Ulasan Buku : Perempuan Yang Baik-Baik Dalam Al-Quran

Di dalam Al-Qur’an ada menyoroti sejarah perempuan-perempuan baik yang harus dijadikan uswah kepada kaum muslimah. Sifat peribadi, dan kehidupan disuluh cahaya kebaikan kerana mereka ialah wanita beriman dan mentauhidkan Allah. Diantaranya :

  • Kisah ketinggian martabat seorang Ibu iaitu Ibu Nabi Musa AS yang risau sekiranya bayinya lahir (Nabi Musa AS) dibunuh oleh kerajaan Firaun. Ini kerana setiap kali ada bayi lelaki dilahirkan akan dibunuh. Menurut mereka, bayi lelaki itu akan menjadi penyelamat dari kezaliman kerajaan Mesir pimpinan Firaun atau Ramses II. Kerana bimbang Allah memerintahkan ibu Nabi Musa menghanyutkan bayinya ke laut. Lihat Surah al-Qasas.
  • Kisah keteguhan Asiah binti Isteri kepada firaun yang zalim. Asiah diseksa dan dibunuh kejam kerana mempertahankan akidahnya. Lihat surah at-Tahrim.
  • Kisah Maryam didatangi jibril dengan mengabarkan berita bahwa Maryam akan melahirkan anak lelaki yang suci iaitu Nabi Isa AS. Dia tabah dicemuh masyarakat kerana melahirkan anak tanpa seorang bapa. Lihat dalam surah Maryam.
  • Kisah kematangan Khaulah Tsa’labah diceraikan suami dengan lafaz zihar. Dia mendatangi Nabi SAW bertanyakan hukum zihar. Lihat dalam Surah al-Mujadilah.

Banyak lagi sebetulnya dinyatakan seperti Adam dan Hawa, kisah Ummu Khulthum bin Uqbah bin Abi Muaith RHA yang berhijrah (mentauhidkan Allah ta’ala) dari surah yang berkait pada peristwa yang lain.

Akan tetapi kita jangan melupakan bahawa Al-Qur’an juga ada memperistiwakan kisah perempuan-perempuan yang tidak baik sebagai tanda pengajaran kepada manusia. Setebal 325 muka surat karangan Muhamad Syaari Ab Rahman. Disebabkan tebal, saya cuba ringkaskan.

  • Isteri Nabi Nuh AS (Surah Hud 36 hingga 40).

Nabi Nuh antara Nabi yang paling lama berdakwah selama 950 tahun. Sepanjang mengajak kaumnya mentauhidkan Allah SWT hanya sedikit sahaja beriman termasuklah sebahagian ahli keluarga. Allah memerintahkan Nabi Nuh membina sebuah bahtera dan memuatkan isi bumi dari macam makhluk termasuk binatang dan haiwan. Ini kerana banjir besar akan ditimpahkan sebagai azab kepada kaum yang tidak mengikuti seruan dakwah Nabi Nuh.

Namun hanya sedikit kaum beriman memenuhi ruang kapal. Isteri dan seorang anaknya tidak mengikuti Nabi Nuh. Keduanya menjadi kufur.

  • Isteri Nabi Luth AS (Surah Hud 77 hingga 81)

Nabi Luth AS dihantarkan Allah SWT kepada kaum sodom yang melakukan hubungan sumbang atau homoseksual. Sewaktu Nabi Luth didatangi 3 orang lelaki rupawan yang sebenarnya malaikat tidak ada yang mengetahui melainkan isteri Nabi Luth. Namun isteri Nabi Luth memberitahu kepada kaum dilaknat itu sehingga rumah baginda dikepung. Ini kerana kaum sodom menginginkan lelaki rupawan, nafsu mereka tidak ada pada kaum wanita. Allah menurunkan azab kepada kaum sodom berupa batu-batu panas dari langit.

  • Ummu Jamil (Surah al-Masad/lahab 1 hingga 5).

Abu lahab merupakan bapa saudara Nabi Muhammad SAW. Abu lahab dikurniakan isteri cantik nan berharta. Bahkan keduanya mengusahakan empayar perniagaan di Mekkah sehingga digelar orang berkuasa dan kaya raya. Namun ternyata Abu lahab angkuh tidak menerima dakwah yang dibawah Nabi Muhammad. Setiap malam isterinya, Ummu Jamil meletakkan kayu-kayu berduri dihadapan rumah Nabi dengan harapan agar Nabi alami kesakitan. Begitu tinggi kebencian kepada Nabi Muhammad. Dia juga sanggup menjual rantai termahal miliknya untuk memerangi Rasulullah. Allah menghinakannya di akhirat sebagai hamba pembawa kayu api yang membakar suami dan dirinya. Rantai yang dipakainya itu pula akan membakar jasadnya diakhirat kelak seperti tertera pada surah al- Masad ayat ke 5.

