Selamat Datang Ke Laman Web Konfess Buku
Ulasan Buku : Perempuan Yang Baik-Baik Dalam Al-Quran
Di dalam buku ini, Ustaz Syaari Ab Rahman berjaya membumikan laras bahasa Al-Quran yang tinggi kepada sebuah bentuk penjelasan yang mudah faham dan santai. Sangat mesra pembaca terutamanya buat mereka yang tidak berlatarbelakangkan jurusan dan pengajian agama.
Ustaz menghuraikan beberapa kisah para muslimah terdahulu yang menjadi asbab dan sirah disebalik asbabun nuzul. Berikut merupakan beberapa sirah dan ibrah yang terkandung di dalam ini,
1. Pertolongan Allah Itu Dekat
“Perempuan yang kuat ialah perempuan yang tinggi pergantungannya kepada Allah. Dia menjaga agamanya, berasa tidak sempurna di hadapan tuhannya dan sentiasa bersangka baik kepada Allah. Ini kerana dia tahu Allah menurunkan ujian untuk mengangkat darjatnya, bukan untuk menjatuhkannya.”
Inilah Saidatina Maryam, tokoh wanita sepanjang zaman. Satu-satunya muslimat yang Allah sebutkan namanya di dalam Al-Quran sebagai bukti Allah memuliakan dirinya dan mengangkat martabat beliau sebagai wanita yang suci setelah melahirkan seorang bayi tanpa ayah.
Di dalam surah Maryam ayat ke 25, Allah memerintahkan Saidatina Maryam untuk menggoncangkan struktur pokok yang paling kuat iaitu pangkal.
Apakah Allah tidak tahu bahawasanya Mariam baru saja selesai melahirkan anaknya? Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu yang tidak kita ketahui.
Jika difikirkan logik akal nescaya ia sesuatu yang mustahil. Dari goncangan terbaik Saidatina Maryam, Allah menggugurkan tamar dari pohon itu. Ternyata Saidatina Maryam hanya perlu memulakan sedikit usaha, selebihnya Allah yang akan menurunkan pertolongan.
Melalui peristiwa ini, Allah bukan saja mengajar Saidatina Maryam sebaliknya Allah mengajar kita yang membaca sirah ini, untuk senantiasa meletakkan pergantungan kepada-Nya, yakinlah bahawasanya Allah hanya ingin melihat kita berusaha meskipun dalam keadaan yang mustahil pada pengiraan kita kerana kuasa Allah tiada batasannya.
2. Nama ibu Nabi Musa Tidak Tertulis Di Dalam Al-Quran
Di dalam ayat 7 surah Al-Qasas, Allah memerintahkan agar ibu Nabi Musa menyusuinya dan melepaskan baginda ke sungai.
Bahkan di dalam ayat yang sama juga, Allah turut memberikan jaminan bahawasanya bayi ibu Nabi Musa akan kembali semula kepadanya, maka janganlah berasa bimbang dan berdukacita.
Ibrah dari peristiwa ini, janganlah berfikir panjang dalam mentaati perintah Allah. Kerana setiap perintah itu memiliki hikmahnya.
Di dalam peristiwa ini juga, nama ibu Nabi Musa tidak disebut sama sekali. Ini memberi gambaran agar kita yang membaca kisah pada hari ini tidak terikat dengan nama tersebut. Sesiapa saja boleh dan mampu mengaplikasikan sifat ibu Nabi Musa.
Sebagaimana janji Allah untuk memulangkan bayinya kepada ibu Nabi Musa AS seperti itu jugalah janji Allah kepada hamba-hambanya yang yakin serta beriman kepada doa.
Kuncinya, percaya dan yakinlah dengan pada Allah.
3. Asiyah Tidak Bergantung Hidup Kepada Suasana
Meskipun hidup di dalam istana yang lengkap dengan segala kehendak dan kemahuan dunia, ia tidak sedikit pun mengocak keteguhan iman Asiyah.
Keimanan Asiyah mengatasi dunia seisinya.
Di dalam Surah At-Tahrim ayat 11, Asiyah berdoa “Wahai Tuhanku, binalah untukku sebuah rumah di sisimu di dalam syurga dan selamatkan aku dari Firaun dan perbuatannya.”
Di dalam ayat ini, para ulama mentafsirkan bahawasanya jika Asiyah masih hidup, beliau ingin dijauhkan dari duduk di dalam kerajaan dan politik yang zalim sepertimana kerajaan Firaun.
Menurut hasil kajian para arkeologi, mereka tidak pernah menemui tinggalan patung Isetnofret yang dikatakan salah seorang daripada isteri Firaun Ramses II.
Ramses ini dikatakan sebagai Firaun yang dimaksudkan oleh Allah dalam Al-Quran. Hidup pada zaman Nabi Musa dan merupakan suami kepada Asiah.
Kajian ini telah membuktikan seolah-olah doa Asiyah telah diistijabahkan oleh Allah untuk tidak dikaitkan dengan Firaun. Isetnofret dikatakan sebagai sebutan asal namanya dan apabila disebut dalam bahasa Arab ia menjadi Isiyah atau Asiyah.
Sebagai kesimpulan, sekali lagi saya menyarankan agar sahabat-sahabat muslimat (khususnya) berusaha untuk membaca dan menghayati setiap kisah yang telah tertulis di dalam buku ini.
Penceritaan sirah yang begitu terperinci membuatkan para pembaca merasa seolah-olah setiap kejadian yang berlaku itu begitu dekat dan tiada jarak masa.
#MembinaGenerasiIqra’
Berminat untuk siarkan ulasan buku anda ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.
Jangan lupa untuk Like / Follow Konfess Buku di :
Facebook : Facebook.com/konfessbuku
Instagram : Instagram.com/konfessbuku
Twitter : Twitter.com/konfessbuku
#konfessbuku
#MalaysiaMembaca