Ulasan Buku : Projek Hafal Hadis

Hadis dari sudut bahasa ialah baharu atau khabar atau berita. Dari sudut istilah, hadis ialah setiap ucapan (قول), perbuatan ((فعل), pengakuan (تقرير) dan sifat-sifat + yang disandarkan kepada Rasulullah SAW. Di sana terdapat banyak kitab-kitab yang mengumpulkan hadis-hadis Nabi SAW seperti Shahih Bukhari, Shahih Muslim dan Arbain Nawawi (Hadis 40) sebagai contoh. Menghafal hadis sangat penting untuk penuntut ilmu agama kerana hadis merupakan sumber primer dan utama dalam memahami agama Islam.

Begitu juga untuk orang awam yang bukan belajar agama secara pengkhususan, perlunya mereka untuk menghafal hadis sedikit sebanyak kerana hadis Nabi SAW mengandungi nasihat serta panduan untuk kehidupan seorang Muslim.

Buku ‘Projek Hafal Hadis’ mengajak para pembaca terutamanya orang awam untuk menghafal hadis. Secara kasar, buku ini terbahagi kepada 5 bahagian iaitu :

1. Pengenalan Projek Hafal Hadis.

Dalam bahagian ini, penulis menerangkan perlukah untuk kita menghafal hadis, dan adakah membaca hadis itu dikira ibadah seperti mana kita membaca Al-Quran?

2. Bersama Sabda Rasulullah SAW.

 Penulis menceritakan tentang kemuliaan ilmu hadis dan kelebihan ahli hadis.

3. Lembaran Catatan Perjalanan Hadis

Bahagian ini merupakan bahagian yang terpanjang dalam buku ini. Dalam bab ini, penulis menerangkan panjang lebar tentang sejarah pengumpulan dan pembukuan hadis, methodologi para muhadisin (ahli hadis) dalam menghafal dan menyampaikan hadis serta anekdot-anekdot kesungguhan para salaf (ulama’-ulama’ silam) menghafal hadis Nabi SAW.

4. Mudahkan Menghafal Hadis

Pada bahagian ini penulis berkongsi tips-tips untuk mudah menghafal hadis. Antara tips yang diberikan oleh penulis selain daripada menjaga niat ialah dengan memulakan menghafal Al-Quran terlebih dahulu serta memperbanyakkan bacaan Al-Quran. Dalam hal ini, penulis menukilkan kisah Dhiya’ Al-Maqdisi yang ingin bermusafir untuk mencari hadis, lalu beliau meminta nasihat daripada guru beliau, iaitu Imam Ibrahim Al-Maqdisi ;

“Banyakkanlah membaca Al-Quran dan jangan engkau tinggalkan Al-Quran. Sesungguhnya dipermudahkan ilmu yang kamu pelajari berdasarkan kadar ayat yang kamu baca.”

Dhiya’ Al-Maqdisi berkata ;

“Saya melihat dan mengalami pengalaman tersebut berkali-kali. Apabila saya banyak membaca Al-Quran, saya dimudahkan untuk mendengar dan menulis hadis dengan banyak sekali. Sebaliknya, apabila saya tidak membaca Al-Quran, tidak dimudahkan untuk saya memperoleh hadis.”

5. Projek Hafal Hadis

Akhir buku ini, penulis telah mengumpulkan hadis-hadis yang pendek untuk dihafal oleh para pemula atau orang awam yang ingin menghafal hadis. Sudah tentu, mengikut tradisi ulama’, mereka menyarankan untuk mereka yang baru memulai pengajian agama dengan menghafal hadis 40 An-Nawawi, kemudian beralih kepada Umdatul Ahkam (sebuah kitab hadis yang mengumpulkan hadis-hadis hukum), namun dalam hadis 40, terdapat satu atau dua hadis yang teksnya begitu panjang, lalu mungkin menyukar sesetengah orang awam untuk menghafalnya.

Oleh itu, penulis mengumpulkan hadis-hadis yang pendek untuk memudahkan orang awam menghafalnya. Sebanyak 100 buah hadis telah dimuatkan dalam buku ini, dan hadis-hadis ini dipetik daripada kitab Riyadhus Solihin karangan Imam Nawawi.

Untuk memudahkan hafalan, penulis membahagikan ayat-ayat hadis kepada potongan dan dimasukkan ke dalam kotak secara tersusun. Bukan itu sahaja, penulis juga telah meletak terjemahan untuk setiap potongan hadis serta huraian ringkas kepada setiap hadis ini, agar bukan sahaja pembaca dapat menghafal hadis bahkan memahami hadis dan beramal dengannya.

Manfaat daripada buku ini, selain daripada kita dapat mengetahui tips-tips untuk menghafal, buku ini juga memberi semangat dan inspirasi untuk kita terus belajar dan memberi manfaat kepada ummah ini. Melalui kisah dan anekdot ulama’ yang terdapat dalam buku ini, kita dapat tahu bahawa ulama’ silam telah berjuang dan mengorbankan tenaga dan masa mereka agar generasi yang akan datang mendapat manfaat. Jikalau tiada usaha penghafalan dan pembukuan hadis, sudah tentu kita tidak akan dapat membaca hadis-hadis Nabi SAW seperti yang kita lihat hari ini. Maka benarlah kata-kata bahawa sejarah umat islam ini ditulis dengan dua warna, merah dan hitam. Merah dengan darah para syuhada’ yang berjuang, dan hitam dengan dakwat para ulama’ yang menulis ilmu.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Muhammad Abdul Aziz
Muhammad Abdul Aziz

Seorang fisioterapis yang kini melanjutkan pelajaran ijazah kedua dalam bidang pengajian Islam di Universiti Islam Madinah, Arab Saudi. Mencintai buku dan menikmati hirupan kopi di hujung minggu sambil membaca buku. Boleh ikuti beliau laman peribadi blog beliau, azizmadani.com

Articles: 5