Ulasan Buku : Skizofrenia

Judul: Skizofrenia.

Penulis: Salmizah Jusoh.

Penerbit: Nurin Maju Enterprise.

Tahun Penerbitan: 2012.

Jumlah Halaman: 144.

“Andai keinginan tidak dapat dicitakan kerana halangan agama, bukan agama yang perlu dibuang. Tetapi cita-cita yang perlu dipertimbangkan”.

Frasa yang dibina ini berkesinambungan dengan plot kisah benar yang telah difiksyenkan berjudul , ‘Skizofrenia’ yang dimantapkan dengan 13 bab dalam sebuah naskhah oleh penulis hebat yakni Salmizah Jusoh. Sebut sahaja skizofrenia, netizen alaf 21 kian ramai mengenalinya kerana ia merupakan sejenis penyakit mental yang berada di ambang serius bagi segelintir individu. Penyakit ini dikatakan boleh menjejaskan fungsi akal manusia daripada bekerja dengan waras. Risiko skizofrenia adalah ia mempengaruhi tahap pemikiran, perasaan serta tingkah laku pesakitnya sehingga mengakibatkan individu yang menghidapinya berada dalam halusinasi yang berbeza dengan manusia akal sihat yang lain. Malahan sukar membandingkan antara realiti atau jelmaan imaginasinya semata-mata.

            Sedemikian tajuk karya yang sangat hampir dengan isu dalam kain masyarakat yang jarang diketengahkan oleh penulis lain lantaran kadar berlakunya penyakit skizofenia tidak setinggi penyakit kemurungan serta penyakit utama yang lain. Bertitik tolak daripada judul buku, penulis membawakan kisah Murad yang menggunakan bomoh Siam yakni Tok Samprong bagi memenuhi hajatnya menjawat pangkat Datuk. Namun hal yang tidak diduga oleh Murad adalah Tok Samprong sanggup memanggal kepala anak gadis Murad iaitu Wati semata-mata untuk diserukan mantera bagi menuruti kemahuan Murad. Anak gadis sulung yang perawan dan lahir daripada ibu bapa sulung dijadikan korban dengan bayaran upah sebanyak 40 ribu ringgit! Setelah mengetahui bahawa anak gadisnya sendiri yang dibunuh oleh Tok Samprong, Murad menebus kepala Tok Samprong pula sebagai balasan ganti, nyawa dibayar nyawa. Tragedi ngeri seperti inilah yang terjadi kepada sebilangan pesakit skizofrenia yang akhirnya menghilangkan seluruh kedamaian minda yang pernah dikecapi sebelum ini.

Sama ada sedar atau tidak, kita mengakui bahawa segala mutu kecanggihan telah melebihi satu langkah ke hadapan, namun adakah pembangunan prasarana saling berkompitensi dengan rentak pemikiran manusia? Sekiranya kita mengiyakan, bolehkah manusia yang telah tersebar namanya sebagai seorang usahawan seperti Murad, di mata masyarakat diklasifikasikan sebagai subjek yang maju hanya kerana sakunya sarat wang? Sebegitu mudahkah kayu ukur bagi seseorang anak bangsa? Bagaimanakah pula dengan keteguhan dan kepercayaannya kepada Tuhan? Adakah kerana soal yakin dan taat terpasak dalam lindungan hati yang tersembunyi, maka kita pukul rata bahawa semua Muslim berkompaskan agama Rasulullah s.a.w semuanya?

Sesekali, soalan yang bertali arus amat wajar untuk dibincangkan kerana anatomi jasad yang sihat adalah daripada spiritual yang juga sejahtera. Kesejahteraan aspek minda dan hati terhadap luhur agama Islam pula dapat dizahirkan menerusi emperikal. Perbuatan tunduk, rukuk dan sujud menghadap kiblat hanyalah amalan zahir yang boleh dipertontonkan oleh sesiapa sahaja. Kendatipun begitu, kadar taqwa seseorang tetap tidak dapat dibuktikan andai individu tersebut tidak terbuka dalam berkongsi dan menyembunyikannya sebagai sesuatu yang misteri. Kalam Ilahi telah menegaskan bahawa sifat hati berbolak-balik. Makna kata, boleh tetap pada satu pendirian atau berubah andai tidak dirapikan dengan peringatan mengenai azab akhirat. Begitulah yang terjadi kepada Murad. Kesilapan terbesar yang dilakukannya adalah syirik kepada Allah s.w.t dengan tidak memohon kepadaNya menerusi senjata doa, malahan menggunakan khidmat bomoh sehingga melakukan dua pembunuhan yang haram dalam satu malam!

            Klimaks dalam karya ini dikongsikan pula mengenai kisah Rohaizad yang mengalami gangguan akibat membawa pulang cenderamata berupa patung kayu, usai pulang dari pesta Kaamatan di Sabah. Ternyata patung wanita dengan ukiran seni halus tersebut berubah menjadi seorang wanita berpakaian tradisonal Kadazandusun yang menyanyi dengan suara yang merdu bak buluh perindu. Namun suara mengilai jelmaan patung kayu itu menjadi pengalaman ngeri dalam hidup Rohaizad sehingga mengakibatkan Rohaizad tidak sedarkan diri selama seminggu lamanya. Bahkan Rohaizad begitu lemah untuk menceritakan malam seram yang ditempuhi kepada keluarganya. Kisah benar selanjutnya juga adalah berkisar mengenai gangguan mistik daripada bab yang diberi nama, ‘Bersahabat dengan makhluk ghaib’, ‘Hantu perempuan Cina’, ‘Patung Puaka Wat Buppharam’, ‘Hantu tanpa kepala’, ‘Carikan tanganku’, dan banyak lagi sehingga kepada bab ke 13 yang bertajuk ‘Hantu anak Pak Umang’.

            Kesemua perkongsian dalam naskhah ini memaparkan kisah-kisah yang pernah terjadi dalam kalangan masyarakat di persekitaran kita yang mana sangat berguna untuk dijadikan pengajaran buat sesiapa yang belum pernah mengalaminya. Laras bahasa yang bersahaja adalah sangat mudah difahami oleh semua peringkat umur dan rumpun kaum yang berbeza. Sejenak kesedaran buat pembaca agar tidak menghakimi insan-insan yang diuji dengan penyakit skozofrenia, kerana punca penyakit yang tidak kita sendiri ketahui. Bak kata pepatah, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Ada dalam kalangan penyakit skozofrenia yang menerima ulah daripada dosa lampau, ada juga yang berlaku tanpa diketahui pucuk pangkalnya. Justeru, bacaan ini sangat bermaslahat dalam menokok tambah info terkini buat sang pencari dan penggemar kisah benar yang telah diadaptasikan dengan lebih ringkas dan padat. Suka saya nokhtahkan risensi karya skizofrenia dengan bait kata yang berkorelasi dengan hamparan kisah teladan yang dikongsikan oleh penulis, iaitu;

Kita dan mereka hanyalah pencari,

Mencari makna disebalik kata,

Mencari hikmah disebalik pandang,

Mencari lapang disebalik sempit ruang,

Mencari selesa disebalik segenap gelisah resah,

Mencari kuat disebalik asak susah payah,

Mencari redha disebalik ulah dan tingkah,

Mencari ampun disebalik dosa dan salah,

Semoga yang dicari akan ditemui.

(Unggahan kata daripada karya Khair, 2018)


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


.Atiqah Abd Rahim.
.Atiqah Abd Rahim.

Penuntut UKM Bangi, jurusan Usuluddin & Falsafah.

Articles: 20