Ulasan Buku : Perdamaian Palestin Bukanlah Aparteid

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Alhamdulillah kali ini aku akan cerita sedikit tentang sebuah buku non-fiksi yang menyentuh isu yang berlarutan tanpa kesudahan di antara dua buah pihak. Buku ini bertajuk ‘Perdamaian Palestin Bukanlah Aparteid‘. Aku jumpa tajuk buku ini sewaktu menonton sebuah online talk tentang isu semasa sambil dipromosikan beberapa buah buku tentang isu atau konflik global. Waktu itu juga isu Palestin-israel memang agak panas dan pengacara talk itu pula bagi aku adalah seorang yang punyai kredibiliti dalam bidang kewartawanan. So buku yang beliau promosikan agak menarik dan kena dengan situasi semasa. Sekilas memandang tajuk, aku beranggapan bahawa buku ‘Perdamaian Palestin Bukanlah Aparteid‘ ini kelihatan seperti satu justifikasi yang ingin dibuat oleh penulis buku berkenaan perdamaian Palestin dengan israel, atau mengapa Palestin perlu berdamai dengan israel. Penulisnya orang Inggeris pula tu! Aku sebagai orang yang tahu sedikit-sedikit sahaja tentang isu Asia Barat ini memang terasa agak bengang apalagi dengan berita-berita semasa yang sememangnya banyak memaparkan keganasan bangsa yahudi-zionis di israel itu kepada penduduk Palestin. Tapi selepas membaca buku ini, baru aku tahu bahawa tajuknya lebih dekat kepada harapan penulis terhadap konflik yang berlaku di Asia Barat umumnya dan Palestin khususnya. Ironinya perkataan ‘aparteid’ yang beliau gunakan itulah yang sedang dialami oleh penduduk Palestin sekarang.

Okay, buku ‘Perdamaian Palestin Bukanlah Aparteid‘ ini telah ditulis oleh Jimmy Carter. Ia telah diterbitkan pada tahun 2006 oleh Pocket Books, sebuah imprin Simon & Schuster, UK Ltd. Oh ya, buku ini asalnya berbahasa Inggeris bertajuk ‘Palestine Peace Not Apartheid‘. Dan buku yang aku baca pula ialah hasil terjemahan Amir Muslim dan diterbitkan oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad (ITNM @ ITBM) pada tahun 2011. Bermakna, karya ini telah berusia 15 tahun dan dalam tempoh itu macam-macam telah berlaku, jadi apa yang aku tulis hanyalah berdasarkan hasil pembacaan yang berkisar garis masa dan kandungan buku ini sahaja ya, bukan selepas itu.

Siapa pula Jimmy Carter? Apa kelayakan beliau hendak bercerita sehingga membuat buku berkenaan Palestin ini? Okay, Jimmy Carter ialah seorang bekas presiden Amerika Syarikat (AS) yang ke-39. Beliau telah dilantik menjadi presiden pada tahun 1977-1981 iaitu selama 5 tahun. Selepas aku tahu beliau ini ialah bekas presiden AS, terus rasa skeptikal sedikit tentang buku ini sebab umumnya kita tahu yang AS itu jelas-jelas memang sekutu dengan israel. Jadi, apalah yang hendak aku harapkan dari buku ini melainkan kritikan berat sebelah kepada Palestin semata-mata. Tapi apa yang membuat aku meneruskan pembacaan ialah pada blurb buku ini yang memperlihatkan bahawa beliau mengkritik israel di atas ke-tidakjadi-an pelan-pelan perdamaian di rantau Asia Barat yang bergolak itu. Nampaknya agak kontradik dengan tebakan liar aku, haha! Selain dari bekas presiden AS, Jimmy Carter juga merupakan pengasas kepada Carter Center yang mana melalui sedikit pembacaan aku; adalah sebuah organisasi atau pertubuhan yang banyak membantu pihak-pihak atau bahkan negara-negara yang terlibat dengan krisis bersifat global. Ini juga menjadi pendorong aku untuk meneruskan pembacaan kerana kelihatannya beliau bergerak bukan semata-mata atas nama AS atau kapasitinya sebagai presiden tetapi lebih kepada semangat melalui pertubuhannya sendiri.