Kesudahannya, Isteri Nabi Nuh AS dan Nabi Luth AS Allah SWT ceritakan dalam Surah at- Tahrim ayat 10 :

ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا لِّلَّذِينَ كَفَرُوا اِمْرَأَةَ نُوحٍ وَاِمْرَأَةَ لُوطٍ كَانَتَا تَحْتَ عَبْدَيْنِ مِنْ عِبَادِنَا صَالِحَيْنِ فَخَانَتَاهُمَا فَلَمْ يُغْنِيَا عَنْهُمَا مِنَ اللَّهِ شَيْئًا وَقِيلَ ادْخُلَا النَّارَ مَعَ الدَّاخِلِينَ 

‘Allah membuat isteri Nuh dan isteri Luth sebagai perumpamaan bagi orang-orang kafir. Keduanya berada di bawah pengawasan dua orang hamba yang saleh di antara hamba- hamba Kami, lalu kedua isteri itu berkhianat kepada suaminya (masing-masing), maka suaminya itu tiada dapat membantu mereka sedikitpun dari (seksa) Allah dan dikatakan (kepada keduanya): “Masuklah ke dalam jahannam bersama orang-orang yang masuk (jahannam)”.’

Manakala isteri Abu lahab Allah nyatakan kedudukannya dalam Surah Al-Lahab ayat 3 :

سَيَصْلَىٰ نَارًا ذَاتَ لَهَبٍ

‘Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergejolak’.

Penghujungnya ketiga-tiga di Neraka. Kerana khianat dan menentang dakwah suami sendiri iaitu para Nabi-Nabi Allah. Kerana didunia wanita dipandang menjadi mulia, diakhirat Allah campak kehinaan berupa azab yang pedih. Begitulah kisah 3 Wanita ahli Neraka.

Allah SWT memerintahkan perempuan mentaati para suami disebabkan ketaatan itu tidak lain melainkan mengandungi hikmah dan kebaikan. Walau bagaimana pun, suami yang zalim seperti Abu Lahab tidak melahirkan contoh terbaik hingga menyebabkan isterinya termasuk golongan ahli neraka. Kesimpulan dari keseluruhan kisah, kesolehan itu tidak mampu diwariskan baik pada sesiapapun. Buktinya Nabi Nuh dan Nabi Luth tidak mampu membawa anak dan isteri menjadi manusia beriman kepada Allah. Bagaimana acuan didikan ketua keluarga dirumah begitulah sikap yang diikuti oleh isi rumah. Namun haruslah kita mengetahui bahawa kaum wanita banyak bermain pada perasaan dan emosi. Bukan kerana kelemahan namun kerana fitrah sebagai perempuan itu sendiri.

Suka saya kongsi pandangan dalam keseluruhan penulisan nakshah ini banyak memetik perihal rumah tangga dan berjaya memberi contoh bimbingan dari kalangan perempuan- perempuan baik mahupun sebaliknya. Di samping itu, adanya babak sengit antara Aisyah RHA dan Hafshah RHA berkomplot mengenakan Zainab RHA melalui Rasulullah shallahu ‘alaihi wa sallam disebabkan iri hati. Burukkah sikap isteri-isteri Nabi? Tidak. Allah ta’ala menegur didalam Surah at-Tahrim ayat 4-5 dan kedua-dua akui akan kesilapan. Demikian juga kisah istri al-aziz mengakui kesalahan dan bertaubat kerana menggoda Nabi Yusuf AS. Allah rakamkan kekesalan istri al-aziz dalam Surah Yusuf 51-52. Tujuan dihari mendatang supaya manusia berfikir dan mengambil ikhtibar disetiap peristiwa lepas.

Saya banyak tekankan pembacaan pada bahagian ini sebagai teguran pada hati. Mudahan Allah menjauhkan kami kaum wanita dari menjadi sebahagian ahli Neraka. Naudzubillah mindzalik. Hadamkan sebaik-baik buku penuh menginspirasikan ini. Bacalah dengan keinsafan. Moga-moga selepas ini kita menjadi ‘perempuan baik-baik’.

 


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Syuhara Suriati
Syuhara Suriati

Penulis artikel, antologi dan anekdot.🌷Isteri suri membaca dan menulis 🌷

Articles: 67