Ulasan Buku : Pesan Hamka Kepada Pendidik

PESAN HAMKA KEPADA PENDIDIK

Ada masanya saya juga tertanya-tanya, apa yang menjadikan Pak Hamka sebagai seorang Hamka. Soalan yang sama bermain di fikiran penulis buku ini, Encik Muhammad Shah Ahmad Nor sebelum memulakan penulisannya.

Ada tiga perkara di dalam buku ini yang telah berjaya menjawab persoalan saya seterusnya menambah lagi rasa kagum terhadap sekujur tubuh yang telah lama pergi.

Pertama, ketika Pak HAMKA ditomah dan difitnah menjadi pengkhianat negara, jiwanya tercedera dengan siri cemuhan tanpa henti sehingga timbulnya rasa untuk beliau menamatkan saja riwayat hidupnya sendiri.

Namun, berbekal iman dan ketaqwaan, Pak Hamka berjaya menolak segala hasutan syaitan itu.

Pak Hamka meminta anak beliau untuk mengirimkan padanya buku Tasauf Moden semasa di dalam penjara dan beliau memilih untuk membaca semula tulisannya sebagai salah satu cara muhasabah dan mengoreksi diri sendiri ketika ujian hadir tanpa di duga dan perginya entah bila.

Kedua, ketika Pak Hamka diuji Tuhan untuk membesarkan jiwanya bilamana Soekarno yang telah memenjarakan dirinya berwasiat supaya beliau menjadi imam kepada solat jenazahnya.

Tersepit di antara  dendam kesumat yang tertikam tepat di hati dan jiwa pemaaf seorang manusiawi.

Apakah Pak Hamka memilih untuk berpaling dari wasiat itu? Tidak. Pak Hamka lebih memilih membesarkan jiwanya dengan memilih untuk memaafkan orang yang telah menzalimi dirinya.

Ketiga, ketika Pak Hamka telah dikenakan hukuman penjara tanpa diketahui bilakah kebebasan bakal menemui dirinya, beliau tidak hanya termenung mengenangkan nasib diri dan keluarganya yang terjejas. Buku-buku dirampas dan dibakar. Berputus asa? Tidak bagi seorang Hamka.

Disebalik episod gelap itu, Pak Hamka mengambil peluang untuk menggantikan semula masanya bersama Al-Quran setelah banyak waktu di dalam kehidupannya sebelum ini dimanfaatkan dengan kesibukan dakwah dan kemerdekaan negara.

Pak Hamka berjaya mengkhatamkan Al-Quran berkali-kali dan inilah yang menjadi inspirasi kepada beliau untuk memulakan kembali penulisan Tafsir Al-Azhar yang telah lama tertangguh.

Kata Pak Hamka, seandainya beliau tidak dipenjarakan, nescaya beliau tidak akan berjaya menamatkan karya agungnya itu.

Jelaslah Pak Hamka tidak hidup sebagai Hamka kerana ‘pujian’ sebaliknya ‘ujian’lah yang telah menghidupkan beliau.

Beliau juga tidak hidup dengan episod-episod kejayaan tetapi kegagalan dan kekecewaanlah yang menjadi warna kepada pelangi yang menghiasi langit kehidupan beliau.

Melalui tiga perkara ini, ia banyak menjawab kepada beribu persoalan di dalam fikiran seorang anak muda seperti saya. Masih berteka teki dengan kehidupan mendatang yang pastinya mendewasakan.

Berterima kasihlah kepada Pak Hamka kerana  telah menjadi salah seorang guru yang mendidik kita tentang subjek kehidupan. 🙂

Ingin juga saya sampaikan ucapan terima kasih kepada penulisnya di atas sebuah karya yang begitu menghidupkan dan mencetuskan pelbagai inspirasi kehidupan.

Meskipun telah sebulan saya menghabiskannya, hampir saban hari saya masih teringat kepada pesanan ‘mendidik’ yang telah beliau susun di dalam buku ini.

10/10 👍🏻✨

 

 

 

 

 

 

 

 

Afifah Razak

#MembinaGenerasiIqra’


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Siti Nor Afifah Abdul Razak
Siti Nor Afifah Abdul Razak
Articles: 8