Buku ‘Perdamaian Palestin Bukanlah Aparteid‘ ini telah ditulis dengan gaya ala-ala autobiografi penulis. Ia adalah apa yang dilalui penulis sepanjang berkecimpung dalam dunia politik sebagai presiden AS dan juga sebagai pihak sukarelawan global. Dan kelihatannya, apa yang ditulis di dalam buku ini juga tidaklah terlalu mengangkat israel memandangkan banyak juga sisi-sisi israel yang diungkapkannya turut mengundang kecaman dan kritikan dari pihak israel sendiri. Inilah antara sebab bukunya ini turut menjadi kontroversi dalam kalangan pihak pro-israel. Ia seperti sebuah diari atau jurnal peribadinya sewaktu terlibat aktif secara langsung dengan Palestin dan israel semenjak zaman Yasser Arafat dan Menachem Begin lagi. Tema buku ini menurut pandangan aku ialah tentang usaha dan halangan yang bersilih ganti dalam mewujudkan perdamaian melibatkan kedua belah pihak yang bertelagah. Usaha demi usaha ditunjukkan oleh Jimmy Carter dalam mendukung perdamaian termasuk melibatkan negara-negara jiran Arab yang lain.

Melalui buku ini, kita turut diperlihatkan garis masa berlakunya peristiwa-peristiwa penting yang melibatkan pihak Palestin dan israel semenjak tahun 70-an lagi. Dan sedikit sejarah bangsa yahudi dan tanah Palestin turut diceritakan secara ringkas menurut agama penulis; iaitu Kristian. Antara yang diingati ketika membaca buku ini sehingga terasa benar-benar bengang dengan pemimpin politik yahudi-zionis ialah apabila termeterainya sesuatu perjanjian damai, kebanyakannya merekalah yang akan berlaku khianat sehingga pelan yang dirancang dengan cermat terhenti begitu sahaja. Selain itu, cara mereka membalas serangan juga sangat tidak adil dan kejam. Seringkali, balasan serangan mereka adalah berlipat kali ganda dari serangan pihak lawan mereka. Dan yang lebih buruk, mereka masih menjajah tanah orang lain (penduduk Palestin) di waktu zaman hari ini sudah tidak mengamalkan penjajahan fizikal secara langsung!

Bagi aku, apa yang sedikit kurang pada buku ‘Perdamaian Palestin Bukanlah Aparteid‘ ialah garis masa bagi sesebuah bab dalam buku ini kadangkala agak memeningkan. Walaupun kita sudah di bab-bab yang agak ke hadapan, kadang kita perlu merujuk semula ke bab-bab di belakang yang telah kita tinggalkan. Tetapi nasib baik terdapat kronologi ringkas di awal buku yang membantu kita menelusuri garis masa peristiwa bersejarah di Palestin-israel. Bahasa terjemahannya juga baik dan mudah difahami bagi orang awam yang tidak mendalami bidang politik atau hubungan antarabangsa. Jadi, aku merasakan buku ini baik untuk dibaca walaupun kita termasuk dalam kalangan mereka yang tidak bersetuju dengan idea penyelesaian dua buah negara. Ini kerana vibe yang ingin disampaikan oleh Jimmy Carter ialah tentang harapannya terhadap perdamaian di rantau Asia Barat, Palestin dan israel.

Kesimpulannya, melalui buku ‘Perdamaian Palestin Bukanlah Aparteid‘ ini aku melihat bahawa Jimmy Carter ialah seorang yang sangat positif dalam mendukung apa yang dipercayainya; iaitu Palestin dan israel masih punyai harapan untuk hidup dengan aman sebagai jiran walau selama beberapa dekad malah abad telah merebaknya api persengketaan antara keduanya. Pelan demi pelan sudah dirancang demi menuju ke arah keamanan namun masih juga tidak terlaksana. Perjanjian Kem David – Perjanjian Oslo – Pelan Damai Kuartet Antarabangsa – Cadangan Damai Arab – Inisiatif Geneva; semuanya tidak berjaya. Patutlah beliau ini dianugerahkan Hadiah Nobel Keamanan pada tahun 2002. Jika ditilik dari bukunya ini, banyak juga campur tangannya dalam menjadi orang tengah bagi mewujudkan rundingan antara Palestin dan israel. Tapi itulah, jebak persengketaan lebih mudah merebak berbanding perdamaian yang memerlukan usaha yang tangguh dalam merealisasikan apalagi mempertahankannya.

Sekian.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Default image
Khairul Anuar Abdul Razak
a noob reader, therefore a noob writer ✌🏼facebook: https://www.facebook.com/profile.php?id=100001328036465
Articles: 9