Selamat Datang Ke Laman Web Konfess Buku
Ulasan Buku : Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck
Buku Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck ini merupakan salah satu magnum opus tulisan pemikir tersohor Nusantara, HAMKA. Buku ini mengisahkan percintaan yang ikhlas dan malang di antara Zainuddin (seorang anak muda yang tidak tentu asal usulnya) dan Hayati (anak gadis dari keluarga bangsawan).
Sejujurnya, karya ini sedikit sulit untuk saya hadamkan oleh kerana beberapa sebab. Pertama, laras bahasa yang digunakan adalah klasik dan sangat gramatis lantaran ditulis oleh seorang ulamak dan sasterawan. Kedua, saya tidak pernah dilamun cinta apatah lagi putus cinta . Ini menyebabkan sukar bagi saya untuk “relate”kan diri dengan kepedihan hati yang ditanggung oleh Zainuddin dan Hayati. Justeru, demi mendapatkan penghayatan yang lebih mendalam, setelah mengkhatamkan buku ini, saya tonton pula filem adaptasi arahan Sunil Soraya yang berdurasi lebih kurang 3 jam 15 minit.
Alkisah, Zainuddin, anak yatim piatu pasangan Pandekar Sutan (orang Minang-Padang) dan Daeng Habibah (orang Bugis-Mengkasar). Beliau hidup tersisih di negeri kelahirannya sendiri, Mengkasar lantaran bapanya bukanlah orang Mengkasar. Zainuddin mengambil keputusan untuk pulang ke negeri kelahiran bapanya di Padang dengan harapan orang-orang di sana akan menerimanya. Tidak beliau ketahui, di Padang, orang Minang teguh sekali berpegang dengan Adat Perpatih dan Adat Temenggung. Di sisi mereka, nasab keturunan itu diwarisi mengikut jalur ibu. Oleh kerana ibunya orang Bugis-Mengkasar Zainuddin sekali lagi disisihkan. Ditelan mati emak, diluah mati bapa.
Sedang Zainuddin menanggung nasibnya yang malang, hadirlah si Hayati yang menyambut cintanya lantaran kasihan kepada anak dagang melarat itu. Tapi sayang, hubungan mereka tak direstui. Masakan tidak? “Gunung Merapi masih tegak!” (Adat masih kuat dipegang). Lantas, Zainuddin pun dihalau keluar dari bumi Batipuh, Padang. Dalam perjalanan meninggalkan Batipuh, Zainuddin pun bertemu dengan Hayati. Atas nama nenek moyang, bersaksikan sinaran cahaya mentari pagi, Hayati bersumpah akan setia menunggu kepulangan Zainuddin. Kalau tidak setahun, dua tahun, berapa puluh tahun pun Hayati akan sentiasa suci buat Zainuddin.
Dengan semangat yang baru, Zainuddin pun merantaulah ke Padang Panjang. Dipendekkan cerita, suatu hari, Zainuddin menerima surat dari kampung kelahirannya mengkhabarkan kematian emak angkatnya, Mak Base. Sedihnya Zainuddin bukan kepalang. Dikuatkannya semangat. Dengan duit kiriman yang disertakan dengan surat tersebut, Zainuddin percaya beliau sudah mampu menanggung kos berumah tangga. Lantas beliau nekad melamar wanita pujaan hatinya, Hayati.
Malang seribu kali malang. Serentak dengan itu, Hayati juga menerima lamaran dari Aziz. Seorang anak minang yang kaya dan masyhur. Mengikut adat Minang, yang akan menentukan jejaka mana yang selayaknya menjadi suami anak gadis Minang adalah mamak ninik (penghulu adat). Setelah selesai mereka bermesyuwarah, barulah kata putus tersebut dibawa kepada anak gadis tersebut “tinggal diiyakan”. Sudah terang lagi bersuluh, Aziz lah yang lebih pantas menjadi suami Hayati. Tahu asal usulnya, jelas pula mata pencariannya. Maka, Hayati pun menulis sepucuk surat kepada Zainuddin menerangkan bahawa perkahwinannya dengan Aziz adalah pilihannya sendiri. Kata Hayati, Zainuddin miskin, dia pun miskin. Kembalilah kepada realiti. Berbekalkan cinta yang tulus suci semata-mata tidak cukup sedangkan berumah tangga itu butuh wang! Maka, setelah membaca surat tersebut, Zainuddin pun makan hati berulamkan jantung.
Sedang Hayati enak berbulan madu, Zainuddin pula jatuh sakit. Demam panas. 2 bulan lamanya. Habis segala bomoh dan dukun dipanggil untuk mengubati, tak surut-surut jua demamnya itu. Akhirnya, setelah puas dipujuk rayu, Hayati pun sudi menziarahi Zainuddin dengan ditemani suaminya Aziz. Melihatkan kehadiran Hayati, Zainuddin pun lekas bangun. Seperti orang gila Zainuddin merapu-rapu. Katanya, mereka akan berkahwin. Akan berbulan madu. Baju hitam pengantin Zainuddin dah siap. Doktor di sisi pun dipanggil Tok Kadi. Zainuddin tersentak apabila beliau terpandang tangan Hayati yang berinai perkahwinannya dengan Aziz. Sedarlah beliau yang Hayati sudah jadi milik orang. Haram untuknya menyentuh Hayati selama-lamanya. Dengan teresak-esak Zainuddin pun menghalau Hayati dan suaminya pulang.
