Ulasan Buku : Orang-Orang Biasa

Hari ini selesai menamatkan pembacaan novel “Orang-Orang Biasa” tulisan Andrea Hirata.

Ini ialah karya pertama Andrea Hirata yang saya baca walaupun sebelum ini sudah mendengar nama beliau berkali-kali, terutama melalui karyanya yang sangat terkenal iaitu “Laskar Pelangi” sehingga diterjemahkan ke beberapa buah bahasa yang lain.

Karya “Orang-Orang Biasa” ini ditulis kerana kekecewaan besar penulis yang gagal memperjuangkan nasib seorang anak miskin yang pintar untuk masuk ke Fakulti Perubatan Universiti Bengkulu kerana tidak mampu untuk membayar yuran pendahuluan.

Latar tempat bagi novel ini ialah sebuah desa yang bernama Belantik, yang mana penduduknya hanyalah orang-orang biasa, menjalani kehidupan harian yang biasa dan damai.

Awal novel ini penulis menceritakan tentang 10 orang sekawan yang sentiasa gagal dalam pelajaran mereka dan diletakkan kelas paling corot dan belakang sekali. Sudahlah diletakkan kelas paling belakang, tempat duduk pun paling belakang sekali. Senang kata, seperti tiada harapan untuk mereka ini berjaya dalam pelajaran.

Dewasa mereka, mereka ini hanya bekerja sebagai orang-orang biasa. Ada yang bekerja di warung, ada yang bekerja meniaga di tepi jalan. Untuk menjadi pegawai kerajaan, jauh sekali dengan kelulusan mereka yang tidak seberapa itu.

Ajaibnya, Aini, anak salah seorang daripada mereka itu, ditakdirkan Tuhan menjadi anak yang pintar, dek kerana gigih berusaha sehinggalah berjaya mendapat tawaran untuk ke Fakulti Perubatan. Namun, impian itu seakan-akan berhenti di tengah jalan, kerana masalah kewangan dan tidak mampu membayar yuran pendahuluan.

Dinah, ibu kepada Aini berasa sedih dengan apa yang berlaku, mengadukan hal ini kepada salah seorang daripada temannya itu. Setelah buntu mereka memikirkan cara untuk dapatkan wang, mereka pun sepakat untuk merompak bank di desa Belantik itu, bersama lapan orang sahabat mereka yang lain. Demi memperjuangkan nasib si gadis miskin untuk meneruskan cita-citanya menjadi doktor pakar.

Adakah mereka berjaya merompak bank dan mendapatkan duit untuk membayar biaya yuran pengajian Aini? Dengan IQ dan kecerdasan setahap mereka, berjayakah mereka menjayakan sebuah rencana yang sulit itu? Demi tidak ‘spoil’kan pengakhirannya, silalah beli buku ini dari Jejak Tarbiahdan mulakan membacanya.

Namun, novel ini sebenarnya menyedarkan saya satu perkara, iaitu manusia harus diberi peluang. Andrea Hirata menceritakan dalam novel ini, betapa mereka yang corot dan kecundang dalam pelajaran dan akademik tidak lain tidak bukan kerana kemiskinan dan peluang.

Bagaimanakah orang-orang miskin di kampung dan di desa ini hendak ke sekolah dan mereka ini hari-hari ‘struggle’ untuk mendapatkan sesuap nasi demi kelangsungan hidup?

Apatah lagi mencari wang untuk belanja sekolah? Ada dalam kalangan mereka terpaksa korbankan sekolah mereka, bekerja bersama orang tua mencari rezeki.

Ada dalam kalangan mereka yang pintar dan mempunyai potensi yang besar untuk melanjutkan pelajaran di peringkat menara gading serta mengubah nasib keluarga, namun hanya kerana ketiadaan wang, harapan itu mengubur, lalu kembalilah dia menjadi orang-orang biasa, sedangkan dia boleh menjadi orang luar biasa!

Antara babak dan dialog yang sangat menyentuh hati saya ialah apabila Aini bekerja keras datang ke rumah guru Matematiknya, Ibu Desi untuk belajar, walaupun awalnya Ibu Desi menolak kerana Aini sangat lambat “pickup”, sehinggalah Ibu Desi menerimanya.

“Mengapa kau begitu gigih belajar, Aini? Sudah 35 tahun aku menjadi guru, tak pernah kulihat ada murid segigih kau ni.”

“Kerana sekarang aku punya cita-cita, Bu.”

“Oh, jadi dulu kau tak punya cita-cita?”

“Tidak, Bu.”

“Katakan padaku Aini, apakah cita-citamu sekarang?”

“Aku mau jadi doktor, Bu.”

Demikianlah. Manusia jika punya cita-cita, akan berubah 180 darjah, dari pemalas kepada rajin, dari pesimis kepada optimis.

Kepada anda yang suka membaca novel, saya sangat sarankan membaca novel ini. Pasti anda sangat terinspirasi, dengan gaya penulisan Andrea Hirata. Selamat Membaca.

Muhammad Abdul Aziz
Madinah Munawwarah, Arab Saudi
17 Ogos 2019 | 16 Zulhijah 1440H


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Muhammad Abdul Aziz
Muhammad Abdul Aziz

Seorang fisioterapis yang kini melanjutkan pelajaran ijazah kedua dalam bidang pengajian Islam di Universiti Islam Madinah, Arab Saudi. Mencintai buku dan menikmati hirupan kopi di hujung minggu sambil membaca buku. Boleh ikuti beliau laman peribadi blog beliau, azizmadani.com

Articles: 5