Ulasan Buku : The Fall of the Ottomans

Keseluruhan

Karya sejarah yang cukup ampuh, sarat dengan cerita pengalaman Ottoman di akhir hayatnya. Saya kira buku ini menarik kerana sususan naratifnya yang mengikut garis masa & berdasarkan pengalaman, catatan memoir, ‘first-hand experience’ daripada individu terlibat.

Dengan melakukan ini, pembaca akan dibawa berada dalam situasi yang dilalui sendiri oleh individu-individu tersebut dan memuatkan pembaca berfikir tentang apa yang akan dilakukan sekiranya pembaca berada di tempat mereka.

Kerananya, sejarah terhasil daripada deretan pilihan-pilihan manusia yang menatijahkan peristiwa. Perang Balkan, tertubuhnya Triumvirate Ottoman, kekalahan Sarikamish, kemenangan Gallipoli, revolusi Arab dari Ottoman, pembantaian Armenia, kebangkitan Mustafa Kamal dan agihan serpihan Ottoman kepada imperialis British, Perancis, Itali dan Greece, semuanya berdasarkan perhisaban intuisi manusia.

Sebagai orang terkemudian yang membaca kisah mereka terdahulu, pada saya usahlah kita terlalu membenci  atau meletakkan nilai kepada karakter-karakter sejarah. Ini kerana, kita sebenarnya tidak melalui apa yang dilalui oleh mereka. Keputusan-keputusan yang mereka lakukan, adalah hasil pengalaman dan kefahaman mereka pada ketika itu.

Yang patut kita lakukan pada hari ini adalah memerhatikan apakah yang terbaik untuk kita berikan untuk membina sejarah hari ini. Gunakan pengalaman dan kekuatan diri untuk memberi manfaat kepada orang-orang di sekeliling kita.

Mustafa Kamal Hero Turki?

Sewaktu terserempak dengan buku ini di MPH Mid Valley Southkey JB, saya terus mencapai dan membelinya. Teringin juga untuk mengetahui perihal bagaimana ketamadunan Islam yang begitu gah di Turki melalui zaman kejatuhannya. Bagi mereka yang pernah terlibat dengan aktiviti Islami, tahun 1924 begitu memberi kesan kerana berakhir secara rasminya pemerintahan Ottoman. Aktor yang dikatakan menjadi dalang utama ialah Encik Mustafa Kamal (MK).

Ketika saya menziarahi Turki pada tahun 2014, saya juga kehairanan melihat begitu banyak gambar-gambar Encik MK ini digantung merata-rata. Di rumah rehat, pejabat universiti, restoran dan tempat-tempat awam.

Sepengetahuan saya yang cetek ini, dengar-dengar Encik MK inilah manusia yang paling terlaknat sekali kerana merupakan dalang kejatuhan Ottoman. Sehingga bumi tidak menerima jasadnya? Wallahu alam. Jadi bagaimana bangsa Turki itu terlalu menyanjungi beliau/dia?

Saya mengharapkan buku ini akan menceritakan bagaimana proses peralihan kuasa itu di sekitar tahun 1924. Namun, saya telah dibuka kepada satu cerita yang tidak pernah terlintas di fikiran saya. Satu sisi sejarah yang cukup penting mengenai Ottoman. Ottoman jatuh kerana kalah Perang Dunia Pertama.

Melalui buku ini, saya mengetahui peranan Encik MK dalam sejarah Ottoman. Dalam peristiwa Perang Gallipoli, di mana Tentera Entente menyasarkan untuk menawan Istanbul melalui Selat Bosphorus, En MK berjaya menghalang kemaraan Tentera Entete. Pada masa Ottoman banyak mengalami kekalahan di setiap penjuru tempat peperangan, kemenangan mempertahankan Istanbul dalam Perang Gallipoli sememangnya diperlukan tentera Turki.

Dan saya kira sumbangan terbesarnya adalah apabila beliau berjaya mendapatkan kembali wilayah-wilayah yang pernah diserahkan kepada Russia di sebelah Anatolia, mendapatkan semula Edirne dan berjaya mengekalkan sebahagian besar kawasan Anatolia daripada terus diagihkan kepada imperialis sebagai ghanimah Perang Dunia Pertama. Kalau tidak kerana beliau, wilayah Turki moden adalah hanya dari Istanbul ke Ankara, dan selebihnya adalah dikuasai kuasa Imperialis atau membentuk kerajaan independen.

Ketika mana kerajaan Ottoman hanya bersetuju dengan semua perjanjian damai sehingga terpaksa melepaskan sebahagian besar wilayah Ottoman termasuk Istanbul, Encik MK tanpa menuruti arahan kerajaan, melancarkan pergerakan Nasionalis menentang pembahagiaan ini. Akhirnya, dia berjaya mengekalkan sebahagian besar wilayah Turki yang dapat dilihat dalam peta dunia pada hari ini.

Mungkin inilah yang membuatkan beliau diingati sehingga hari ini. Beliau dikenang dan dilihat berjaya mempertahankan bukan sahaja wilayah, malah bangsa, bahasa, warisan, tradisi dan kebudayaan Turki.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Amirul Neezam
Amirul Neezam

A banker, who passionate on the topics of Psychology, History, Culture and Philosophy.

Articles: 4