Selamat Datang Ke Laman Web Konfess Buku
Ulasan Buku : Sains Menulis Puisi
Nama buku: Sains Menulis Puisi
Penulis: Fahd Razy
Muka surat: 204
Penerbit: KataPilar
Tahun terbit: 2018
Cetakan: Pertama
Sepanjang membaca buku Sains Menulis Puisi ini, banyaknya perkataan-perkataan yang saya hitung sangat baharu dan sukar untuk diterjemahkan. Huh! Jujur, penulis dan pembaca yang kurang arif seperti saya ini, bukan mudah menelan seluruh kata-kata ‘aneh’ yang terdapat dalam karya-karya berbentuk puisi sebegini. Lagi-lagi buku yang memecahkan tentang kefahaman mengarang puisi dengan lebih mantap dan sedap.
Pada mulanya, agak kehairanan usai melihat judul buku yang terpampang di hadapan kulit buku. Perkataan ‘sains’ dan ilustrasi seperti seorang pengkaji dalam dewan makmal, menunjukkan ia benar-benar seperti buku sains!
Namun, setelah berjaya menyelami tafsiran penulis selaku pegawai perubatan ini, nyata ini merupakan buku yang mempelajari teknik mengarang puisi dengan penuh keberkesanan.
Buku ini mengandungi enam bahagian penting dalam menghuraikan tip menulis puisi dengan baik. Pada bahagian awal, penulis memulakan dengan pendahuluan mengenai pengenalan dan tujuan ringkas terhadap pemilihan tajuk dan karya ini dihasilkan.
Bab satu, penulis membawakan tajuk Sains Menulis Puisi dan membincangkan bagaimana hendak menjadi pengarang puisi yang baik dan membezakan puisi yang lemah mahupun sebaliknya.
Bab kedua, diteruskan dengan tajuk kecil berkaitan hal-hal yang tak pernah selesai. Pada bahagian ini, penulis mengulas mengenai isu-isu yang sering menjadi kemusykilan terhadap makna sebenar puisi. Adakah ia sama seperti sajak, gurindam dan seloka. Adakah puisi ini sebenarnya meringkaskan dan sebagainya yang sering dipersoalkan.
Bab ketiga pula, di sinilah pembaca akan lebih berkerja keras menekuninya kerana bermulanya bagi seorang pemuisi mempelajari bagaimana tataterib membina asas puisi.
Bab keempat, dengan mengutarakan tajuk “terlajak perahu” yang tersembunyi pengertiannya, penulis sebetulnya cuba mengajarkan kepada pemuisi untuk berhati-hati dalam mengarang ayat seperti tidak terlalu bombastik dan klise. Banyak contoh-contoh puisi yang memberikan gambaran ciri-ciri ini untuk dipertimbangkan agar rangkap puisi tidak dilihat pincang ataupun membosankan ketika dibaca.
Bab kelima ini, bermulanya praktikal dengan diberi tajuk tukang puisi. Penulis memperkenalkan teknik mengarang puisi. Terdapat kata-kata konkrit dan abstrak untuk dibezakan, bagaimana menjadikan puisi unik dan pemilihan perkataan yang mesti sesuai.
Bab keenam dan terakhir, saya mengira ia adalah bonus kerana penulis, menampilkan panduan penghantaran karya puisi ke ruangan media beserta syarat dan etika yang perlu diambil kira bagi memastikan puisi anda diterima. Di samping itu, terdapat pula contoh-contoh medium seperti majalah, surat khabar dan lain-lain yang sesuai untuk penghantaran puisi yang tepat.
Penjelasan penulis sangat memuaskan. Kelihatan padat dan penuh ketinggian ilmu ketika melontarkan cadangan dan saranan. Tidak ada peraturan dalam menulis puisi seperti yang telah disuarakan dalam karya ini. Pun begitu, ini tidak bererti seorang penulis perlu bebas menyunting apa sahaja perkataan sehingga melupakan rentak dan tujuan puisi yang sebenarnya.
Walaupun saya telah menulis beberapa buku puisi dan selainnya ada yang berjaya diterbitkan dalam beberapa laman sesawang, tetapi jujurnya saya sangat ‘lemah’ dalam membentuk rantaian puisi yang gah.
Buku-buku puisi yang saya baca sebelum ini agak mencabar kerana kurangnya penguasaan kosa kata yang pelbagai. Oleh kerana itu, buku ini telah membantu saya sendiri untuk menambahkan seri dalam rangkap puisi supaya ia tidak sekadar mendatar apabila dihayati oleh pembaca lain.
Bermain dengan imej yang betul, tidak menggunakan perkataan yang berulang-ulang dan menggarap puisi berdasarkan situasi yang sedang digambarkan serta banyak lagi sebenarnya dalam buku ini menyajikan kepada seluruh penulis yang mencuba untuk melatih kemahiran dalam menulis puisi.
Terdapat banyak puisi yang dikepilkan sebagai tamsilan dan rujukan, yang mana ia diambil daripada sasterawan negara dan penyair seperti SN A Samad Said, Zurinah Hassan, T. Alias Taib, Faisal Mat Zawi dan ramai lagi.
Sebagai penutup, kepada yang baru berlatih hendak terjun ke dalam bidang penulisan puisi ini, karya ini sangat disyorkan kepada anda. Tidak rugi membaca karya ini kerana sesekali mampu menghiburkan diri membaca petikan-petikan romantis walaupun akhirnya kita sendiri kurang memahami kepegunan maknanya.
Ingin saya memperingatkan diri sendiri dan juga kepada semua penulis lain untuk tidak keterlaluan dalam mengarang puisi sehingga membawa pada unsur-unsur pemujaan yang boleh menjejaskan akidah kita sebagai muslim. Inilah hal yang paling membimbangkan sekali apabila terlalu hanyut dalam menukang kata-kata yang ingin dilihat lebih mempesonakan oleh khalayak ramai, agama sendiri pun tergadai.
Semoga Allah Taala mengurniakan kefahaman yang baik terhadap ilmu yang kita ada. Selamat membaca.
Berminat untuk siarkan ulasan buku anda ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.
Jangan lupa untuk Like / Follow Konfess Buku di :
Facebook : Facebook.com/konfessbuku
Instagram : Instagram.com/konfessbuku
Twitter : Twitter.com/konfessbuku
#konfessbuku
#MalaysiaMembaca