Ulasan Buku : Perempuan dari Langit

Nama buku : Perempuan dari Langit

Penulis : 12 penulis

Penerbit :  Rumedia

Tahun Terbit : 2020

Cetakan : Pertama

Muka surat : 110

Harga: 60 ribu rupiah/RM 18

Judul buku perempuan dari Langit antara salah satu buku yang pernah saya tulis dan dimuatkan dalam naskhah antologi bersama 11 rakan yang lain. Buku ini pada saya amat istimewa kerana ditulis bersama rakan-rakan wanita dari Indonesia dan cuma saya seorang sahaja penulis dari Malaysia menuangkan idea dan tinta.

Perempuan dari Langit merupakan sebuah buku bertemakan wanita-wanita di zaman era kenabian dan pada masa kini. Karya ini membawa kita mengetahui kelebihan dan kehebatan para wanita yang terpahat dalam sejarah mahupun pada zaman kita ketika ini. Mereka ialah pejuang wanita dan diibaratkan seperti kiriman Tuhan daripada langit. Perempuan yang akan menggalas tanggungjawabnya sebagai madrasah kepada anak-anak dan pada generasi yang akan datang.

Buku ini menghimpunkan 12 pengisian daripada 12 orang. Di mana masing-masing ada bercerita mengenai wanita paling berjasa dalam kehidupan sendiri dan sebahagian pula berkongsi keabadian kisah tokoh-tokoh shahabiyah yang mulia di sisi Rasulullah shallahu ‘alaihi wa sallam.

Meskipun naskhah ini berbentuk antologi, namun pada saya buku ini bukan sekadar memfokuskan pada satu penceritaan ataupun bab. Sebaliknya, lebih bebas dan terbuka tetapi tetap berada dalam satu tema yang dikupaskan. Malah diadun penuh santai dan nikmat untuk dijamah oleh setiap pembaca. Oleh yang demikian buku ini ditujukan buat kaum wanita supaya lebih ramai lagi dalam kalangan wanita khususnya meneladani kegigihan, ketabahan dan kedalaman ilmu pengetahuan mereka.

Perkongsian oleh semua penulis mengenai perempuan-perempuan dari langit amat mengesankan jiwa. Kendatipun begitu, jujurnya dalam buku ini saya lebih tertarik pada catatan kisah shahabiyah yang dilakarkan. Nama yang sentiasa segar dan tumbuh mekar sepanjang zaman serta terdapat mutiara ibrah yang boleh dijadikan pedoman. Di antaranya :

1. Khadijah binti Khuwailid. Isteri Nabi shallahu ‘alaihi wa sallam yang pertama dikahwini. Wanita yang agak berusia tetapi berharta dan dermawan. Dalam kisah Khadijah rha ini, dapat kita pelajari sikap beliau yang gemar menginfakkan hartanya pada jalan kebaikan. Di samping itu, Khadijah rha ialah seorang isteri yang solehah kerana berjaya mengusir kegundahan dan menenangkan hati baginda tatkala wahyu sedang diturunkan. Sesungguhnya, Khadijah ialah wanita yang beriman dan sentiasa menyokong seruan dakwah Nabi Muhammad shallahu ‘alaihi wa sallam.

2. Asma’ binti Abu Bakar. Anak kepada sahabat baginda yang dijamin Syurga iaitu Abu Bakar Ash-Siddiq. Kesolehan Asma’ rha tersebut terletak apabila beliau menggunakan tali pinggang miliknya yang dipotong pada dua bahagian untuk mengikat bekalan makanan buat ayahnya dan baginda yang bersembunyi menuju ke Kota Madinah. Disebabkan itu, Asma’ rha mendapat gelaran sebagai Dzatin Nithaqain yang bermaksud wanita yang memiliki dua tali pinggang. Keberanian Asma’ rha seharusnya dicontohi kerana menjadi anak yang berbakti dan berkorban demi agama tercinta.

3. A’isyah binti Abu Bakar. Isteri Nabi shallahu ‘alaihi wa sallam yang termuda. Dididik dalam keluarga yang terhormat dan taat beribadah. A’isyah rha tempat rujukan para sahabat dalam bertanya kemusykilan agama selepas kewafatan baginda. A’isyah rha merupakan anugerah Tuhan dari langit kerana kecerdikkannya mengeluarkan fatwa serta melahirkan ramai ilmuan dalam kalangan lelaki dan wanita. Usianya tidak mengganggu untuk menguasai segudang ilmu. A’isyah rha ialah ibunda kaum muslimin penerus sunnah Nabi shallahu ‘alaihi wa sallam.

