Ulasan Buku : Perjudian

Judul: Perjudian.

Penulis: S. Othman Kelantan.

Tahun Penerbitan: 1973, 2005, 2006, 2019

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Jumlah Halaman: 166.

“Apa sebab tambur binasa,

Tertikam gunting besi berani,

Kalau takut membuat jasa,

Ambil makan nasi kompani”.

Pantun empat kerat ini menitipkan pesan agar tidak lokek memenatkan tangan menabur jasa baik sesama manusia mahupun menumpang jasa pada tapak tanah di bumi yang didiami. Ini kerana untung berjasa dihujungnya ditabur tuah. Inilah antara pengajaran daripada kisah berjudul ‘Perjudian’, karya S. Othman Kelantan yang telah diulang cetak sebanyak empat kali pada tahun sejak 1973, 2005, 2006 dan 2019. Tajuk naskhah ini melahirkan asumsi yang salah andai tidak dihayati akan plot penceritaan dalam padatan buku setebal 166 halaman ini. Ia ditambah pula dengan imej tadahan tangan pada muka depan  buku yang menebalkan lagi tanda soal dalam minda saya saat mengaitkan satu kata ‘Perjudian’ dengan simbolik berdoa. Ternyata penulis sangat kreatif bagi memperkayakan tarikan supaya pembaca tidak perlu mencongak lebih sesaat untuk memperjudikan masa mereka agar membeli dan langsung membaca karya beliau.

            ‘Perjudian’, judul yang berdiri sendiri tanpa suara. Berbicara tidak berbunyi. Gambar kedua-dua telapak tangan yang sedang terbuka pula seolah-olah sedang memanjat harapan dari langit yang terbentang luas di angkasa raya. Usai memasuki bab demi bab, barulah difahami akan makna tajuk yang cuma satu perkataan ini. Korelasi antara judul dan imej tangan orang berdoa ternyata sangat bermakna terutamanya bagi penganut yang beragama Islam. Rupanya intipati kisah dari imaginasi penulis turut bertemakan praktik berdoa yang sememangnya menjadi saranan dalam meminta ehsan kepada Tuhan. Begitu juga halnya dengan watak utama dalam fiksyen ‘Perjudian’ ini. Sekejap-sekejap berdoa, hebatnya takwa watak yang dibawakan.

Watak Pak Mat yang memperjudikan hayatnya bagi membuka kediaman dengan keringat sendiri di tanah belukar Paya Kedondong Pasir Mas Kelantan membentangkan nilai murni yang lebih dari satu untuk diteladani. Bak kata Pak Mat, “hidup ini persis meniti di atas buih dari lautan kehidupan yang bergelombang. Perlu pengorbanan, kesetiaan dan kesabaran seperti pokok. Jatuh bangun itulah pengorbanan dalam kehidupan dan buah kesabaran itulah kejayaan”. Watak pendamping yang berjiwa setia dan tidak mengeluh memerah peluh dalam usaha membuka satu demi satu tapak tanah baru di belukar tentunya isteri Pak Mat sendiri iaitu Mek Nab. Impak menuang jasa yang bukan secupak tetapi berjuta-juta gantang pada tanah sehinggakan dalam tempoh lima tahun menghuni belukar Paya Kedondong telah menkayakan mereka sekeluarga kerana memiliki tanah pekebunan yang semakin banyak jumlah hektarnya. Bagi Pak Mat, isterinya Mek Nab rajin seperti mesin, sinergi tenaga antara keduanyalah yang menggariskan wang saban hari.

Bukan sahaja tanah yang dapat merasa titik peluh jasa Pak Mat dan Mek Nab malahan kerendahan hati yang luhur sekelamin ini turut dipamerkan terhadap jiran mereka iaitu Pak Ngah Daud, Mak Ngah Tijah dan Samad. Betapa Pak Mat sangat mengenal akan kebaikan jirannya yang terpencil itu. Bahkan sifat-sifat kemanusiaan yang sejati sentiasa terbangun dalam kantung hatinya. Manakan tidak, mengingatkan impian untuk mengadakan kenduri bagi menjamu beberapa orang kejiranannya lah yang menyalakan lagi semangat Pak Mat untuk bekerja keras mengerjakan padi huma sehinggakan lelah penat tidak dihiraukan olehnya. Menurut Pak Mat, manusia bernama Pak Ngah Daud dan Mak Ngah Tijah lah yang menukar haluan hidupnya dan andai dideretkan budi mereka, tentu tidak terhitung untuk dikira sebagai hutang. Oleh kerana karya bernama ‘Perjudian’ ini banyak menghamparkan ketinggian jasa, maka amat wajar ditempatkan pantun jasa sebagai kata alu-aluan bagi pembukaan konfes buku saya buat kali ini.

Pengajaran lain yang lebih ulung daripada perihal membuat jasa dan mengandar jasa adalah keredhaan pada takdir Tuhan. Bab awal dan pertengahan turut menyelitkan kisah Pak Mat dan Mek Nab yang kehilangan seorang demi seorang anaknya yang meninggal dunia sebelum sempat menjadi tua dan pada saat tenaga mudanya diperlukan si ayah yang terus dipagut usia lama. Arwah Khalid, Talib, Rihana dan Mahmud merupakan jasad-jasad yang sempat menikmati kasih sayang Pak Mat dan Mek Nab sebelum bersilih ganti pergi menyambut panggilan Ilahi. Maka, hanya Si Sarah tempat Pak Mat dan Mek Nab bersandar teduh belas dan memaknai fitrah berkeluarga di hutan belukar yang sunyi itu. Andai tiada keteguhan hati, tentu sahaja mereka berdua terjelopok dalam ranjau pemergian dan desir kesunyian yang tidak tertanggung lagi. Keberangkalian yang besar boleh jadi tidak siuman kerana bukan seorang anaknya yang meninggal muda tetapi seramai empat orang kesemuanya! Mujur saja air iman mengalir dalam dada, lantas memetakan dalam kepalanya bahawa kematian dan tanah kubur itu dalam urusan tadbir Tuhan yang harus dijalani dengan sabar melalui banyaknya solat dan doa siang dan malam.

Jika diamati pada bait pantun, ada disebut akan perkataan ‘berani’. Sifat berani hanyalah buat si pemberani dan perkataan hebat ini disebut kerana terkandung kisah yang harus dicontohi daripada jiwa berani bak harimau yang sentiasa berombak dalam diri anak tunggal Pak Mat iaitu Si Sarah. Ghalibnya gadis lima belas tahun lingkungan baya Siti Sarah sangat sukar memiliki langkah berani dan pandangan mata tajam seperti sinar mata serigala milik Si Sarah. Buktinya, Si Sarah sanggup meredah belukar demi mengkhabarkan berita sedih akan kesihatan ibunya dan keresahan hati kerana ayahnya yang belum pulang sedangkan waktu itu cerah siang sedang ditutupi oleh malapnya malam. Bukan sahaja waktu menghampiri Maghrib yang menjadi ujian, tetapi cuaca juga tidak mengizinkan kerana hujan semakin lebat membasahi kesedihan tunak wajahnya. Balau hati Si Sarah bertambah kencang saat terdengar bunyian empat ekor serigala yang berjaya menghidu bauan daging manusia. Cerdik dan beraninya Si Sarah tatkala terus terjun ke dalam sungai dan bersembunyi di balik perahu  saat rahang bahaya sedang mengintipnya.

Tuntasnya, meskipun telah saya ringkaskan dengan usaha maksima agar intipati naskhah ini dimuatkan mengikut kefahaman saya sendiri, namun keseluruhannya masih agak panjang. Izinkan saya untuk meninggalkan secubit inkuiri buat para pembaca agar pembaca sekalian melapangkan kesudian waktu untuk turut membeli karya ‘Perjudian’ ini. Antaranya, “Adakah batuan Iman di jiwa Pak Mat tetap teguh apabila menerima kehilangan buat kali kelima dalam usia setua 60an itu?”. Bahkan yang meninggalkannya pula merupakan sosok insan setia yang sering dipandang penuh kasih dan cinta. Persoalan lain, “Apakah mungkin Siti Sarah dikahwinkan dengan Samad setelah kematian ibunya”. Namun, “Bukankah Pak Mat kurang menyetujui padanan antara anaknya dengan Samad hanya kerana sedikit cacat pada akalnya si Samad itu?”. Percayalah bahawa Sepuluh Ringgit Malaysia yang sangat berbaloi andai dikorbankan demi menjadikan buku ini atas nama pemilikan sendiri. Lebih bermanfaat untuk dibaca dan diambil ibrah darinya. Secara holistiknya, penceritaan daripada karya ini seumpama meninggalkan pesan agar sentiasa rajin menambah pendapatan kerana jika tidak digerakkan tulang, mustahil rezeki akan beratur datang.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


.Atiqah Abd Rahim.
.Atiqah Abd Rahim.

Penuntut UKM Bangi, jurusan Usuluddin & Falsafah.

Articles: 20