Ulasan Buku : Secangkir Teh Pengubat Letih

Buku ini memuatkan kompilasi sketsa-sketsa pendek dan menghuraikan sudut pandang atau tadabbur alam yang dilakukan oleh penulis, Ust. Hasrizal Abdul Jamil sepanjang permusafirannya ke bumi Ataturk. Seperti kata penulis “Siapa kamu menentukan cara kamu melihat. Cara kamu melihat menentukan apa yang kamu dapat”.

Tidak keterlaluan untuk saya katakan penulis adalah seorang yang obses kepada Turki. Baik dari sudut sejarah Turki Uthamniyyah sehinggalah ke tingkah laku orang Turki, semuanya menjadi perhatian yang menarik dari kaca mata penulis. Sehinggakan, sewaktu penulis mengambil ijazah di Jordan, tiap kali elaun belajarnya masuk, beliau pasti akan mengasingkan sebahagian untuk perbelanjaannya bermuasafir ke Turki. Bahkan, apabila beliau tertekan atau “stress” dengan bebanan pelajaran, beliau akan terus membeli tiket penerbangan dan “fly” ketika itu juga ke Turki berseorangan.

Keindahan pemandangan bumi khalifah terakhir umat Islam yang sarat dengan kisah-kisah silam itu tidak pernah gagal memujuk jiwa mudanya yang gundah gulana. Sangat menarik saya dapati bagaimana penulis dengan yakin bermusafir keseorangan membawa diri di celah-celahan bumi Ataturk. Barangkali tidak ada yang bermain di mindanya ketika itu melainkan rasa tenang mentadabbur tanah kelahirannya Sultan Muhammad al-Fateh. Sekalipun di Jordan, penulis akan memastikan hujung minggunya terisi dengan melawat rakan-rakan Turki beliau yang menuntut di Jordan. Nah, kalau begini pun bukan obses, saya tidak tahu apa lagi yang dimaksudkan dengan obses.

Satu lagi sisi menarik yang diceritakan oleh penulis adalah bagaimana prihatinnya orang-orang Turki dengan isu semasa. Sebagai contoh, apabila sampai sahaja waktu berita, semua pekerjaan yang dilakukan ketika itu akan terhenti dan sepenuh perhatian akan diberikan kepada sosok tubuh pemberita di kaca televisyen. Mahasiswa-mahasiswi Turki juga sangat cakna dengan perkembangan politik negara. Misalnya, acap kali berlaku pertembungan antara polis dan mahasiswi lantaran keengganan mereka untuk tunduk kepada undang-undang sekular yang mengharamkan pemakaian hijab di kawasan universiti.

Penulis juga sempat mengkritik sikap segelintir mahasiwa tanah air yang langsung “tidak ambil port” dengan isu-isu semasa. Beliau menggelarkan gejala ini sebagai “aku tidak pedulisme”. Mahasiswa-mahasiwi adalah golongan intelekktual masyarakat. Nak tak nak mereka bertanggung jawab memimpin dan menggerakkan masyarakat ke arah yang lebih baik. Kalau tidak, buat apa mak ayah di kampung bergolok gadai demi semata-mata ingin melihat kita di menara gading?

Sebagai penutup, saya ingin merekomendasi buku ini kepada semua mahasiswa tanah air. Garis masa penulisan buku ini yang tertumpu kepada zaman mahasiswa, kritikan sosial yang tajam hasil perbandingan insaf penulis, disaratkan lagi dengan informasi-informasi sejarah yang disampaikan secara santai menjadikan buku ini ideal untuk dimiliki oleh golongan anak muda yang sentiasa dahagakan ilmu. Walau di mana pun kita berada, moga-moga kita senantiasa dirahmati oleh Allah swt.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Muhammad Haziq Muhammad Khairin
Muhammad Haziq Muhammad Khairin
Articles: 5