4. Fatimah binti Rasulullah shallahu ‘alaihi wa sallam. Permata hati baginda yang menjadi kebanggaan kerana kesantunan dan ketaatan yang dicurahkan kepada ayahnya, Rasulullah shallahu ‘alaihi wa sallam. Fatimah rha disatukan dalam ikatan perkahwinan sah dengan Ali bin Abi Thalib iaitu sepupu baginda. Walau bagaimana pun, perkahwinan itu sedikit meresahkan hati dan fikiran Fatimah rha disebabkan sering mengeluh menjalankan tugas sebagai suri rumah. Namun, atas nasihat seorang ayah iaitu Nabi Muhammad shallahu ‘alaihi wa sallam kepadanya, Fathimah rha melupakan segala kekecewaan dan belajar hidup dalam kesederhanaan.

5. Nusaibah binti Ka’ab. Seorang mujahidah dan pembela Rasulullah shallahu ‘alaihi wa sallam sewaktu perang uhud. Wanita yang menginspirasikan seluruh umat manusia kerana ketangkasannya melawan musuh dan berada dibarisan hadapan untuk menyelamatkan baginda. Masha-Allah. Masih adakah wanita di akhir zaman ini seperti Nusaibah binti Ka’ab?

Mereka ialah wanita terbaik yang pernah dinobatkan dalam sejarah Islam. Tidak mengharapkan habuan dunia tetapi percaya akan balasan Syurga dan nikmat di akhirat kelak. Saya percaya bahawa perkembangan ajaran Islam banyak dibantu oleh kaum wanita sejak dahulu kala lagi. Kebaikan yang sangat dicemburui mengajak kita mencontohi kelakuan dan keagungan perempuan-perempuan dari langit. Memaksa semua wanita agar rajin memperkemaskan ilmu dan jati diri.

Kisah-kisah ini tidak sepatutnya disimpan dalam lembaran kertas dan dibiarkan usang ditebuk anai-anai yang nakal. Kisah ini perlu disebarluaskan supaya lebih ramai lagi mendapatkan manfaat dan kebaikan. Kisah kemuliaan seorang ibu dalam buku ini turut disajikan oleh sesetengah penulis lain agar kita mengetahui bahawa ibu termasuk wanita yang amat tinggi kedudukannya di sisi Allah ta’ala.

Saya sebenarnya amat bersyukur kerana diberi peluang berkongsi pemikiran dan gagasan mengenai ketokohan wanita-wanita yang hebat-hebat belaka. Kemudian membaca kisah lain-lain dapat menyedarkan lagi bahawa kaum wanita mempunyai peranan yang amat besar dan diperlukan dalam urusan dakwah. Justeru itu, saya amat menyarankan jika tema-tema karya seperti ini menjadi sebuah buku kegemaran oleh setiap pencinta buku dan disediakan sebagai buku sejarah dalam perpustakaan di rumah.

Buku ini mampu memantapkan lagi kewanitaan seorang perempuan dari segi amalan mahupun intelektual. Perempuan dari langit, satu pencerahan figura wanita sebagai cerminan diri untuk dilaksanakan sebagai entiti mithali. Naskhah ini diolah ke dalam bahasa asing iaitu Indonesia disebabkan penerbit buku ini juga bertapak di Indonesia. Sungguh, buku ini adalah hadiah yang dititipkan buat wanita muslimah. Karya ini boleh didapati dengan terus melayari facebook Penerbit Rumedia. Selamat membaca.

“Membaca potret wanita di zaman Nabi Muhammad shallahu ‘alaihi wa sallam membawa pembaca berkenalan biografi serta perjuangan menjadi wanita beriman yang mentauhidkan Allah subhanahu wa ta’ala. Kehandalan istri-istri baginda membantu urusan dakwah bertindak sebagai tokoh rujukan ilmu terhadap persoalan yang timbul. Salah satu wanita menjadi pakar rujukan pada waktu itu ialah Aisyah binti Abi Bakr.” – Perempuan dari Langit, hal. 41.

 


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Syuhara Suriati
Syuhara Suriati

Penulis artikel, antologi dan anekdot.🌷Isteri suri membaca dan menulis 🌷

Articles: 67