Selamat Datang Ke Laman Web Konfess Buku
Ulasan Buku : Motivasi Untuk Hati Yang Remuk.
Judul: Motivasi Untuk Hati Yang Remuk.
Penulis: Dr. Azizan Osman.
Penerbit: Aziz Osman Publication Sdn. Bhd.
Tahun Penerbitan: 2014.
Cetakan: Pertama.
Jumlah Halaman: 140.
“Gasak minda dengan ayat-ayat berevolusi kerana magikal pada tabiat diri adalah menerusi motivasi”.
Prakata ini diadaptasikan daripada 70 himpunan bait-bait sugesti bermotivasi yang terkumpul dalam naskhah setebal 140 halaman ini. Menyaring bunyi yang agak banyak apabila menyebut jumlah keseluruhan buku setebal 140 muka surat. Namun, untuk makluman pembaca, karya penulis bertaraf doktor ini hanyalah setebal kurang daripada 30 halaman sahaja, sekiranya kesemua 70 bilangan kata-kata perangsang semangat ini dilampirkan dengan saiz huruf yang standard atau dipadatkan dalam halaman secara penuh. Oleh yang demikian, jangan dimomokkan oleh jumlah akhir yang difikirkan tebal kerana pemikiran yang skeptikal akan merencatkan minat membaca dan menjadikan bacaan tidak dihadam hingga ke kulit terakhir. Namun sekiranya dilayan akan helaian buku, pembaca akan tercandu oleh kebanggaan pada diri kerana mampu melatih sabar untuk terus menelaah hingga khatam. Bukan itu sahaja, proses pembacaan akan meningkatkan daya tumpuan yang lebih baik terhadap unsur keilmuan dan tentunya minda yang sentiasa dalam dunia keintelektualan akan lebih sihat dan aktif.
Berbalik kepada intipati buku motivasi ini, ia merupakan suntikan dos vitamin kepada insan-insan yang sentiasa kelaparan dalam menagih inspirasi agar kehidupan menjadi lebih berkualiti. Betapa tidak, setiap manusia tidak berada di dalam lopak kasut manusia yang lain. Kadar mengoptimumkan diri dalam melakukan gerak kerja bagi setiap kelompok manusia juga berbeza. Andai semua manusia berdiri sama tinggi dan duduk sama paksi, tentunya tiada pelangi senja yang dinantikan oleh sesetengah orang. Walhal bagi segelintir umat manusia yang lain tidak langsung mengharapkan keindahan waktu petang kerana hadirnya gugusan bintang di malam hari lebih bergemerlapan tanpa memerlukan syarat hujan untuk memunculkan diri. Maksud tersurat daripada contoh tersirat ini ialah, tidak boleh dinafikan bahawa kedapatan orang sekeliling kita yang sangat agresif menggesa diri sendiri untuk berjaya sehingga sanggup bersusah-susah dahulu dan bersenang-lenang di kemudian hari. Kita juga tidak boleh menyangkal karakter manusia yang lain pula sekiranya sikapnya tidak langsung terarah kepada produktiviti kerana latar belakang setiap manusia adalah tidak serupa.
Perbincangannya, adakah tersedia jalan keluar bagi insan-insan yang telah menisbahkan dirinya kecundang di medan pertempuran kehidupan sekiranya dirinya ingin bangkit semula? Bukankah kita pernah mendengar ahli psikologi siaran Tv melantangkan suara bahawa perjuangan adalah sepanjang hayat, selama nyawa di badan tetap harus terus berjalan? Ya benar, yang sakit bukan kaki yang berlari. Tidakkah kaca televisyen memperlihatkan teknokrat hebat lebih banyak duduk daripada berdiri? Maka bukan salah kaki yang perlu dipaksa terus bekerja dan memangku diri. Namun, duduk adalah kosong dan tidak beruntung jika hanya diam dengan sia-sia. Justeru, harus duduk atau berdiri? Apa jua posisi tidak pernah dijadikan syarat untuk berjaya dan mencipta kejayaan. Semuanya bermula dari minda yang terpandu dan hati yang penuh tidak remuk. Inilah sebab yang menjadi kemaslahatan terbesar buku, ‘Motivasi untuk hati yang remuk’. Antara nasihat yang bernilai untuk saya kongsikan ialah,
“Jatuh adalah adat di dunia”. Maksud kata motivasi ini turut dikongsikan oleh penulis, iaitu “Kekuatan sebenar tergambar apabila kita bingkas bangkit kembali selepas jatuh. Kekuatan sebenar manusia tidak semata-mata bergantung kepada kekuatan fizikal tetapi kekuatan mental juga memainkan peranan penting. Terjah diri dengan bingkas bangun kembali tiap kali tersungkur. Durjanakan sikap putus asa yang cuba menguasai diri.
“Habuan manipulasi diri”. Penjelasan panjang yang ditipkan oleh penulis ialah, “Manipulasi diri dengan soalan, apakah selepas ini?, dengan mengajukan soalan kepada diri sendiri, kita akan memburu jawapan untuk persoalan tersebut. Hidup ini penting untuk mencari. Jika tidak mencari, pasti tidak akan berselisih dengan jawapannya”.
Inilah 2 motivasi daripada 70 bingkisan motivasi menerusi karya ini yang suka untuk dikongsikan dengan pembaca sekalian. Memetik ujaran seorang mentor, tangki motivasi perlu dipersipakan lebih awal yakni pada saat kita masih segar dengan semangat sedia kala kerana malang tidak berbau. Bahkan kita tidak pernah menduga ujian hari muka. Kadang kala kita sendiri yang menempah tiket untuk diuji dengan musibah hingga rebah, sebagaimana peribahasa, “Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai”. Kiasan ini turut berperanan sebagai peringatan dan juga motivasi bagi orang berakal supaya berfikir sebelum bertindak. Oleh itu, buat pelajar sekolah mahupun orang dewasa yang mencari-cari bahan motivasi untuk bacaan kesedaran agar lebih produktif dan positif, inilah dia. Singkatan motivasi disertakan dengan huraian untuk memahamkan kata di samping setiap halaman yang hadir bersama siri kartunis hitam putih yang berunsur jenaka buat hilai tawa pembaca. Carilah karya ini di Pustaka Kerajaan yang berdekatan kerana negara sememangnya menyediakannya secara percuma untuk kita semua, bahkan marcapada Malaysia amat beruntung andai rakyatnya kaya dengan motivasi dan buku ini tentunya tidak rugi untuk dibeli.
Berminat untuk siarkan ulasan buku anda ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.
Jangan lupa untuk Like / Follow Konfess Buku di :
Facebook : Facebook.com/konfessbuku
Instagram : Instagram.com/konfessbuku
Twitter : Twitter.com/konfessbuku
#konfessbuku
#MalaysiaMembaca