Selamat Datang Ke Laman Web Konfess Buku
Ulasan Buku : Seruan Lelaki Budiman
“HAMKA merupakan hamba Allah yang terpilih. Seorang alim, pengarang dan pujangga.”
Seruan Lelaki Budiman, sebuah lagi buku baru dari Jejak Tarbiah yang menyoroti keperibadian dan perjalanan hidup seorang tokoh nusantara iaitu Haji Abdul Malik Karim Amrullah (HAMKA). Dengan gabungan lapan artikel daripada lapan orang penulis, terhasillah buku ini yang mengandungi 147 muka surat. Lapan artikel tersebut ialah Prakata: Hamka Roman Si Bujang Jauh oleh S.M. Zakir, Legasi Seorang Ulama kepada Anaknya oleh Muhammad Shah Ahmad Nor, Ulama Penuh Romansa oleh Surya Bunawan, Pengaruh Alam dalam Mencetak Lelaki Seperti Hamka oleh Muhamad Hanapi Jamaludin, Insan Budiman oleh Budiman Mohd Zohdi, Kerana Hamka Aku Mengembara oleh Syed Azharul Asriq, Mencari Lelaki Pembela Perempuan oleh Zahrah Yunos dan Lelaki Tangguh oleh Tin Miswary.
Empat artikel terawal dalam buku ini menceritakan bagaimana Hamka menjadi Hamka. Dapatlah saya simpulkan bahawa keperibadian Hamka yang tersohor sebagai ulama’ multidimensi dibentuk oleh beberapa faktor seperti keturunan, kedudukan geografi kampung halaman, persekitaran sosial budaya dan pengalaman hidup yang rencam. Sisi peribadi Hamka sebagai ulama’ ternyata diwarisi oleh ayahnya, Haji Abdul Karim Amrullah (HAKA) iaitu seorang tokoh islah di Minangkabau. Datuk (Syeikh Muhammad Amrullah) dan moyang (Tuanku Abdullah Saleh) kepada Buya Hamka juga antara ulama’ besar suatu ketika dahulu. Manakala sisi peribadi Hamka sebagai sasterawan pula dipengaruhi oleh pemandangan indah wilayah Minangkabau; tempat Hamka membesar yang bergunung-ganang, danau hijau dan hutan pekat. Warna dan perhiasan alam yang cantik terletak di sekeliling beliau sedikit sebanyak telah menimbulkan kehalusan seni berbahasa dalam jiwa Hamka.
Selain itu, persekitaran sosial budaya Minangkabau turut memainkan peranan dalam membentuk peribadi Hamka melalui adat bujang di surau. Adat bujang di surau menggalakkan setiap kanak-kanak lelaki yang sudah berusia 10 tahun untuk menghabiskan banyak masa di surau kampung mereka. Di surau, mereka diajar pelajaran agama, seni mempertahankan diri, adat budaya dan pepatah lama yang penuh makna tersirat. Secara tidak langsung, kehidupan di surau yang begini mendidik sikap anak lelaki untuk berdikari, berani dan tidak canggung bermasyarakat. Berbekalkan sikap-sikap ini yang tertanam dalam diri Hamka hasil pendidikan tidak formal di surau telah membawa Hamka kepada kehidupan perantauan, yang menghamparkan pelbagai pengalaman pahit manis kehidupan, lalu jadilah Hamka lelaki yang tangguh.
Empat artikel yang seterusnya pula mengisahkan cerminan keperibadian atau kebudian Hamka dalam karyanya, tingkah laku, cara beliau berinteraksi dengan alam dan menghadapi permasalahan sosial dalam masyarakat. Memandangkan sikap budiman seorang lelaki itu sinonim dengan kehalusan budi pekerti, bertanggungjawab dan cara layanan yang baik terhadap perempuan, saya merasakan artikel Dr Zahrah Yunos yang bertajuk Mencari Lelaki Pembela Perempuan dan artikel Tin Miswary yang bertajuk Lelaki Tangguh betul-betul memaknai tajuk buku ini, Seruan Lelaki Budiman. Lelaki budiman itu tidak bersikap kasar dan tidak juga dayus! Di samping itu, artikel Insan Budiman yang ditulis oleh YB Budiman Mohd Zohdi telah meluaskan lagi pengertian sikap budiman tidak hanya tentang penghormatan dan aspek romantisme terhadap kaum perempuan semata-mata. Lelaki budiman juga akan meninggalkan jejak yang baik untuk diikuti. Dan Hamka telah berjaya mempengaruhi penulis Syed Azharul Asriq untuk mengembara mencari hikmat sejarah melalui karya-karyanya sehinggakan Syed mempersembahkan artikelnya dengan tajuk Kerana Hamka Aku Mengembara.
Tuntasnya, buku ini akan lebih menarik jika diperbanyak artikel berteraskan peribadi dan sikap Hamka seperti artikel empat yang akhir. Sebagai penutup ulasan, jika kalian para lelaki mahu menjadi budiman atau mahu mengukur diri, bacalah buku ini dan ia akan bawa kalian menjadi budiman yang terdidik kerana pemahaman budiman yang secara umum pada era tanpa sempadan ini telah dicampur-adukkan dengan pemahaman dari Barat. Dan, walaupun buku ini dari tajuknya terlihat seperti hanya memfokuskan kepada lelaki, namun ia juga perlu dibaca oleh perempuan khususnya ibu-ibu supaya dapat mendidik anak lelaki menjadi budiman sejak awal usia. Ini kerana sikap budiman perlu dipupuk, ia tidak datang sendiri ke dalam diri lelaki ketika ia dewasa kelak.
Nur Mustika Adriena
3 Mei 2018 | Alor Setar
Berminat untuk siarkan ulasan buku anda ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.
Jangan lupa untuk Like / Follow Konfess Buku di :
Facebook : Facebook.com/konfessbuku
Instagram : Instagram.com/konfessbuku
Twitter : Twitter.com/konfessbuku
#konfessbuku
#MalaysiaMembaca