Setelah lama Zainuddin makan hati berulamkan jantung, sahabatnya Muluk pun memujuk beliau agar bangkit. Kata Muluk, orang yang putus cinta itu ada 2 macam. Pertama, jenis orang yang rendah budi. Akan dibomoh-bomohnya perempuan yang telah mengkhianatinya. Dan yang kedua, orang yang mendalam pemikirannya. Dia akan berusaha bersungguh-sungguh sehingga menjadi orang yang berada di puncak. Manakala perempuan tersebut terpaksa menengadah kepala jika ingin melihatnya lantaran berada di bawah. Mendengarkan nasihat sahabatnya itu, Zainuddin pun bersemangat semula. Beliau nekad. Bumi Padang Panjang mesti ditinggalkan dalam kerangka untuk membina kehidupan yang baru. Zainuddin dan Muluk berpindah pula ke Jakarta.
Di sana, beliau mula menulis hikayat-hikayat sedih. Oleh kerana penulis sendiri orang yang pehiba hati lantaran sedari kecil hidup dalam kemelaratan, maka karya-karyanya terasa “real” sekali. Dari menulis di keratan-keratan akhbar sehingga memproduksi bukunya sendiri. Semua karya-karyanya laku keras di pasaran. Maka masyhurlah di seantero Indonesia itu orang mengenali beliau dengan nama pena “Z”. Dalam pada itu, Hayati juga berpindah ke Jakarta mengikut suaminya yang bekerja makan gaji. Hidup mereka tidak banyak yang berubah melainkan sikap Aziz yang semakin hari semakin menunjukkan kulitnya sebenar. Tiap hari Aziz akan pulang lewat malam. Beliau sebenarnya ke kelab malam untuk berjudi dan bermain dengan perempuan-perempuan. Kalau pulang pun dia akan selalu mengamuk kerana marah kalah berjudi.
Nak dijadikan cerita, suatu hari, Aziz dan Hayati pun bertemu dengan Zainuddin di sebuah pesta anjuran Klub Anak Sumatra. Terkejutlah mereka melihatkan kejayaan yang dikecapi Zainuddin. Anak dagang melarat itu kini sudah menjadi penulis yang masyhur dan kaya raya. Mulai pertemuan itu, Aziz dan Zainuddin terus menjadi kawan rapat. Aziz berpendapat orang yang kaya seperti Zainuddin elok dibuat kawan. Tidaklah dia berasa malu atas segala apa yang telah dia lakukan kepada Zainuddin pada zaman silam.
Aziz terus dengan sikapnya. Dia terus berjudi sampailah suatu hari, mereka laki bini akhirnya jatuh miskin lantaran banyak sekali berhutang. Rumahnya habis disita. Maka, ke mana lagi hendak mereka pergi kalau bukan kepada Zainuddin jua memohon perlindungan. Aziz dan Hayati pun mulai tinggal di rumah agam Zainuddin yang indah laksana istana. Setelah agak lama berehat di rumah Zainuddin, Aziz pun naik malu lantas meminta izin hendak merantau ke Surabaya mencari kerja baru. Dia berjanji setelah dia jumpa pekerjaan baru , akan diutus surat menjemput Hayati ke Surabaya.
Setelah beberapa ketika, sampai jua surat dari Aziz. Namun isinya berbeza. Dalam surat tersebut Aziz nyatakan yang dia sudah insaf. Dia memohon maaf atas segala apa yang dilakukan kepada Zainuddin dan Hayati. Justeru, dia menceraikan Hayati dan memulangkannya kepada Zainuddin. Tak berapa lama kemudian sampailah berita ngeri. Aziz dijumpai mati bunuh diri dalam bilik hotel. Hampir pengsan Hayati mendengar berita tersebut.
Iya, apa lagi jalan yang ada pada Hayati melainkan pulang semula ke pangkuan Zainuddin melutut memohon maaf. Tidak disangka-sangka, Zainuddin yang dikenali budiman itu apabila mendengar rintihan permohonan maaf darinya seakan-akan berubah menjadi algojo. Dimakinya perempuan malang itu seolah-olah tidak berperasaan. Masakan tidak? Ketika Zainuddin diusir keluar kampung oleh ninik mamak di Batipuh lantaran tidak berkerabat, Hayati lah yang berjanji akan setia menunggunya sampai bila-bila. Namun, setelah kehadiran Aziz yang lebih kaya, lebih berkerabat, ternyata Hayati tak lebih seorang pemungkir janji juga. Bahkan, sanggup pula dia sendiri menuliskan surat kepada Zainuddin menyatakan Aziz adalah pilihannya sendiri memandangkan dia lebih berada. Tidak cukup dengan itu, apabila Zainuddin terlantar sakit “menanggung cinta”, Hayati datang dengan rasa tidak berbelas kasihan menunjukkan jarinya yang berinai.
Menurut Zainuddin yang kejam itu adalah Hayati! Mengikutkan darah mudanya yang panas, Zainuddin pun menjatuhkan vonis. Hayati mesti dihantar pulang ke kampungnya Padang menaiki kapal Ven Der Wijck. Tidak beliau ketahui, vonis itu jugalah yang akan memakan dirinya semula. Keesokan harinya, terpampang di dada-dada akhbar dengan tajuk “KAPAL VAN DER WIJCK TENGGELAM”. Hayati, jantung hatinya turut tenggelam bersama kapal.
Berminat untuk siarkan ulasan buku anda ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.
Jangan lupa untuk Like / Follow Konfess Buku di :
Facebook : Facebook.com/konfessbuku
Instagram : Instagram.com/konfessbuku
Twitter : Twitter.com/konfessbuku
#konfessbuku
#MalaysiaMembaca