Ulasan Buku : Sebarkan Cinta-Mu

Bismillahirrahmanirrahim..

Penulis novel tempatan, Ustazah Fatimah Syarha Binti Mohd Noordin bukan lagi nama yang asing bagi pembaca buku di Malaysia khususnya yang meminati genre novel. Hasil karya beliau seperti Cinta High Class, Syabab Musafir Kasih dan Tautan Hati telah mendapat sambutan malah beliau pernah dinobatkan sebagai pemenang ketiga Sayembara Mengarang Novel Remaja DBP 2006 pada novel beliau Seindah Mawar Berduri . Terdapat juga karya beliau yang telah diadaptasi menjadi tayangan drama iaitu novel Aku Ada Wali.

Novel beliau yang saya pernah baca ialah bertajuk Sebarkan Cinta-Mu. Novel ini telah diterbitkan oleh PTS Litera pada tahun 2011. Secara jujurnya, saya tidak tahu dari mana hendak memulakan ulasan kerana novel setebal 874 muka surat ini sarat dengan ilmu dan mesej yang sangat bermanfaat untuk dikongsi. Saya hanya memberi perkongsian penting mana yang perlu ‘dihighlightkan’.

1) Keagamaan

Sebarkan Cinta-Mu merupakan novel islamik yang banyak mengupas perbincangan agama terutamanya dalam bab Fiqh Munakahat seperti khitbah iaitu pertunangan, nikah, hak kewajipan suami isteri, talak, khuluk dan fasakh. Namun apa yang lebih ditekankan dalam perbincangan fiqh munakahat ini ialah salah faham masyarakat tentang pelaksanaan ‘poligami’. Oleh kerana realiti masyarakat awam yang masih samar dan kurang jelas tentang poligami, maka berlakulah kepincangan rumah tangga. Maka dengan itu di dalam novel ini penulis secara terperinci menjelaskan bagaimanakah pelaksanaan poligami yang sebenar berlandaskan syariat Islam.

Selain itu, terdapat juga topik lain yang mana penulis sentiasa menggunakan hujah berdasarkan dalil naqli iaitu Al-Quran dan Hadis bagi menjernihkan kekeruhan fahaman golongan pemikir yang didoktrin dengan ideologi liberalisme dan feminisme yang bercelaru ini . Mereka menganggap hukum perundangan agama Islam sudah tidak relevan untuk dipraktikkan pada masa kini. Malah, mereka juga mendakwa bahawa agama Islam mendiskriminasikan hak wanita kerana hanya berat sebelah kepada kaum lelaki sama ada dari segi hal rumah tangga, pembahagian harta pusaka termasuklah soal menutup aurat. Pertikaian tentang aurat Muslimah juga telah dihuraikan panjang lebar bagi menyangkal tafsiran salah golongan berfikir logik ini.

Apabila saya menyebut novel ini tentang keagamaan, ia bukanlah sesuatu bacaan berat yang sulit difahami atau hanya golongan yang mempelajari bidang agama sahaja yang boleh membacanya. Bahkan inilah tujuan penulis menghasilkan sebuah karya novel islamik yang padat dengan ilmu pengetahuan agama yang disampaikan dalam bentuk perbualan dan penceritaan. Penulis menggunakan novel sebagai alternatif untuk menyampaikan dakwah dengan berbekalkan bakat menulis serta ilmu yang dipelajari berdasarkan keahlian beliau. Saya berpendapat novel ini boleh menjadi pencerahan kepada masyarakat awam yang masih kurang arif ilmu agama tanpa mereka perlu membelek kitab-kitab Fiqh. Mungkin saja setiap perbincangan yang diketengahkan dalam buku ini adalah lambakan persoalan masyarakat yang sekian lama terbuku dalam hati mereka.

