Ulasan Buku : Misi Bebas Hutang

“Orang kaya bukanlah mereka yang bergaji besar. Bergaji besar belum tentu kaya, dan yang bergaji kecil belum tentu miskin.”

Buku Misi Bebas Hutang : Zero Hutang 2.0 ditulis oleh Mohd Zulkifli Shafie. Buku terbitan Galeri Ilmu yang mempunyai 232 muka surat ini ialah kisah pengalaman penulis membina kekayaan dengan hasil usahanya sendiri dan kebijaksanaannya mengurus kewangan. Buku ini ialah buku kewangan pertama saya dan saya sangat berpuas hati dengannya. Buku ini mengajarkan cara menyimpan wang dengan betul, cara membebaskan diri daripada hutang, cara mengumpul harta dan menguruskannya dengan bijak serta cara berhutang tanpa bebanan hutang dan perbezaan hutang positif dan hutang negatif.

Selepas membaca pengalaman penulis yang dikongsi dalam buku ini, ya beliau berhak mendapat kekayaan seperti hari ini setelah cekal melalui tapak-tapak kesusahan dalam usaha mengumpul harta. Semua orang mahu menjadi kaya, tetapi tidak semua orang bersedia, bijak dan sanggup bertahan melalui prosesnya. Suatu ketika, penulis, Mohd Zulkifli Shafie hanyalah seorang eksekutif biasa dengan gaji kasar bulanan RM1600. Beliau sudah berkeluarga, isterinya tidak berkerja, mempunyai anak-anak yang masih kecil, menetap di Kuala Lumpur, mempunyai hutang PTPTN dan menanggung hutang PTPTN isteri.

Kelihatan seperti beliau tidak mampu survive apabila membayangkan baki wang gajinya setelah ditolak KWSP, membayar hutang pendidikan, dan kos sara hidup sebuah keluarga yang tinggal di bandar Kuala Lumpur bukannya sedikit. Tetapi hari ini beliau ialah seorang yang bebas kewangan – tidak berkerja pun ada duit. Kisah pengalaman beliau boleh dibaca dengan lebih terperinci dalam buku ini dan pastinya akan membuat kita terinspirasi.

Melalui buku ini dapat saya simpulkan, terdapat dua langkah perjalanan menuju kebebasan kewangan iaitu pertama, bebaskan diri dari semua hutang negatif dan kedua, mengumpul harta. Bukan perjalanan sehari semalam kerana itu ia perlu tekad, berani dan disiplin. Misi bebas hutang bermula dengan cara hidup di bawah paras kemampuan, bukan ikut kemampuan seperti yang kita biasa dengar. Jika tidak sanggup berjimat cermat seperti ini, menjadi kaya akan tinggal angan-angan sahaja. Selain itu, asingkan duit simpanan terlebih dahulu, bukan ada duit lebih baru simpan. Kerana hakikatnya, tiada lebihan wang pun yang disimpan pada hujung bulan. Selagi duit di tangan, selagi itu kita akan berbelanja. Oleh itu, jika mahu ada simpanan wang, simpan dahulu sejumlah wang, belanja selebihnya.

“Kewangan adalah soal survival, bukan untuk bergaya atau menunjuk kaya.”

Kemudian, cari pendapatan kedua melalui perniagaan dan bacalah buku kewangan. Jangan berasa rugi membeli buku kewangan. Harga buku kewangan tidaklah mahal, tidak setanding dengan isi buku yang mencakupi ilmu dan pengalaman yang membantu memperbaiki kedudukan kewangan kita. Di samping penulis berkongsi cara dan strategi membina kekayaan, penulis juga memandu kita menjadi orang berharta yang ada matlamat dan niat yang baik selari dengan nilai-nilai Islam.

Beliau membuktikan orang biasa-biasa juga boleh kaya dengan usaha sendiri bukan kerana harta warisan atau harta karun. Teknik dan strategi kewangan yang dikongsikan dalam buku ini mampu diaplikasikan oleh semua orang, asalkan ada keazaman untuk berubah. Tiada siapa dapat mengubah diri dan nasib kita kalau diri sendiri tidak mahu berbuat apa-apa.

Buku ini saya sangat syorkan kepada sesiapa yang mempunyai azam untuk meraih kehidupan POM-POM (peace of mind, plenty of money) suatu hari nanti. Dan para siswazah juga perlu membaca buku ini untuk mengambil manfaat dan iktibar sebagai persediaan menghadapi kehidupan selepas tamat belajar, serta ada nasihat istimewa khusus buat anda daripada penulis dalam buku ini.

Boleh dapatkan buku ini di www.bookcafe.com.my

Selamat membaca dan semoga bermanfaat.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Nur Mustika Adriena
Nur Mustika Adriena

Perempuan yang membaca.

Articles: 22