Ulasan Buku : Terusir

Sebuah karya Hamka yang tidak asing lagi. Jika anda merasakan buku Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck dan Merantau Ke Deli mampu untuk membuatkan anda mengalirkan air mata, maka buku ini juga wajib dibaca. Sediakanlah tisu siap-siap.

Novel hebat ini, walaupun tidak setebal novel yang lain, ia tetap mengandungi mesej dan kritikan Hamka terhadap masyarakat ketika itu. Ayatnya puitis namun amat menusuk jiwa.

Mengisahkan Mariah, seorang wanita miskin dari golongan biasa, berkahwin dengan Azhar, seorang anak bangsawan dan mempunyai anak bernama Sofyan. Sepanjang 10 tahun perkahwinan mereka, ada saja cacian, sindiran dan makian daripada keluarga Azhar. Kemuncaknya apabila Mariah diusir Azhar daripada rumah akibat fitnah yang ditaburkan kaum kerabat Azhar, tanp usul periksa. Mariah dituduh berselingkuh di dalam rumahnya sendiri.

Ketika diusir, Mariah tidak dibenarkan membawa apa-apa barang miliknya, anaknya juga tidak dibenarkan untuk berjumpa buat kali terakhir. Sangat kejam. Maka pergilah Mariah dari sebuah rumah ke sebuah rumah mencari kerja sebagai pembantu rumah. Mujur ada yang sudi menerimanya, namun setelah beberapa tahun kemudian, khidmatnya tidak diperlukan lagi.

Dek kerana kesempitan hidup, tidak mempunyai wang untuk membeli sesuap nasi, akhirnya Mariah menjadi seorang pelacur. Di sini, Hamka mengkritik hebat masyarakat daripada pelbagai segi:

-jika wanita yang cantik datang meminta sedekah atau merayu meminta pekerjaan, mereka memandangnya rendah dan hina

-jika wanita yang cantik itu menggunakan kecantikannya untuk mencari rezeki yang halal, lelaki enggan memperisterikannya

-bahkan, lelaki akan mencari calon isteri yang lebih rendah martabat daripada mereka supaya mereka dihormati

-ada pula sikap lelaki yang anti-poligami yang halal

-wanita yang cantik itu hanya akan dikahwini jika mereka berharta

-namun, selepas berkahwin, lelaki itu akan mengikis hartanya sehingga licin dan meninggalkannya selepas itu

Apa yang cuba disampaikan oleh Hamka adalah: seorang lelaki suka melemparkan kata-kata nista dan celaan kepada wanita, sedangkan lelaki itu sendiri adalah punca wanita itu menjadi sebegitu. Sebak terasa sepanjang pembacaan novel ini. Cekalnya hati Mariah diperlakukan seperti sampah oleh suaminya sendiri dan masyarakat. Kisah ini kedengaran amat kejam, tapi itulah realiti hidup ketika itu, dan boleh jadi ianya berlaku di masa sekarang.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Ana Reads
Ana Reads
Articles: 7