Ulasan Buku : Mitos Peribumi Malas

Tajuk Buku: Mitos Peribumi Malas

Penulis: Syed Hussein Alatas

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)

Bilangan Halaman: 280

Cetakan: Keenam, 2019

Doktrin Melayu malas, Melayu tidak menepati masa (janji Melayu), Melayu lemah, dan bermacam lagi sifat-sifat negatif yang ditabur bukanlah perkara yang baharu. Pandangan negatif kolonial Barat (British) terhadap masyarakat Melayu sememangnya meninggalkan kesan sehingga kini seolah-olah itulah sifat yang ada pada masyarakat Melayu (tidak ada pada bangsa yang lain).

Malah yang menyedihkan lagi bahawa orang bijak pandai, ilmuwan, pemimpin politik sendiri juga terpedaya dan percaya dengan pandangan kolonial tersebut. Bukan setakat membenarkan, pandangan kolonial ini ditanam dalam minda masyarakat, tidak ada pula kajian untuk tidak membenarkan tuduhan tersebut, dibawa pula dari turun temurun sehinggakan cucu cicit percaya bahawa nenek moyangnya lemah, malas, mungkir janji dan sebagainya.

Hal ini menyebabkan penulis Syed Hussein Alatas di dalam bukunya Mitos Peribumi Malas (terjemahan The Myth of The Lazy Native) mengkaji atas sebab munasabab mengapa pandangan skeptikal terhadap orang peribumi (Malaysia, Indonesia dan Filipina) sering kali berputar terhadap isu kemalasan yang tidak ada penghujung lagi merimaskan. Pandangan sebegini dikritik oleh penulis dengan menyatakan bahawa sifat malas ini bukan terletak pada sesuatu bangsa sahaja malah sifat tersebut akan ada pada semua individu tidak kira warna kulit, bangsa dan agama.

Tuduhan sifat malas yang dilemparkan oleh kolonial pada masyarakat Melayu satu ketika dahulu merupakan perkara yang tidak masuk akal dan kelakar. Masakan tidak, tuduhan malas berpunca daripada sikap masyarakat Melayu yang tidak mahu berkhidmat (bekerja) dengan kolonial dalam sektor perlombongan terus digelar pemalas. Tidak seperti imigran yang dibawa oleh kolonial, mereka patuh untuk bekerja dengan tuan barunya. Masyarakat Melayu lebih senang mengusahakan tanaman sendiri, memelihara ternakan, menjala ikan daripada menguntungkan pihak kolonial yang akhirnya dibawa ke negara asal kolonial. Bagaimana tuduhan malas ini boleh diterima sedangkan masyarakat Melayu bekerja setiap hari?

Jika benarlah apa yang dikatakan oleh kolonial terhadap kemalasan masyarakat Melayu berkhidmat di sektor perlombongan, mengapa di Kinta sendiri pada awal 1890-an terdapat 350 buah perlombongan milik orang Melayu? Jawapannya mudah, masyarakat Melayu tidak mahu menjadi kuli pada kolonial. Tuduhan sebegini sememangnya tidak asing bagi kolonial dalam kunjungan seorang wanita Inggeris di Malaya selama seminggu pada tahun 1879. Memetik dalam di dalam buku ini;

“…Kaum wanitanya bermalas-malasam di rumah, beberapa di antaranya membersihkan ikan, yang lain menumbuk padi, tetapi mereka tidak bekerja, dan wang yang diperlukan untuk membeli baju dapat dicari dengan menjual pengesat kaki atau buah-buahan hutan”

“Dapat kita tanyakan pada penulis tersebut, apakah yang diertikan dengan kerja di sini? Apakah membersihkan ikan dan menumbuk padi bukan kerja? Bekerja di sini bererti mencari nafkah di luar rumah. Apakah membuat pengesat kaki dan menjual buah-buahan bukan kerja? Jelas kiranya bahawa bekerja di sini bererti kegiatan yang diterapkan oleh kapitalisme penjajah. Dia menganggap mereka bekerja jika kaum wanita menjadi kuli atau pembantu milik ladang Inggeris atau pegawai di pejabat”.

Daripada pandangan sebeginilah kita boleh tahu bahawa pandangan ‘bekerja’ yang dimaksudkan oleh kolonial hanyalah apabila bekerja di bawah mereka atau menjadi kuli ladang dan lombong. Jika tidak, bukan kerja namanya bagi pihak kolonial.

Penulis juga mengkritik buku Revolusi Mental terbitan UMNO (tidak diketahui penulis) dan Malay Dilemma tulisan Tun Mahathir yang menambah rumitkan lagi pandangan kemalasan masyarakat Melayu ini. Di dalam buku Revolusi Mental, tertulis bahawa masyarakat Melayu ‘tidak mampu berdikari’, ‘inisiatif’, ‘ketepatan waktu’ kerana dahulunya perkataan tersebut tidak ada di dalam kamus Bahasa Melayu. Sangat-sangat tidak munasabah alasannya. Penulis menyatakan dalam petikan berikut;

“Ini merupakan kenyataan yang menyolok kerana ‘inisiatif’ dan ‘berdikari’ ditunjukkan oleh kaum Melayu sepanjang sejarah. Pengharungan laut, kegiatan pertanian, pertempuran, perompakan, diplomasi, perdagangan, dan organisasi sosial, mungkinkah terjadi tanpa rasa kepercayaan diri dan inisiatif?”

“Kalau begitu, sebelum datangnya Islam, masyarakat Melayu tidak sama sekali, kerana tidak ada kata Melayu untuk ‘fikir’. Kata Melayu ‘fikir’ sekarang ini berasal daripada bahasa Arab!”

Begitu berat tuduhan yang dilemparkan oleh kolonial yang sehingga hari ini sukar untuk dipadamkan. Tuduhan sebegini menyebabkan masyarakat Melayu dipandang rendah oleh orang lain sedangkan perkara sebegini tidaklah masuk dek akal jikalau kita menelusuri sejarah panjang satu ketika dahulu. Sebagai generasi baharu, menjadi tanggungjawab untuk memperbetulkan tuduhan sebegini bagi meletakkan kedudukan yang sebetulnya, bukan hanya mengiyakan semberono tanpa menyelidik.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Muhammad Syahiran Ramli
Muhammad Syahiran Ramli

Pecandu bauan buku.

Articles: 4