Ulasan Buku : Risalah #Malaysia Membaca

Nama buku : Risalah #Malaysia Membaca

Penulis :  Dr. Mazlee Malik, Nurul Izzah Anwar, Hasrizal Abdul Jamil, Hilal Asyraf, Syed Azharul Asriq, Hanapi Jamaludin, Zamri Mohamad dan Dr. Zahrah Yunos.

Penerbit :  Jejak Tarbiah

Tahun Terbit : 2019

Cetakan : Pertama

Muka Surat : 140

Judul buku Risalah #Malaysia Membaca adalah gabungan tulisan 8 orang penulis. Nama mereka tidak lekang lagi dalam dunia pembacaan. Di antaranya, Dr. Mazlee Malik, Nurul Izzah Anwar, Hasrizal Abdul Jamil, Hilal Asyraf, Syed Azharul Asriq, Hanapi Jamaludin, Zamri Mohamad dan Dr. Zahrah Yunos. Buku ini terbit kerana masing-masing berharap agar masyarakat khususnya di Malaysia dapat membudayakan aktiviti membaca.

Pada bahagian kata pengantar, Dr  Mazlee Malik mengatakan bahawa rakyat Malaysia hanya membaca 15 hingga 20 buku setahun. Jika dibandingkan dalam kekerapan membaca dengan negara-negara lain, Malaysia berada dalam kedudukan tangga ke-53 mengikut Kajian Negara Paling Tinggi Literasi oleh Universiti Negeri Connecticut Tengah, Amerika pada tahun 2016. Walau bagaimana pun, purata membaca dalam kalangan rakyat Malaysia perlahan-perlahan meningkat. Ini dibuktikan apabila UNESCO mengiktiraf Malaysia sebagai Kota Buku Dunia 2020 pada tahun ini. Satu kebanggaan dan penghargaan buat rakyat Malaysia.

Buku ini turut menghimpunkan pengalaman penulis iaitu bagaimana mereka mula meminati bacaan buku. Di samping itu, terdapat senarai buku-buku kegemaran dikongsi dan diulas di dalam buku tersebut. Ini menyebabkan kandungan buku begitu menarik kerana pembaca dapat mengenali serba sedikit mengenai keistimewaan buku-buku yang dinyatakan.

Pada Dr. Mazlee Malik, sikap membaca itu terbit ketika dibangku sekolah gemar membaca buku-buku Hamka dan berharap agar lebih ramai lagi yang lahir seperti HAMKA. Hamka seperti yang kita tahu tokoh nusantara yang amat berpengaruh dalam kesusasteraan. Antara 10 kegemaran buku Dr. Mazlee Malik sebahagiannya adalah buku Hamka berjudul Sejarah Umat Islam.

Manakala, Nurul Izzah Anwar didorong oleh ayahnya iaitu Anwar Ibrahim sewaktu kecil menanam minat membaca. Beliau tertarik pada karya-karya klasik seperti Novel Pride and Prejudice, penulis Jane Austen. Sebagai seorang wanita yang terlibat dengan politik, menurutnya pembacaan perlu diluaskan dengan membaca buku dan membaca realiti yang berlaku seperti turun padang melihat nasib rakyat.

Pengaruh membaca datang kepada ustaz Hasrizal Abdul Jamil apabila ayahnya seorang pembaca tegar dan ibunya seorang guru. Pastilah buku sentiasa berada di sekeliling rumah. Secara tidak langsung, sikap membaca telah dipupuk dari dalam rumah. Ketika menuntut di Jordan, Kitab al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu karangan oleh Prof Wahbah al-Zuhaili antara buku yang dibeli dan dimiliki. Dimaklumkan bahawa harganya berpuluh kali ganda lebih murah berbanding di Malaysia. Minat membaca tidak pernah pudar walaupun telah berhijrah ke Findland.

Syed Azharul Asriq seorang pemuda dan penulis buku yang meminati sejarah. Minat membaca bermula setelah pandai membaca dan menulis pada zaman sekolah rendah. Antara buku kegemaran beliau berjudul Hikayat Abdullah yang ditulis oleh Munsyi Abdullah Kadir. Buku yang berkaitan pemikiran dan kritikan penulis buku tersebut dalam kehidupannya. Menurut Syed, faktor utama yang membentuk pemikiran seseorang, pastinya ialah pembacaan.

Pada Hilal Asyraf pula, sikap membaca juga datang disebabkan Abahnya sering menggalakkan dia membaca semasa kecil. Pada usia remajanya, berjaya menghabiskan bacaan buku terjemahan Raheeq al-Makhtum. Disebabkan minat membaca semakin tinggi beliau telah menceburi bidang penulisan dan kini berjaya menghasilkan lebih 40 karya. Katanya, “membaca telah mengubah kehidupan saya”.

Hanapi Jamaludin seorang penulis lagi yang gemar membuka buku-buku pengetahuan am, sejarah, kebudayaan melayu dan sastera. Menginjak dewasa, minat membaca lebih tertumpu kepada falsafah, peradaban, budaya ilmu dan melibatkan diri dalam pelbagai halaqah. Judul buku Islam dan Akal karangan Syeikh Abdul Halim Mahmud adalah buku kegemaran beliau. Beliau mempunyai hasrat agar budaya membaca sentiasa subur baik ketika di alam persekolahan ataupun pada peringkat universiti.

Demikian pula bagi Zaidi Ismail. Ayahnya sering membaca surat khabar di rumah. Tingkah laku daripada ayahnya inilah telah mengajarnya untuk menjadi seorang pembaca. Ayahnya juga kerap membawanya berkunjung ke toko-toko buku seperti kedai buku dua tingkat di Jalan Tunku Abdul Rahman.

Beliau juga ada menyentuh berkenaan penulis yang mahu buku mereka dibeli oleh golongan pembaca. Menurutnya, seorang penulis perlu menerapkan 3 nilai dalam melahirkan pembaca. Salah satunya, menyedari bahawa pembaca mempunyai kuasa dalam memilih.

Terakhir ialah daripada Dr Zahrah Yunos. Beliau berkhidmat sebagai doktor gigi dan begitu suka membaca buku berkaitan dalam bidang kesihatan. Salah satu buku yang disebutkan adalah novel To Rise Again at a Decent Hour ditulis oleh Joshua Ferris melalui watak seorang Dr. Paul O’Rourke. Pernah menulis sebuah buku yang berjudul Projek Bibliofil dan mengajak orang ramai menghidupkan amalan membaca melalui tip-tip yang menarik.

Jika dilihat amalan membaca daripada penulis rata-ratanya kerana kelakuan dan teladan daripada ahli keluarga. Mereka hidup dalam suasana yang membaca. Semoga suatu saat nanti akan lebih ramai lagi mencontohi mereka dari segi minat membaca. Malaysia negara membaca.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Syuhara Suriati
Syuhara Suriati

Penulis artikel, antologi dan anekdot.🌷Isteri suri membaca dan menulis 🌷

Articles: 67