Selamat Datang Ke Laman Web Konfess Buku
Ulasan Buku : Siput Yang Mengubah Sejarah
“…kesilapan yang berlaku pada suatu masa dahulu boleh berulang sekali lagi, jikalau manusia melupakan sejarah ketamadunan dan tiada sifat untuk berubah mengikut zaman.”
Siput Yang Mengubah Sejarah merupakan buku pertama dari penulis Syed Azharul Asriq, tetapi ia bacaan kedua saya dari penulis ini selepas buku terbaru beliau yang bertajuk Kerana Cinta Aku Derhaka (kisah travelog menjejak sejarah Johor Lama).
Siput Yang Mengubah Sejarah diterbitkan pada tahun 2016 ketika penulisnya sedang menuntut ilmu perundangan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Buku ini menggarap empat episod bermula dengan episod Sejarah Dan Perundangan, Kisah Untuk Pemuda, Sejarah Negara Kita dan Sejarah Dunia. Semuanya tentang sejarah. Ini buku sejarah. Jika sejarah sinonim dengan rasa bosan tetapi buku ini tidak. Penulisannya yang santai kritis menjadikan sejarah yang diceritakan tidak rumit dan mampu dihadam dengan baik, juga ada disertakan gambar-gambar peristiwa sejarah sebagai tatapan pembaca. Apa yang lebih mengujakan, tulisan dan idea beliau diiringi dan dikaitkan dengan petikan ayat al-Quran dan hadis. Dalam kita membaca sejarah, kalam Tuhan tidak diketepikan. Tahniah Syed!
Dua topik yang menarik perhatian saya dalam buku ini ialah kisah sejarah perundangan negara yang pelbagai dan aneh dan tokoh sejarah negara yang jarang kita kenali. Siapa sangka suatu ketika dahulu, haiwan juga terikat dengan perundangan ciptaan manusia. Seekor khinzir telah dihukum gantung di Perancis, ayam jantan dibicarakan di Basle, seekor tikus pernah memenangi kes mahkamah, dua ekor anjing dihukum mati di Amerika, gajah yang dihukum gantung dan beruk dituduh menjadi perisik kepada musuh negara. Fikiran saya masih tidak dapat dicernakan tentang penglibatan haiwan yang tidak berakal dalam perundangan yang dicipta oleh manusia berakal.
Kedua yang menarik ialah kisah tentang sejarah tokoh yang disampaikan. Antara tokoh yang diceritakan dalam buku ini ialah Prof. Ahmad Ibrahim yang namanya diabadikan kepada fakulti perundangan di UIAM. Beliau ialah peguam kepada Natrah, kanak-kanak Belanda yang dipaksa menjadi murtad dan dihantar pulang ke negara asal kerana keputusan mahkamah menyebelahi ibu dan ayah kandungnya. Kes ini berlaku di Singapura sekitar tahun 1950-an dan mendapat perhatian dari warga seantero nusantara ketika itu.
Selain tokoh dalam negara, tokoh dari luar negara dan tamadun terdahulu juga dibentangkan dalam buku ini sebagai pedoman buat pembaca, seperti kisah pemuda penakluk iaitu Alexander The Great (356SM – 323SM) dan Sultan Muhammad Al-Fateh (1432 – 1481). Buku ini menjadi semakin menarik apabila diselitkan kisah perjuangan anak muda, dan tokoh yang dipilih ialah pejuang yang jarang disebut-sebut. Bermula dari bumi India, ramai yang mengenali dan menyebut nama Mahatma Gandhi tetapi tidak ramai yang mengenali anak muda bernama Bhagat Singh (1907 – 1931) dan slogannya “Inquilab Zindabad!” bermaksud “Hidup Revolusi!”. Beliau juga salah seorang pejuang kemerdekaan bagi India.
Seterusnya, masih tentang tokoh anak muda iaitu seorang mahasiswa Jerman bernama Sophie Scholl (1921 – 1943) yang hidup pada zaman kekuasaan Adolf Hitler. Beliau berjuang melalui gerakan The White Rose dengan bermatlamat anti-peperangan. Mereka menyebarkan keamanan melalui risalah untuk menentang peperangan yang dilancarkan oleh Nazi. Kembali ke Malaysia, kisah seorang pejuang Muda Sarawak iaitu Rosli Dhobby (1932 – 1950) yang ada diceritakan dalam buku teks Sejarah sekolah menengah.
Ketiga-tiga tokoh ini mempunyai jati diri dan prinsip yang sama iaitu mereka mencintai tanah air dan membenci kezaliman. Tiga orang pejuang muda tersebut tidak berjuang sendirian. Mereka masing-masing ditemani oleh dua orang rakan sebagai penguat semangat. Ini menunjukkan sesuatu perubahan dengan impak yang luar biasa tidak mampu dikerjakan oleh seorang sahaja. Perjuangan ketiga-tiga tokoh ini berakhir dengan kezaliman, mereka dikenakan hukuman gantung sampai mati. Jasad boleh dibunuh tetapi idea dan pemikiran akan terus hidup.
Dunia berubah, kini mereka diangkat sebagai pejuang negara masing-masing dan dirakamkan perjuangan mereka melalui filem The Legend of Bhagat Singh (2002) dan Sophie Scholl: The Final Days (2005). Kisah anak muda Rosli Dhobby pula dibentangkan melalui drama bersiri Warkah Terakhir. Semoga ada usaha industri perfileman Malaysia untuk menjadikannya sebuah filem dengan memberi nafas baru supaya dapat diinpirasikan oleh rakyat Malaysia khususnya. Kerana melalui seni filem, sejarah itu kelihatan “hidup”, menarik dan berimpak.
P/s: Siput Yang Mengubah Sejarah yang menjadi tajuk buku ini ialah kisah yang benar pernah berlaku. Jemput baca!
Nur Mustika Adriena
16 April 2018|Alor Setar
Berminat untuk siarkan ulasan buku anda ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.
Jangan lupa untuk Like / Follow Konfess Buku di :
Facebook : Facebook.com/konfessbuku
Instagram : Instagram.com/konfessbuku
Twitter : Twitter.com/konfessbuku
#konfessbuku
#MalaysiaMembaca