Ulasan Buku : Pendiam

INTROVERT, SI PENDIAM

Pasif dan kurang keyakinan diri, satu stigma yang seringkali diberikan kepada mereka-mereka yang memiliki personaliti introvert.

Sifat mereka yang kurang bercakap dan lebih banyak memerhati terkadang menyebabkan masyarakat merasakan mereka adalah individu yang bermasalah dari sudut hubungan sosial.

Di dalam buku ini, Aiman Amri dan Aqila Masri berjaya mengupas dengan begitu terperinci mengenai personaliti introvert yang perlu difahami tanpa perlu disalahkan erti.

Beberapa tahun kebelakangan ini, istilah introvert, extrovert dan ambivert sudah tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat kita dek kerana kajian ilmiah yang banyak dikongsikan oleh para pakar psikologi.

Masing-masing sudah mula untuk berusaha mengenali personaliti diri. Kajian personaliti ini banyak membantu dalam perkembangan diri dan menggilap potensi seseorang individu begitu juga dengan organisasi.

Saya kurang bersetuju sekiranya seseorang itu menyatakan dirinya seorang introvert hanya dengan sebab sekian sekian, saya seorang extrovert kerana saya lebih berada dalam kelompok yang ramai dan lain-lain lagi.

Secara peribadi, saya lebih bersetuju untuk menyatakan bahawasanya setiap manusia itu memiliki ketiga-tiga sifat ini, introvert, extrovert dan ambivert. Ketiga-tiga watak ini berperanan mengikut tempat, waktu dan keadaan.

Setiap personaliti memiliki kekuatan dan kelebihan masing-masing.

Buku ini banyak memecahkan stigma agar golongan introvert tidak lagi dipinggirkan. Golongan ini adalah golongan yang tidak banyak bercakap bukan kerana mereka tidak yakin.

Mereka adalah golongan yang lebih selesa untuk bercakap atau berkongsi pandangan hanya mengikut keperluan.

Ruang lingkup untuk seorang introvert lebih banyak berputar di dalam kalangan orang yang dipercayai dan dirasakan selesa untuk saling berkongsi.

Pun begitu, bukanlah bermakna introvert ini adalah golongan yang sama sekali tidak boleh kehadapan dan terjun ke dalam kelompok masyarakat.

Introvert juga mampu berada di dalam dunia extrovert sebagaimana extrovert juga memerlukan ciri-ciri introvert di dalam kehidupan mereka.

Hanya sanya beberapa persediaan dan praktikal perlu dilakukan.

Buku ini turut menjelaskan dengan sangat baik bahawasanya introvert perlu tahu mereka bukanlah individu yang tidak dapat menyumbang kepada masyarakat dan extrovert pula bukanlah golongan yang tidak memerlukan waktu untuk bersendirian dan berdiam.

Buku ini sesuai dimiliki oleh mereka yang berkaliber untuk menjadi pemimpin supaya lebih mudah untuk menyelami watak-watak di bawah kepimpinannya, juga kepada ibu bapa yang sedang berusaha mengenali personaliti dan potensi anak-anak masing-masing dan kepada para guru yang berkerja keras untuk mencungkil kekuatan serta kemahiran yang ada di dalam diri murid-murid mereka.

Dan buku ini juga sesuai untuk dibaca dengan hati yang terbuka oleh semua lapisan masyarakat kerana selagi mana kita berurusan dengan manusia, selagi itulah kita   perlu memahami kepelbagaian personaliti.

Setiap perbezaan jika diraikan dengan baik pasti mampu menemui titik temu.😊

#MembinaGenerasiIqra’


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Siti Nor Afifah Abdul Razak
Siti Nor Afifah Abdul Razak
Articles: 8