Selamat Datang Ke Laman Web Konfess Buku
Ulasan Buku : Sanctuaria
Tajuk : Sanctuaria
Penulis : Shaz Johar
Penerbit : Buku Fixi
Tahun Penerbitan : 2014
Jumlah Halaman : 296
“Akal kita, jiwa kita, jemari kita dan arah langkah kita sebagai manusia sentiasa mempunyai akses kepada kebenaran dan menyedari akan hakikat kebenaran. Namun kebenaran yang ingin diwujudkan tidak harus dicampuradukkan dengan revolusi semasa sehingga mengenepikan tuntutan agama yang merupakan benih semaian asas kepada kebenaran”.
Kenyataan inilah yang terbit tatkala saya menjejaki bab demi bab dalam karya ini. Pada hemat saya, novel ini telah mengangkat persoalan agama yang umum mengenai aspek toleransi dalam beragama. Akan tetapi, sedikit kritikan terpaksa saya ujarkan berikutan terlalu banyak watak yang dipaparkan dalam penceritaan ini. Kepadatan watak turut mempengaruhi tahap kefahaman pembaca bagi menghayati plot kisah yang begitu komplikated dan rumit. Namun demikian, kepelbagaian watak yang menghiasi tabir cerita hanyalah secalit cabaran yang perlu disahut sebagai seorang pembaca agar mindanya sentiasa aktif dalam proses mengingat akan setiap episod sehingga sampai kepada episod yang terakhir. Maka bagi saya, pembaca yang menginginkan ujian bagi mengasah frekuensi minda dalam membaca, amat digalakkan agar memilih karya ini sebagai salah buku yang wajib difahami dan dihadamkan.
Sebelum melangkau kepada intipati novel, tentunya pembaca akan terpegun dengan satu perkataan bagi judul karya ini iaitu, “Sanctuaria”. Sanctuaria merupakan nama tempat bagi suatu komuniti yang terasing dan tinggal agak terpencil dan sedikit jauh dariapda kampung yang ditadbir urus sepenuhnya oleh organisasi yang diiktiraf oleh kerajaan iaitua Kampung Melekit. Perintis yang membuka kediaman Sanctuaria dikenali sebagai Yang Arif yang mana beliau memiliki empat orang isteri, Charmaine, Sumalee, Rani dan Siti. Paltform Sanctuaria memiliki segala infrastruktur asas yang diperlukan sebagaimana penduduk di kawasan kampung yang terdekat, seperti klinik, sekolah, dewan untuk bersidang bagi ahli komuti dan perusahaan tanaman, ladang ternakan serta kuih-muih untuk diniagakan sebagai sumber pendapatan. Namun, suatu misteri harus dirungkai mengenai Sanctuaria agar segala tohmahan yang dilemparkan oleh penduduk Kampung Melekit serta kampung sekitarnya terjawab akhirnya.
Beralih kepada watak pertama yang turut menyandang sebagai watak utama dalam novel ini ialah Musliha atau dibahasakan sebagai Mus agar kelihatan seperti lelaki. Antara salah satu ilmu baru yang boleh ditambah melalui pembacaan terhadap naskhah hebat ini adalah mengenai kisah keberanian si tomboy Mus. Meskipun karakter dari sudut penampilan kelakian Mus tidak wajar diikuti dari sisi syarak kerana sudah terang lagi bersuluh ia ditegah oleh agama. Namun, ujian yang bersilih ganti dalam hidupnya amat perlu untuk dijadikan iktibar. Hal ini demikian kerana, walaupun hidup sebatang kara kerana merantau tanpa wang saku yang cukup ke suatu desa yang sangat janggal baginya, Mus tidak meninggalkan solat fardhu. Hanya solat yang menjadi ikatan hati dan sandaran lelah kepada Tuhan saat merasa terasing di daerah yang baru dijejakinya. Ujian bertimpa kian menghimpit tatkala Mus mengenali Rani yang akhirnya membawa Mus ke bumi baru yang bernama Sanctuaria. Walhal pada waktu sebelumnya, Mus telah dinasihatkan oleh Pak Maarof agar tidak mendekati apatah lagi memasuki Sanctuaria.
Setelah tanpa sengaja menjadi salah seorang penduduk Sanctuaria, Mus menyedari banyak perkara yang aneh dan ganjil yang menjadi amalan warga Sanctuaria seperti meminum air sirap limau dan memakan cendawan merah. Bukan itu sahaja, pelbagai polemik mula terbit mengenai cara menyelenggara dan mengendalikan komuniti Sanctuaria. Masyarakat Sanctuaria atau Sanctuarian menggelarkan diri mereka contoh yang jauh dari sifat pilih kasih, perbezaan rumpun bangsa mahupun agama. Malahan bebas melakukan apa sahaja tanpa sekatan yang mengongkong agar kebahagiaan mutlak dikecapai secara maksima. Sedikit demi sedikit kelompongan dilihat oleh Mus sewaktu mendiami Sanctuaria, terutamanya saat menggauli ahli Sanctuaria seperti Tia dan Yusri. Benarlah, keteguhan pendirian amat penting tatkala memutuskan apa jua keputusan kerana sekali kita terlajak, amat sukar untuk berundur ke belakang, sekalipun dengan berundur sahaja, kita tidak akan terus dalam kesesatan. Kesilapan terbesar Mus adalah kerana memilih untuk menetap seketika di Sanctuaria demi mengumpulkan wang agar dapat melanjutkan ekspedisi seterusnya kelak. Persoalannya, benarkah kata-kata Pak Maarof dan orang Kampung Melekit bahawasanya sekali menjadi penghuni Sanctuaria, maka selamanya adalah Sanctuarian?
Aneka persoalan dan jawapan mengenai Mus, Yusri, Tia, Yang Arif, Charmaiane dan kundi-kundinya saya simpan buat seruan pembaca yang lain agar turut meluangkan masa bagi mencerna minda dengan membaca karya ini. Akhirulkalam dari saya, naskhah ini sesuai untuk umat Islam, khususnya yang ingin memahami jalur kehidupan mengenai kebenaran dalam bentuk pengadaptasian cerita. Input positifnya banyak dan antaranya ialah mengenai suatu peringatan mengenai kebenaran. Ingatlah saudara seagama, walau berbeza asal bangsa. Usahlah mengamalkan agama hanya pada perintah yang kondusif dan penilaian yang dampak ekslusif sahaja. Tapi pasakkanlah tegahan dan suruhan agama seikhlas raga kerana dengan demikian kita akan menyuluh agama sebagai suatu keindahan yang benar-benar eksotik dan sofistikated untuk dianuti sehingga nadi terhenti di dunia ini.
Berminat untuk siarkan ulasan buku anda ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.
Jangan lupa untuk Like / Follow Konfess Buku di :
Facebook : Facebook.com/konfessbuku
Instagram : Instagram.com/konfessbuku
Twitter : Twitter.com/konfessbuku
#konfessbuku
#MalaysiaMembaca