Ulasan Buku : Perempuan Pengembara

Nama buku: Perempuan Pengembara

Penulis: Nissa’ Yusof

Muka surat: 54

Penerbit: Nusa Centre

Tahun terbit: 2019

Cetakan: Kedua

Ketika menghayati puisi-puisi yang terdapat dalam naskhah setebal 54 muka surat ini, sesekali ia membangkitkan kedamaian dan keamanan jiwa. Menyelami setiap tafsiran pemuisi yang sangat mendalam dan lencongan kata-kata yang amat enak, sungguh pemuisi ini merupakan penulis yang cukup berbakat.

Fikiran yang ralit terhadap kepingan-kepingan masalah, dijedakan demi menghirup rendaman coretan puisi yang nyaman. Membiarkan manuskrip terbengkalai seketika demi menikmati keadaan yang dibentangkan penuh cinta dan nostalgia oleh pengarang.

Sejak terlibat dalam projek mengarang puisi, kali pertamanya mengulas buku-buku puisi. Mana tidaknya, buku-buku puisi juga menjadi tarikan dalam kalangan penggemar genre sastera. Lenggok bahasa yang diterjemahkan, bukan semua mampu mencipta nada-nada yang merdu. Kali ini, Perempuan Pengembara terus menghidupkan nadi pembacaan kerana alunan suara yang indah.

Nissa’ Yusof, pengarang buku ini menghimpunkan 40 buah manik-manik puisinya dalam satu naskhah yang agak nipis tetapi padat dan puitis! Puisi-puisi ini terbina hasil daripada pengembaraan penulis ke beberapa negara dan kota seperti di Jepun, Filipina, Myanmar, Indonesia, Kuala Lumpur serta beberapa tempat lagi yang menggamit memori penulis.

Pengembaraan yang sangat jauh dan luas sudah tentu, perjalanan ini menjadi satu hal paling istimewa kerana mampu membawa penulis mengenal budaya masyarakat setempat dan melihat kegagahan teknologi serta bahasa serumpun sesuatu kaum. Melalui penglihatan indah inilah, telah menjadikan penulis menemukan idea dan melakarkan puisi dalam bentuk pengkaryaan serta kini dinikmati oleh kebanyakan pembaca yang meminatinya.

Kulit buku berwarna putih dan polos, ditambah pokok-pokok tumbuh yang menghijau dan ilustrasi wanita yang sedang berdiri hendak meneruskan langkah dengan gagah, menunjukkan sesuatu gambaran yang tidak sabar menerokai alam.

Jika ditinjau seluruh tujuan puisi yang dilahirkan oleh penulis buku ini, ia bukanlah sekadar melampiaskan keinginan menyegarkan diri di negara asing ataupun menangkap gambar untuk dijadikan tatapan kenangan saat tidak lagi menginjakkan kaki di sini. Tetapi lebih kepada mencari ketenangan diri dan mencipta suasana yang hening. Melangsaikan misi ketenteraman dan melepaskan apa yang pernah berbekas di dalam hati.

Lirikan kata-kata penulis yang cukup tajam, meluahkan segala isi hati yang pernah menebal telah menguburkan racun kedukaan. Keindahan laut yang biru, langit yang cerah, tapak yang dijelajah merembeskan lagi contengan puisi oleh penulis buku ini. Ini membuatkan kita merasai, nukilan puisi-puisi dalam naskhah ini berbeza-beza keasyikan dan irama.

Sajak-sajak pengembaraan yang disematkan oleh pemuisi memberikan kepada kita tiket percuma melihat sendiri kepelbagaian tarikan di sana. Perkataan-perkataan unik yang dicantumkan daripada bahasa pinjaman, menambahkan seri meski hanya berapa rangkap baris. Ini membuktikan bahawa penulis sangat kaya akan bahasa. Antara perkataan tersebut seperti, fuyu dan yuki.

Pepatah menyebutkan, jauh perjalanan, luas pemandangan. Benar, luas pemandangan, maka luaslah ilmu pengetahuan kerana permusafiran. Perjalanan yang tidak sia-sia malahan mendesak pena untuk tidak berhenti menafsirkan apa saja bekalan.

Dalam kandungan buku ini juga, terdapat lukisan-lukisan yang menjadi mercu tanda pada puisi penulis dan melengkapkan lagi baris-baris kata yang didendangkan. Antaranya seperti bunga sakura, poskad, basikal, nota, seni bina bagi sesuatu negara dan lain-lain yang berkaitan.

Buat pembaca yang ingin mengikuti kembara penulis yang mengujakan, buku ini disyorkan,

Pertama, kembara yang cukup lumayan di samping mengenal latar dan meneguk pengalaman, ia mengajarkan kepada penulis  untuk tersenyum dan berjalan dengan keberanian tanpa jiwa yang gentar.

Kedua, kelunakan ayat yang diguna pakai amat halus namun memaksa kita berkerja keras membuka kamus untuk mencari definisi yang sebenarnya adalah indah.

Ketiga, membaca seluruh puisi yang sarat mengutip ibrah di tempat orang, sesekali membuatkan kita rindu untuk terbang ke kota-kota kebanggaan yang disebutkan.

Konklusinya, meskipun buku ini serba ringkas dan tidak tebal lembarannya namun amat disarankan kepada yang rindu hendak mengembara, kepada yang ingin menyaksikan warna-warni negeri, kepada yang mahu mendengarkan melodi jeritan dan laungan.

“Bangunan Tua

memesrai kota lama

seperti dua rakan baik.

Di jalanan

kenangan dijual pada harga mahal

tali tetap kubeli

kerana entah bila

akan ke sini lagi.

Vigan City, Filipina.”

Petikan dalam Perempuan Pengembara, hal. 8.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Syuhara Suriati
Syuhara Suriati

Penulis artikel, antologi dan anekdot.🌷Isteri suri membaca dan menulis 🌷

Articles: 67