Ulasan Buku : Motivasi Daripada Hadith Nabi

Karya ini antara buku yang awal, buku kedua dihasilkan oleh seorang editor di Telaga Biru bernama Ustaz Ad-Dien Abdul Kadir yang bertajuk Motivasi Daripada Hadith Nabi.

Banyak benda yang saya belajar dalam buku ini, cara penerangan yang digunakan sangat mudah difahami dan berfakta. Laras bahasa yang digunakan sangat kemas, teratur dan halus yang menyentuh jiwa sesuai dengan tajuk motivasi untuk pembaca.

Karya ini sangat penting untuk kita sebagai umat Rasulullah SAW dalam usaha membentuk jatuh diri kita. Yang lebih penting lagi adalah membentuk kecintaan kita kepada Nabi kita Muhammad SAW. Seperti yang terdapat dalam kitab Syamail Muhammadiyah yang menghimpunkan hadith-hadith tentang kesempurnaan peribadi Rasulullah, buku ini juga membantu khasnya kepada semua lapisan pembaca dalam usaha mencari motivasi dan kekuatan selepas ditimpa ujian dalam hidup.

Karya ini juga secara tidak langsung mengajar kepada pembaca bagaimana untuk berinteraksi dengan hadith-hadith yang disandarkan kepada Nabi. Setiap hadith yang dinyatakan dalam buku ini ada diselitkan nama perawi dan dihujung glosari turut dinyatakan senarai kitab. Bukan itu sahaja, senarai nama ulama silam yang rata-rata kita baru dengar turut disertakan. Penulis mengajar kita adab dan disiplin berinteraksi dengan hadith nabi.

Saya telah menghabiskan buku ini selama 3 kali. Bukan kuantiti yang saya impikan, tetapi kualiti isi dalam kandungan ini membuat saya tertarik untuk terus membacanya. Setiap kali membacanya, bertambah ilmu. Dapat membaca hadith dan dapat kenal nama ulama silam yang baru didengar.

Antara hadith motivasi yang saya suka dalam buku ini adalah hadithmotivasi ke 14 yang bertaajuk Ujian Menghapus Dosa.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak ada penderitaan, kesengsaraan, sakit, kesedihan malah kerisauan yang menimpa seorang Mukmin melainkan ianya menjadi penebus bagi dosa-dosanya.”

(Riwayat Muslim)

Motivasi daripada hadith ini penulis (Ust Ad-Dien Abdul Kadir) telah menghuraikan bahawasanya setiap manusia melakukan kesalahan sepanjang hidupnya. Selain daripada taubat yang berfungsi menghapuskan dosa kita, Allah SWT juga menghapuskan dosa hamba-hambaNya dengan cara memberikan mereka ujian demi ujian. Semua itu adalah untuk menghapuskan dosa kesalahan yang pernah kita lakukan.

Jika seorang Nabi yang rapat hubungannya dengan Allah SWT pun turut merasai kesusahan dalam hidup, apatah lagi kita sebagai seorang insan biasa yang penuh dosa. Ujian hidup merupakan kewajipan yang perlu dirasai oleh setiap manusia.

Allah SWT bukan sekadar menghapuskan dosa kita semua dengan ujian yang menimpa bahkan malah darjat kita juga diangkat. Bukankah ini suatu kemuliaan dan nikmat yang besar Allah SWT berikan kepada kita?

Sekecil apapun ujian yag diberikan Allah, walaupun hanya luka kecil atau kesakitan akibat tertusuk duri, semua itu menjadi asbab terhapusnya dosa-dosa kecil kita dan diangkatnya darjat kita kepada satu kedudukan yang lebih baik.

Sungguh ini merupakan cara Allah SWT menunjukkan kasih sayangNya kepada kita semua seandainya kita menyedarinya.

Ibrahim at-Taimi (wafat 120H) berkata:

“Tidak ada hamba yang diberikan oleh Allah SWT terhadap kesakitan, kesabaran terhadap bala, dan kesabaran terhadap musibah melainkan dia telah diberikan sesuatu yang paling baik daripada orang lain selepas iman kepada Allah.”

Kesimpulannya, buku Motivasi Daripada Hadith Nabi merupakan buku yang sangat bagus untuk dibaca. Untuk membentuk cinta kepada Nabi, membentuk akhlak yang baik ikut cara Nabi, mencari Motivasi untuk diri, buku ini sangat-sangat yang saya galakkan kepada pembaca. Ibarat pepatah Melayu ‘Sambil Menyelam Minum Air’.

MOTIVASI DARIPADA HADITH NABI – Ust Ad-Dien Abdul Kadir
Page: 53
Price: RM23


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Mohd Nasrun Mohd Talib
Mohd Nasrun Mohd Talib
Articles: 1