Ulasan Buku : Namanya Tsu-Nami

Ulasan Buku : Namanya Tsu-Nami

Hi, aku Khairul. Baik, kali ini aku akan tuliskan pula mengenai sebuah buku yang baru dihabiskan pembacaannya bertajuk; Namanya Tsu-Nami. Sekali pandang atau sekali dengar, kita akan terbayang dengan tragedi tsunami yang pernah melanda beberapa tempat di dunia pada beberapa tahun yang lalu, kan? Ya, Memang tajuk ni ada kaitan dengan fenomena bencana alam yang berlaku pun, tambahan pula ia dicerekakan mengikut olahan imaginasi pengarang buku ni. Pengarang buku ini ialah tuan Dahiri Saini yang berasal dari Kota Samarahan, Sarawak. Melalui carian biografinya di internet; pengarang telah lama bergelumang dalam dunia penulisan semenjak tahun 90-an lagi. Beliau telah pun menceburi penulisan-penulisan yang berbentuk puisi, cerpen, novel, skrip drama/cereka tv, rencana dan esei. Karyanya juga dikatakan telah banyak tersiar di Dewan Sastera, Dewan Budaya, Dewan Bahasa, Dewan Masyarakat, Utusan Malaysia, Berita Harian, Majalah Wanita dan Keluarga. Buku Namanya Tsu-Nami ini adalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Ia telah diterbitkan untuk kali yang kedua pada tahun 2014.

Oh ya, buku ini ialah kumpulan atau himpunan dari sebilangan cerpen pengarang ya! Judulnya sendiri diambil dari salah satu tajuk cerpen menarik yang terdapat dalam buku ini. Buku ini telah memuatkan¬† sebanyak 14 buah cerpen yang membawa senario pertembungan konflik tertentu bagi setiap satu ceritanya. Tema yang dapat aku rumuskan daripada pembacaan buku ini ialah tentang pergeseran idea, pendapat, atau pegangan itu sendiri yang mana melibatkan dua pihak yang berlawanan. Bagi aku, membaca buku ini terasa seperti terawang-awang dengan gaya penulisan yang pengarang suakan untuk para pembacanya. Seketika macam berpijak di bumi yang rata, seketika yang lain pula seperti terapung-apung cuba mencari suatu yang konkrit untuk dijadikan asas pijakan. Cuba bayangkan macam mana? ūüėā Hahaha.

Aku umpamakan macam itu sebab bagi aku (yang mungkin kelemahan aku dalam membaca); ayat-ayat yang digunakan pengarang kadangkala terlalu panjang sehingga membuatkan aku lost dalam menggambarkan babak atau suasana yang cuba ditunjukkan. Ayat-ayatnya juga banyak terdiri daripada gabungan perkataan-perkataan yang abstrak sehingga sukar dibayangkan dan perlukan sedikit perenungan untuk ‘melihat’nya ūüėÖ.

Walau bagaimanapun, aku berpendapat itulah senjata dan cara permainan yang pengarang terapkan dalam penulisannya sehingga beliau dapat mencipta cerita yang jarang dicoretkan oleh penulis-penulis lain. Penggunaan kosa kata yang luas juga telah berjaya memaksa aku untuk menelaah Kamus Dewan bagi memahami dan menambah kosa kata aku sendiri. Melalui kumpulan cerpen ini juga, kita dihidangkan dengan cerita-cerita yang sarat dengan adat tradisi dan pantang larang yang tebal dalam beberapa kaum dan penempatan yang berlatarbelakangkan Malaysia. Kita bagaikan dipaksa berfikir berkenaan pergeseran dan konflik yang terhasil antara dua kelompok utama. Ia melibatkan pihak yang kehidupan dan prinsipnya dipandu oleh perubahan dunia menuju ke arus pemodenan dan/atau intelektualisme, dengan pihak yang jauh terpinggir dari perubahan dan pembangunan dunia namun kuat dalam mengamalkan idea, adat resam dan pantang larang yang konvensional dalam kehidupan seharian mereka. Barangkali, inilah kritikan yang cuba disampaikan oleh pengarang dalam karyanya.

Dan bagi aku, buku yang sarat dengan cubaan-cubaan pemasukan idea bagi sesebuah isu atau konflik sebegini bukanlah buku yang semua orang dapat hadam intisarinya. Tapi ia adalah satu pengalaman yang menarik dan berbaloi untuk dicuba. Kalau pun kita tak mampu untuk menangguk idea-idea atau isu-isu yang ingin diketengahkan, sekurang-kurangnya kita mungkin akan dapat menghayati kreativiti plot dan gaya penulisan unik yang telah pengarang dari Sarawak ini sajikan.

Sekian.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca