Ulasan Buku : Perpustakaan dalam Islam

Nama buku: Perpustakaan dalam Islam

Penulis: Dr. Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri

Muka surat: 110

Penerbit: Pustaka Cahaya Kasturi

Tahun terbit: 2016

Cetakan: Kedua

Perkembangan ilmu pada zaman dahulu terbukti begitu pesat apabila wujudnya pelbagai pusat-pusat ilmu yang bertindak sebagai perpustakaan. Jelas menunjukkan bahawa tanpa perpustakaan yang membekalkan sumber-sumber ilmu pengetahuan, masyarakat akan sepi, akhlak menjadi tumbang dan akan terus berada di ambang kejahilan.

Sebagai seorang muslim, kita sendiri telah diperintahkan menimba ilmu pengetahuan. Selain daripada menuntut secara bertalaqqi di hadapan para guru, membaca karya-karya yang ditinggalkan oleh ulama silam kepada dunia juga termasuk salah satu usaha penting bagi mempertajamkan pengetahuan kita terhadap agama.

Judul buku Perpustakaan dalam Islam, merupakan buah tangan daripada Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang memperkenalkan masyarakat terhadap kewujudan perpustakaan dalam Islam.

Sejak dahulu lagi, perpustakaan menjadi salah satu rumah kedua bagi alim ulama mahupun orang-orang soleh. Kecintaan ilmu yang tiada tara, kelazatan menjamah isi-isi kandungan buku membuatkan mereka sangat ketagih untuk mengumpul buku dari masa ke masa.

Secara tidak langsung, ini membuatkan mereka meletakkan buku-buku yang diperoleh usai membaca ditempat yang sesuai daripada ditebuk anai-anai, seperti dalam Perpustakaan Peribadi.

Buku ini menghidangkan sepuluh bab yang mengupaskan perihal perpustakaan yang terdapat di seluruh dunia. Penulis memperkenalkan pembaca mengenai makna perpustakaan pada bahagian bab pertama. Bab kedua, terdapat senarai perpustakaan di Malaysia dihuraikan ciri-cirinya beserta fungsinya. Bab ketiga, bahagian yang sangat menarik perhatian apabila penulis mengemukakan beberapa perpustakaan terbesar yang pernah dibina dalam Islam dan menjadi simbol kegemilangan. Bab keempat, penulis tidak terkecuali dalam membawakan pula kehebatan perpustakaan barat yang sangat memukau dari segi binaan dan dekorasi yang amat mempesonakan.

Bab kelima, menghimpunkan perpustakaan milik peribadi oleh ulama silam yang memuatkan ratusan buku. Akan saya berikan contohnya selepas ini. Bab keenam, penulis cuba memancing pembaca dengan mendorong kita menghayati sikap dan minat ulama terhadap perpustakaan yang mereka punyai. Bab ketujuh, terdapat tip yang dipaparkan bagi membantu kita menghasilkan sendiri perpustakaan sendiri di rumah. Bab kelapan, penulis sengaja memilih untuk mengupas mengenai sejarah Washington yang kini menjadi tapak pengumpulan bahan bacaan yang paling terkenal di seluruh dunia.

Kesembilan, penulis membuat bahagian tambahan untuk menyenaraikan karya-karya yang pernah dihasilkan oleh penulis sendiri. Sungguh, sumbangan Dr. Zulkifli kepada Malaysia adalah satu hal yang perlu dibanggakan kerana beliau bukan sekadar konsisten dan cerdik mengeluarkan fatwa mengikut peredaran zaman tetapi beliau adalah ulama yang tawaduk dan sangat mencintai ilmu.

Bab terakhir, titipan emas dan nasihat tulus oleh Dr. Zulkifli kepada pembaca untuk mencontohi semangat dan kecenderungan para ulama yang tidak pernah sunyi dan bosan dalam menelaah kitab sepanjang kehidupan.

Karya ini sangat memukau kita untuk turut serta membina bangunan-bangunan khusus yang memuatkan buku-buku bacaan seperti mana kemunculan Perpustakaan Baghdad di Iraq.

Perpustakaan yang dibina oleh Khalifah Abu Jaafar Al-Mansur ini pernah menjadi kemasyhuran pada zaman Khilafah Abbasiyyah kerana memuatkan 500 ribu jilid buku.

Namun, sayangnya keseluruhan buku-buku ini menjadi abu berterbangan apabila tentera monggol pimpinan Hulagu Khan melenyapkan, membakar dan menghanyutkan seluruh kitab ini ke dalam sungai tigris.

Walau bagaimanapun, bencana ini sesekali tidak menguburkan minat membaca, kerana Islam akan sentiasa melahirkan ulama-ulama yang memiliki minat yang tidak henti dalam menghasilkan karya-karya terpenting untuk tinggalan generasi yang seterusnya.

Dalam buku ini terdapat senarai nama ulama yang memiliki perpustakaan peribadi, antaranya seperti perpustakaan ulama Syaikh Mustafa Al-Nadwi dari Mesir yang diberi nama, Maktabah Syeikh Mustafa Al-Nadwi. Contoh lain, misalnya Perpustakaan Al-Muntasir Billah Abu Al-Ash Al-Hakam bin Abdul Rahman, memuatkan 200 ribu buku dan dikatakan beliau sanggup membeli buku meskipun harganya mahal.

Di samping meneguk kenikmataan sejarah pembinaan perpustakaan yang beratus tahun lamanya, saya yakin sesetengah pembaca akan menjadi lebih serius untuk menambah perpustakaan sendiri apabila membaca kisah-kisah ulama lain yang sentiasa mengunjungi gedung ilmu seperti kisah Ibn Al-Jauzi yang membaca 20 ribu jilid buku.

Minat mendirikan perpustakaan ini perlu dipupuk oleh seluruh umat Islam sebagaimana sikap para pendahulu yang akrab bersahabat dengan kitab-kitab. Hobi ini boleh menaikkan keinginan membaca apatah lagi sekiranya, kita menyediakan ruangan khusus buat bacaan ahli keluarga di rumah. Oleh itu, ayuh semarakkan budaya membaca dengan mewujudkan perpustakaan sendiri dalam kediaman.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Syuhara Suriati
Syuhara Suriati

Penulis artikel, antologi dan anekdot.🌷Isteri suri membaca dan menulis 🌷

Articles: 67