2) Don’t judge the book by it’s cover

Saya tertarik dengan watak utama yang dipersembahkan penulis dalam novel ini. Ibu Dhiya adalah bekas pelajar cemerlang pesantren di Indonesia yang tinggi ilmu agamanya. Ibu Dhiya telah berhijrah ke Malaysia dan bekerja sebagai tukang sapu di sebuah kolej swasta. Di kolej tersebutlah, Ibu Dhiya bertemu dengan pelbagai ragam manusia seperti watak Sarah,Dina,Ibu Satri,Ustazah Qatrun dan Madam Zeema yang masing-masing mengalami masalah dan krisis keluarga. Di sini pentingnya peranan Ibu Dhiya untuk menghidupkan diskusi ilmiah bagi membantu menghilangkan kekeliruan mereka yang mempunyai tanggapan yang salah terhadap agama. Ibu Dhiya hanya dipandang sebagai seorang ‘ makcik tukang sapu’ biasa . Sedangkan di sebalik pekerjaan dan pakaian serba serbi Ibu Dhiya itu tersembunyi 1001 ilmu yang dikuasai olehnya terutamanya tentang kefahaman agama.

 Apa yang penulis ingin zahirkan dalam watak Ibu Dhiya ini, ketinggian ilmu seseorang itu tidak semestinya dilihat pada pangkat dan jawatan mahupun penampilannya. Watak Ibu Dhiya menyedarkan saya adakalanya menjadi seorang yang ‘low profile’ itu lebih baik kerana tidak terjebak dengan fitnah ilmu. Berbanding ‘sesetengah’ orang yang dikenali , mereka ini suka berbangga dengan ilmu dimiliki yang hanya ibarat setitis air dari lautan yang luas itu. Lebih-lebih lagi pada zaman sekarang semua manusia berlumba-lumba dan bersaing untuk menonjolkan kehebatan ilmu mereka dengan membuang masa dalam arena perdebabatan yang sia-sia. Oleh sebab itulah saya katakan ‘Don’t judge the book by its cover!’ , saya percaya di zaman kini watak seperti Ibu Dhiya itu wujud dan boleh jadi orang tersebut berada di sekeliling kita.

3) Jumud,Wasatiyyah dan Liberal

Penulis juga telah meletakkan tiga jenis latar masyarakat, iaitu masyarakat yang berfikiran tertutup, pertengahan dan terbuka. Secara realitinya, tiga kategori ini memang wujud tidak kira mana-mana peringkat lapisan masyarakat sekalipun. Seiring dengan dengan pengalaman hidup yang diharungi, serta pemikiran yang diserap dan ilmu yang dipelajari menjadikan manusia itu masing-masing mempunyai pendirian dan prinsip tersendiri.

 Novel ini cuba memaparkan akibat daripada fenomena sekularisasi ilmu, maka lahirlah individu yang berfikiran jumud , iaitu mereka yang tidak menerima ilmu selain daripada ilmu Al-Quran dan Hadis kerana melabel ia sebagai ilmu orang kafir. Golongan jumud ini cenderung dengan sifat ‘mengkafirkan orang’. Begitu juga dengan mereka yang hanya terdedah dengan pendidikan Barat. Cara mereka berfikir mampu menggugat akidah sehingga ke tahap mempertikaikan syariat Allah. Inilah kesan apabila ilmu itu tidak diselarikan dengan wahyu Allah, segala sudut pandang kehidupan dianggap tiada kaitan dengan agama Sepatutnya, individu Muslim yang ideal itu hendaklah bersifat wasatiyyah. Mereka tidak terlalu jumud atau terbuka dengan tidak cuba mengasingkan ilmu dunia dan ilmu akhirat, yang saya rasa tidak perlu dikategorikan seperti demikian kerana kesemua ilmu ini adalah milik Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.

Akhir sekali, mungkin saya agak bias tentang novel ini kerana tidak terlalu menyatakan kekurangan dan kelemahan kandungan novel. Cuma apa yang saya boleh kritik seperti lazimnya bagi sebuah buku fiksyen novel ini mempunyai plot penceritaan agak panjang .Watak sampingan dalam novel ini juga terlalu banyak sehingga di dalam beberapa bab tertentu , saya hampir terlupa watak tersebut pernah dinyatakan di bab sebelumnya. Namun begitu, penulis bijak menarik perhatian saya untuk terus menghabiskan setiap bab kerana terselit pengajaran, ilmu baru serta penulis juga meletakkan beberapa trivia info-info menarik daripada sumber internet, buku, artikel , fatwa ulama serta terdapat juga akta-akta yang berkaitan.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Maisaratul
Maisaratul

Watashi no namae wa 'Shiawase' desu

Articles: 3