Ulasan Buku : Petunjuk Jalan Lurus

MENGENAI BUKU :

Buku ini merupakan ringkasan surah al-Fatihah yang di mulakan dengan sejarah penurunan ayat, nama lain bagi surah tersebut, pengertian setiap ayat dan kesannya di dalam kehidupan serta pentafsiran dari ayat pertama hingga akhir.

Juga disertakan fadhilat surah ini agar menjadi sebab utama bagi setiap orang yang beriman untuk membacanya saban hari.

PERIHAL SURAH AL-FATIHAH :

Sesungguhnya telah disepakati oleh para ulama, bahawa surah ini mempunyai tujuh ayat kecuali apa yang diriwayatkan daripada Husain Al-Ju’fi bahawa ia mengandungi enam ayat dan riwayat ini syadz (ganjil serta tertolak). Ada juga yang mengatakan ia mengandungi lapan ayat dan pendapat ini juga lemah.¹

Para jumhur ulama menegaskan bahawa ia mempunyai tujuh ayat sebagaimana disebut dalam firman Allah :

وَلَقَدْ ءَاتَيْنَٰكَ سَبْعًا مِّنَ ٱلْمَثَانِى وَٱلْقُرْءَانَ ٱلْعَظِيمَ

” Dan telah Kami berikan kepada engkau (Muhammad),  tujuh ayat dari masani (yang dibaca berulang-ulang) dan Al-Quran yang Agung.” (Surah Al-Hijr : 87)

Demikianlah pendapat jumhur ulama yang menetapkan al-Fatihah mempunyai tujuh ayat termasuk menjadikan bacaan basmallah sebagai ayat yang pertama.

SEJARAH PENURUNAN AYAT :

Ia telah diturunkan di Mekah dan dinamakan sebagai ayat Makkiyah menurut pegangan Ibnu Abbas, Qatadah serta Abu Ali’yah. Manakala menurut pendapat yang dipegang oleh Abu Hurairah, Mujahid, Atho dan Zuhri pula mengatakan ia diturunkan di Madinah.

Terdapat juga pandangan yang mengatakan bahawa sebahagian daripada surah al-Fatihah diturunkan di Mekah dan sebahagiannya lagi diturunkan di Madinah,  seperti yang disebut oleh Abu Laits Nasir bin Ibrahim As-Samarqandi di dalam tafsirnya.

Namun yang paling kuat ialah pendapat yang pertama, kerana ia pernah disebut di dalam surah Al-Hijr melalui ayat ke 87 yang bermaksud : “Dan telah Kami berikan kepada engkau (Muhammad), tujuh ayat dari surah Masani (yang dibaca berulang-ulang) dan Al-Quran yang Agung.” Sesungguhnya, telah difardhukan solat sejak di mekah lagi dan ia dilakukan dengan membaca al-Fatihah sebagaimana sabda baginda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam :

لا صلاة لمن لم يقرأ بفاتحة الكتاب

“Tidak ada solat tanpa membaca al-Fatihah”²

Juga dikeluarkan oleh al-wahidi dalam Asbab Nuzul dan Sa’labi di dalam tafsirnya daripada riwayat Ali bahawa al-Fatihah diturunkan di mekah.³

Diriwayatkan oleh para ilmuwan bahawa ia mengandungi 25 kalimah dan hurufnya berjumlah 113 huruf. Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Imam Baihaqi, ia merupakan salah satu surah terawal yang diturunkan seperti dalam kitabnya Dala’il Nubuwah.

Tetapi pandangan ini tidaklah tepat dan hadisnya tidaklah kuat. Namun, ia sekadar membantu untuk mengatakan bahawa surah al-Fatihah termasuk sebagai surah Makkiyah.

RUJUKAN :

1) Mukhtasar Tafsir Ibnu Katsir, jld.1, ms.22.

2) Hadis shahih, riwayat Bukhari no.756 dan Muslim no.394,  Ahmad, Tirmizi dan Darimi.

3) Asbab Nuzul oleh Wahidi, ms.10.

ULASAN :

Sesungguhnya segala puji hanyalah untuk Allah. Kepada-Nya jua kita memohon pertolongan dan keampunan. Kita pohonkan perlindungan Allah daripada kejahatan diri dan amalan.

Melihat kepada suasana masyarakat Islam di Malaysia, saya merasakan sangatlah perlu untuk setiap individu memiliki buku ini kerana penulis telah menghasilkannya dengan gaya bahasa yang mudah difahami dan memuatkan berserta tafsir tiap ayat bagi meningkatkan kefahaman masyarakat tentang ayat suci Al-Quran yang dibaca setiap waktu di dalam solat mahupun di waktu selainnya.

Pada dunia hari ini, kemajuan dan kemodenan telah banyak membuatkan manusia semakin cemerlang dari sudut akal dan kebijaksanaan. Lalu timbul golongan yang hanya menjadikan Al-Quran sebagai bacaan masa lapang tatkala keinsafan sekali-sekala datang menjelma. Atau mungkin juga sebagai wadah sampingan dalam kehidupan.

Maka, untuk memberi  kefahaman yang lebih jelas mengenai isi kandungan ayat Kalamullah ini, penulis dengan sedaya upaya cuba menterjemahkan dan menafsirkan ayat-ayat ummul kitab al-Fatihah ini berdasarkan manhaj para ulama.

“ SEBAIK-BAIK AL-QURAN IALAH ALHAMDULILLAHIRABBILALAMIN”

                                              (Riwayat Baihaqi)


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Aishah Nerina
Aishah Nerina

لا يشكر الله من لا يشكر الناس

Articles: 47