Selamat Datang Ke Laman Web Konfess Buku
Ulasan Buku : Noktah Terjahit
Noktah Terjahit, buku sulung saudari Nik Nur Madihah yang berkongsi fasa-fasa kehidupan dalam meniti kedewasaan. Kitaran hidup di dunia, adakala kita di atas, selesa dengan pelbagai kesenangan, adakala kita di bawah, ditimpa pelbagai kesulitan. Sama ada kita sedang berada di atas atau di bawah tidaklah penting. Apa yang penting, kita terus menjalani kehidupan dengan keyakinan dan cinta.
Melalui enam noktah yang melengkapi buku ini, dapat dirumuskan bahawa penulis mengajak kita berdamai dengan setiap kesulitan yang dialami dalam hidup, tempuhilah dengan tenang. Dan berdamailah dengan setiap kebodohan kita pada masa lalu yang sebolehnya mahu dihapus dari ingatan. “Kita tidak hina kerana banyaknya parut luka. Kerana Tuhan selalu ada untuk menerima penyesalan kita.”- muka surat 31
Firman Allah dan kalam Nabi Muhammad SAW yang ‘dijahit’ pada setiap penghujung catatan mengukuhkan lagi isi penulisan beliau. Sekaligus menggambarkan kepentingan kedua-duanya dalam kehidupan seorang Muslim. Dinyatakan dalam prakata bahawa hadis yang dikongsi boleh disemak matannya dari laman web sunnah.com. Ini menunjukkan penulis tidak memasukkan hadis dengan sewenang-wenangnya. Masyarakat memerlukan lebih ramai penulis yang berhati-hati seperti beliau jika memasukkan hadis dalam penulisan, kerana berdusta atas nama nabi termasuk salah satu dosa besar.
Pada noktah terakhir, Warkah Untuk Perempuan, setiap gadis yang membaca catatan ini akan berasa seperti berada dalam pelukan seorang kakak yang sedang menasihati adik perempuannya dengan penuh cinta. Setiap patah katanya menumbuhkan harapan, memberikan kekuatan dan menjadikan kita istimewa sebagai perempuan dengan memahami erti menjadi seorang perempuan. Buku ini sangatlah baik untuk dimiliki oleh semua perempuan terutama perempuan yang sedang meningkat hidup.
Nur Mustika Adriena
6 Januari 2018|Alor Setar
Berminat untuk siarkan ulasan buku anda ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.
Jangan lupa untuk Like / Follow Konfess Buku di :
Facebook : Facebook.com/konfessbuku
Instagram : Instagram.com/konfessbuku
Twitter : Twitter.com/konfessbuku
#konfessbuku
#MalaysiaMembaca