mencari sesuap makanan sedangkan pemimpinnya tidak berubah saiz fizikal.

Buku ini diteruskan dengan kisah perjalanan hidup yang berliku penulis selepas lari negara. Apa yang menarik tentang kisah beliau ialah tujuan beliau melarikan diri sangat berbeza dengan kisah pelarian Korea Utara yang lain. Jika kebanyakannya di sebabkan berlakunya masalah kelaparan dan kekejaman kerajaan, namun penulis secara sembunyi melarikan diri kerana timbul sifat inkuiri melihat negara jiran, China. Buat pengetahuan, sewaktu kecil penulis tinggal di sebuah wilayah kecil, Hyesan yang bersebelahan dengan wilayah di China bernama Changbai dan menjadikan sempedan di antara merea ialah sebuah sungai yang dinamakan Sungai Yalu. Hyesan tidak mendapat akses elektrik yang mencukupi jika dibandingkan dengan Changbai. Jadi setiap malam penulis akan tertanya-tanya tentang kehidupan di luar negara.

Pada tahun 1997, penulis melepaskan diri ke China dengan niat untuk pulang semula ke wilayah asalnya Hyesan. Beliau mempuyai beberapa saudara mara di China untuk tinggal bermalam. Namun sesuatu yang tidak disangkakan berlaku. Ibunya merayu agar tidak pulang semula di kampung halamannya kerana rahsia beliau melarikan diri sudah terbongkar dan bakal dikenakan hukuman kem tahanan sekiranya pulang semula. Beberapa kejadiaan yang menarik berlaku di China seperti hampir terperangkap untuk dijadikan pelacur dan disoal oleh pihak polis di sana. Itulah realiti kekejaman yang berlaku yang meyebabkan beliau terperangkap.

Saya boleh katakan buku ini sesuai untuk bacaan golongan remaja dan ke atas. Biarpun topik yang diketengahkan agak berat, namun jalan penceritaannya dan penulisan yang seakan-akan sebuah novel membuatkannya lebih mudah difahami. Kini penulis, Hyenseo Lee menjadi seorang aktivis kamanusian yang memfokuskan keadilan kepada rakyat Korea Utara


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


ArifHai
ArifHai

Bibliofil, pelajar dan penulis artikel.

Articles: 4