Ulasan Buku : Tenang, Kamu Mampu

Nama buku: Tenang, Kau Mampu

Penulis: Hana Dahlia

Muka surat: 240

Penerbit: White Coat Group SDN.BhD.

Tahun terbit: 2021

Cetakan: Pertama

Lumrah bagi seorang hamba, setiap kali ditusuk oleh kesedihan yang parah tidak berhenti menadahkan doa-doa kepada Allah yang Maha mendengar. Hanyalah Dia yang mampu mengabulkan seluruh permintaan dan menghentikan seluruh keperitan. Di samping memohon kepada Dia yang Esa, pasti ada dalam kalangan kita amat menantikan satu suara yang boleh bercakap dan tangan yang boleh menepuk untuk menyedarkan kita daripada dihanyutkan oleh penderitaan. Kadang kala, kita mencari teman seperti buku untuk menyejukkan hati yang sedang tersepit dalam kedukaan.

Sekiranya, ada di antara kita berada dalam fasa resah, gelisah, dilanda kebimbangan, dibadai kegagalan yang tidak menemukan kemenangan, buku ini adalah jawapan bagi memimpin hati yang sedang terluka.

Tenang, Kau Mampu merupakan judul buku yang digarap cukup bersinar oleh penulis wanita yang dilihat berkebolehan melayangkan tintanya, Hana Dahlia.

Buku ini memuatkan nukilan yang berintikan motivasi buat mereka yang sedang sarat ditampar oleh ujian. Karya ini adalah jawapan bagi setiap titisan air mata yang telah habis ditenggelamkan oleh masalah agar mulai berhenti mendengarkan nasihat-nasihat halus bak sutera daripada pengkarya.

Kelunakan bahasa yang digunakan, menaikkan lagi seri dalam pembacaan. Meningkatkan lagi kecanduan untuk menikmati kemerduan ayat-ayat yang disimpulkan.

Sakit yang tertanggung telah dipatahkan oleh bingkisan penulis yang serba indah. Sungguh, karya ini mendatangkan kenyamanan yang luar biasa ketika membacanya. Walaupun isinya hanya beralaskan hitam putih, kata-kata daripada penulis ini telah menambahkan kepesonaan yang tiada tara.

Jiwa yang pernah mati, kini hidup kembali kerana petikan daripada sang penulis ini. Buku ini bukan cuma dihasilkan untuk membina sangkaan baik manusia kepada perancangan Allah, tetapi karya ini turut melakarkan ujian yang pernah dialami oleh sang penulis sepanjang menjadi mangsa keadaan. Ujian penulis yang mengandungi iktibar disematkan untuk kita belajar mengambil sesuatu yang bermanfaat.

Jika anda merupakan pembaca tegar terhadap karya The Bingkisan Hati, saya percaya bahawa anda akan melihat bahawa penulis buku ini membawa mesej yang sama seperti TBH dengan kepelbagaian gaya dan kematangan masing-masing.

Kehadiran karya-karya seperti ini telah membantu merawat emosi seseorang yang hampir lumpuh. Malahan, kita sebenarnya adalah manusia yang kesunyian dan perlukan dukungan melalui pembacaan.

Kekuatan pada sesuatu karya itu adalah apabila dia berjaya menarik pembaca dengan membawakan dalil-dalil yang bersesuaian dengan tema. Ini adalah buku yang sangat menepati selera sebagai pembaca yang meminati genre motivasi.

Buat mereka yang mahukan refleksi diri, pujuklah hati membaca karya ini kerana,

1. Karangan penulis yang cukup santai namun amat bermakna sekiranya kita berjaya mengambil ia sebagai pelajaran.

2. Buku ini bukan mengajak untuk kita bertuhankan kepada manusia, tetapi membawa kita kembali menyerahkan seluruh urusan takdir agar dapat meneguhkan semula kekuatan asbab apa saja yang berlaku kerana ujian dunia.

3. Membina kebahagiaan yang pernah diruntuhkan oleh perpisahan, memekarkan semula bunga-bunga hati yang pernah layu, semua panduan tersimpan kemas dalam karya ini.

4. Berbekalkan ayat al-Quran, cantuman hadis dan kisah-kisah orang soleh mampu menambahkan lagi keyakinan kita terhadap balasan-balasan terbaik kepada mereka yang penuh bersabar atas ‘kemalangan’ yang menimpa.

5. Terakhir, penulis menghadiahkan pembaca koleksi kata-kata puitis pada bahagian yang diberi tajuk, ‘Contengan Aksara’. Seakan-akan senandung puisi yang disusun buat titipan pembaca.

Sebagai penutup, hayatilah cebisan ayat ini yang tertera dalam halaman 84,

“Hidup adalah sebuah perjalanan. Bilamana kepenatan membuat langkah kaki kita terhenti, rehat sebentar dan berbanggalah dengan perjuangan kita selama ini. Bilamana kesakitan membuat diri merasa tidak lagi kuat untuk terus berjalan – menepilah dan minta kekuatan, juga pertolongan dari Tuhan.”

Selamat membaca,

semoga kita, tenang-tenang sahaja.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Syuhara Suriati
Syuhara Suriati

Penulis artikel, antologi dan anekdot.🌷Isteri suri membaca dan menulis 🌷

Articles: 67