Ulasan Buku : Pribadi

Pribadi merupakan sebuah buku yang mengandungi falsafah kehidupan yang cukup tinggi nilainya dan dikarang oleh Dr. Hamka. Walaupun karya ini tidak setebal karya-karya beliau yang lain seperti Tasauf Moden, Falsafah Hidup, Lembaga Hidup dan Falsafah Idiologi Islam, namun isinya sangat sarat menyentuh persoalan-persoalan utama bagi peribadi seseorang manusia khususnya dan cara hidup manusia pada umumnya.

Penulis menulis karya ini dengan memberi gambaran apakah peribadi yang sering atau acap kali disebut oleh masyarakat kita. Sebagai contoh, Dr. Hamka memberi satu situasi seseorang yang kita sudah lama kenal, seperti rakan kita. Mulut-mulut kita tidak akan terlepas sedikit pun untuk membicarakan sesuatu tentang mereka, samada dari perspektif mulia ataupun keji. Semuanya mendapat kupasan daripada kita. Disitulah pokok pembicaraan tentang peribadi seseorang.

Penulis juga memberi contoh, dua puluh ekor kerbau yang sama besarnya dan sama kuatnya, tentu harganya tidak sama. Tetapi dua puluh manusia yang sama tingginya, sama kuatnya belum tentu sama harganya kerana bagi kerbau tubuhnya yang berharga manakala bagi manusia peribadinya.

Karya ini diterbitkan oleh Penerbitan Pustaka Antara dan merupakan cetakan pertama edisi Malaysia pada tahun 1965. Jumlah halaman sebanyak 165 muka surat dan mempunyai beberapa kandungan yang dibahagikan mengikut perbahasan seperti alat menimbulkan peribadi, pertalian jasmani dengan rohani, peribadi bangsa, penambah kuat peribadi, fikiran dan rasa seni, yang melemahkan peribadi, kebesaran peribadi dan yang terakhir pengaruh keadaan terhadap peribadi bangsa Indonesia.

Penulis menjelas dengan baik pandangan-pandangan tentang peribadi mengikut kepelbagaian bangsa seperti bangsa Jepun, bangsa Belanda, bangsa Arab dan bangsa Perancis yang terkenal dengan romantik. Penulis juga tidak lupa memberi gambaran peribadi orang Minangkabau yang terkenal dengan keras adatnya dan peribadi orang Aceh yang fanatik dalam beragama.

Peribadi bukanlah milik mutlak sesuatu kaum atau bangsa sahaja. Kadangkala kita bergaul dengan manusia yang berbeza warna kulitnya dan agamanya serta cara hidupnya dalam bangsa tersendiri menyebabkan kita merasa wujud perbezaan peribadi. Semuanya mempunyai cara tersendiri, norma kehidupan sendiri dan fikiran tersendiri. Malanglah seseorang yang hidup dalam kepelbagaian bangsa, adat dan kaum dan tidak mengambil peluang ini untuk berfikir demi mencari siapakah diri kita sendiri. Lagi malang seseorang yang hanya menjadi Pak Turut sehingga menenggelamkan peribadi sendiri kedalam peribadi orang lain.

Akhir kata, satu petikkan daripada penulis, Dr. Hamka,

“Percaya kepada diri sendiri adalah tiang kemerdekaan peribadi dan tiang kemerdekaan bangsa. Dialah yang memunculkan kekuatan , tabiat, akhlak dan budi.”


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Musa Mahmud Zaim
Musa Mahmud Zaim

Mahasiswa di sebuah Institusi Pendidikan Tinggi Awam  terkenal di Malaysia.

Articles: 3