Ulasan Buku : Pengikut Yang Merosakkan

Nama buku: Pengikut Yang Merosakkan

Penulis: Syaari Ab Rahman

Muka surat: 216

Penerbit: Jejak Tarbiah

Tahun terbit: 2021

Cetakan: Pertama

 “Pengikut yang merosakkan ini bahkan mampu memberikan pelbagai dalil untuk menyokong tindak-tanduk para ulama mereka yang sebenarnya salah mengikut kaca mata agama.” Petikan dalam buku Pengikut yang Merosakkan, Ustaz Syaari Ab Rahman.

Kebanyakan para pengguna laman sosial baik dalam instagram, facebook dan twitter dibanjiri oleh pengikut ataupun followers yang ramai. Apatah lagi, jikalau seseorang itu merupakan selebriti, influencer, asatizah ataupun orang kenamaan, selalunya golongan ini mempunyai pengikut yang luar biasa kerana identiti mereka telah cukup dikenali.

Masyarakat menaruh minat dan kepercayaan kerana keistimewaan yang kerap kali ditawarkan. Kita sendiri mempunyai pengikut yang setia dan berada di di sisi pada setiap masa walaupun jumlah mereka tidaklah terlalu ramai.

Di sebalik pengikut yang berada dalam senarai rakan kita, belum tentu ada pengikut yang boleh menyumbangkan sebuah kebaikan. Boleh jadi, kehadiran mereka sekadar hendak mendekati dan mengaut kepentingan serta keinginan yang belum tercapai. Boleh jadi, mereka datang memasuki ‘pintu rumah’ kita, kerana menpunyai niat yang jahat seperti hendak merosakkan fikrah kita sebagai umat Islam.

Judul buku Pengikut Yang Merosakkan merupakan karya terbaharu karangan Ustaz Syaari Ab Rahman. Seorang asatizah yang sangat saya ikuti perkembangan semasanya.

Tepatnya, karya ini hadir ketika kebelakangan ini muncul pengikut-pengikut yang terlalu memuja tokoh-tokoh yang berpaling daripada ajaran Sunnah. Boleh saya katakan, buku ini adalah jawapan bagi memenggal pihak-pihak yang amat taksub kepada guru masing-masing.

Kefanatikkan kepada sang guru telah mengakibatkan para pengikut ini tidak mampu menilai kejahilan dan fahaman yang ditanamkan. Akhir sekali, meletakkan para pengikut ini ke arah kesesatan dan kekufuran yang nyata.

Terdapat 30 bab dan pesanan yang dititipkan oleh penulis untuk kita berhati-hati dan tidak berbangga-bangga terhadap ramainya para pengikut.

Seperti biasa, Ustaz Syaari sangat kaya dalam menyegarkan pembaca dengan membawakan pelbagai mesej dalam al-Quran dan kisah-kisah yang mengandungi iktibar.

Dalam buku ini, penulis menyajikan contoh-contoh pengikut yang rosak yang tegar dilazimi pada zaman dahulu. Antaranya seperti kisah para penyembah patung berhala. Mereka menjadi pengikut yang sesat kerana mensyirikkan Allah SWT. Menduakan Allah kerana kepercayaan nenek moyang yang berakar umbi.

Meskipun terdiri daripada pengikut yang sangat ramai namun apa yang berlaku, mereka tidak berada di atas kebenaran kerana lantang mengingkari ajaran para Rasul. Ini tidak menjamin bahawa pengikut yang ramai ialah pengikut yang selamat.

Selain contoh berikut, terdapat beberapa lagi kesedaran yang boleh masyarakat kutip daripada kisah para anbiya berserta pengikut yang mengimani kewujudan Allah. Antaranya seperti kisah Nabi Isa AS. Dikatakan bahawa pengikut baginda dalam kalangan Hawariun hanyalah berjumlah 12 orang. Selainnya, membantah dan menolak ajaran Nabi Isa AS.

Justeru, dua tamsilan ini telah membuktikan betapa kebenaran dan kemenangan itu tidak diukur berdasarkan jumlah followers. Lihatlah bagaimana cabaran para Nabi berdepan dengan pengikut yang sedikit. Ia tidak sedikit pun melemahkan perjuangan dalam menyebarkan tauhid.

Zaman dahulu juga tidak kurang hebatnya akan kewujudan para pengikut yang ramai dan benar-benar berpegang teguh serta beriman kepada Allah SWT. Seperti yang disebutkan oleh penulis dalam kisah Nabi Yunus AS, baginda memiliki 100,000 orang pengikut kerana taubat baginda dalam perut ikan.

Negara kini kian diledakkan dengan fenomena ‘taksuber’, elok sekali buku ini dicadangkan untuk membersihkan kefahaman bersama bagi menyedarkan kita daripada tiga perkara.

1. Berwaspada daripada mengikuti seseorang yang selalu diangkat sebagai agamawan terutamanya. Periksa dan semak tutur katanya sekiranya bertepatan dengan al-Quran dan Sunnah. Usah menjadi pengikut, bagai lembu dicucuk hidung. Disorong ke mana saja, akan ikut. Berhati-hatilah, kerana ramai para para pendusta hadis nabi SAW bertopengkan agamawan dan hawa nafsu.

2. Pengikut boleh terdiri daripada orang yang paling rapat di sekeliling kita. Oleh kerana itu, jadilah seperti Harun AS yang sentiasa menjadi penasihat yang baik kepada Musa AS kerana kelancaran dan kefasihan dalam percakapannya.

3. Tidak perlu terlalu megah terhadap pengikut yang kita sedia ada sehingga menjadikan kita gah disanjung lantas terkenal. Kadang kala, ia boleh menghantarkan kita kepada kesombongan dan riak yang boleh mematikan keikhlasan hati kita. Pentingnya, untuk kita senantiasa bermuhasabah.

Karya ini menghimpunkan banyak lagi peristiwa dan sirah yang boleh pembaca teladani. Merakamkan pesanan-pesanan tulus bagi menyembuhkan penyakit manusia yang cinta akan followers. Akhir kata, selamat membaca.

 


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Syuhara Suriati
Syuhara Suriati

Penulis artikel, antologi dan anekdot.🌷Isteri suri membaca dan menulis 🌷

Articles: 67