Selamat Datang Ke Laman Web Konfess Buku
Ulasan Buku : Menuju Rumah Tangga Bahagia
Nama buku: Menuju Rumah Tangga Bahagia
Penulis: Dr. Najla’ as-Sayyid Nayil
Muka surat: 246
Penerbit: Pustaka Al-Inabah
Tahun terbit: 2013
Cetakan: Pertama
Tidak ada pasangan yang tidak mengimpikan sebuah kebahagiaan. Tidak ada suami dan isteri yang mahu berpisah jika masih menyimpan perasaan cinta.
Bahagia ialah satu hal yang subjektif kerana tidak semua pasangan yang berbahagia dalam perkahwinannya. Adakalanya, kemelut dalam rumah tangga yang telah lama dikenderai bersama telah menawarkan rasa cinta yang pernah dihadirkan dalam jiwa.
Ada ketikanya, kerana ego dan ketidaksudian memujuk hati pasangan yang sedang marak oleh api kemarahan menyebabkan hubungan ini hancur dan menemukan titik kesudahan di pengakhirannya.
Tidak mudah membentuk sebuah rumah tangga yang bahagia jika kita sendiri adalah penyebabnya. Justeru itulah, kita amat diserukan mencari jalan penyelesaian bagi membantu mewujudkan keluarga yang aman daripada kecelaruan dan kemusnahan.
Inilah buku yang seharusnya menjadi rujukan utama bagi membimbing pasangan mencipta rumah tangga nan bahagia. Buku ini merupakan karangan Dr. Najla’ as-Sayyid Nayil yang dipetik dari judul asal beliau yang berjudul Kuuni Zaujatan Najihah yang bermaksud, Jadilah Seorang Isteri Yang Berjaya.
Jika edisi terjemahannya pula, judul buku ini diubah sedikit berlainan dengan diberikan tajuk, Menuju Rumah Tangga Bahagia. Walaupun judul yang berbeza, namun buku ini sebenarnya lebih ditujukan kepada golongan wanita yang bercita-cita hendak memperjuangkan rumah tangganya.
Masya-Allah. kupasan Dr. Najla’ ini menghampiri realiti terhadap pelbagai krisis oleh pasangan suami isteri yang saban hari berlaku. Berdasarkan kajian oleh Dr. Najla’ menunjukkan bahawa kerosakan dalam rumah tangga berpunca daripada sikap dan kelakuan buruk yang dihuni oleh kebanyakan para isteri.
Dalam hadis Nabi SAW menyatakan mengenai banyaknya wanita dihumban ke dalam neraka kerana kekufurannya kepada suami. Hadis ini menjadi bukti terbesar terhadap porak perandanya hubungan suami isteri, adalah kerana isteri tidak lagi patuh ataupun taat kepada suami.
Lisan yang tidak terkawal seperti meninggikan suara, mengeluh terhadap nikmat rezeki yang ada, menolak pelawaan suami untuk bersetubuh, tidak pandai berhias dan bermacam-macam perkara lagi yang boleh membuatkan rumah tangga renggang adalah sebahagian penyebab seperti yang dinyatakan dalam buku ini.
Hal-hal ini mungkin dilihat remeh oleh sesetengah pihak yang lain. Walau bagaimanapun, seorang isteri wajib mengambil kira kepentingan perkara berikut selepas sahaja dia dikahwinkan dengan seorang lelaki.
Jurang persefahaman boleh wujud kerana ia datang daripada kelakuan isteri yang kurang baik dan layanan yang tidak baik. Oleh hal yang demikian, penulis membawakan 12 langkah bagi wanita memantapkan dirinya menjadi isteri terbaik, di samping terdapat teknik yang padu bagi menambat hati suami disertakan sekali.
Bahagia yang ada disentuh oleh Dr. Najla’ juga amat berkaitan sebelum dan selepas wanita diijab kabulkan. Memilih lelaki yang baik agamanya misalnya, isteri sendiri wajib mengetahui hak-hak dan tujuan perkahwinannya, barulah rumah tangga boleh menuju bahagia.
Kalau diikutkan rasa, ramai sebenarnya dalam kalangan isteri yang ingin menuntut cerai. Kalau diikutkan amarah, ramai sesungguhnya dalam kalangan suami mahu melafazkan talak.
Sikap ini boleh terjadi kerana kelemahan manusia sebagai makhluk Allah yang dikurniakan seketul hati dan perasan. Namun, buku ini membawakan nilai-nilai Islam yang mengajarkan kepada kita panduan menguruskan hati, perasaan dan perbuatan terutamannya ketika kita telah pun memasuki fasa berkeluarga.
Konklusinya, buku ini adalah bonus dan tiket untuk wanita sekalian ‘alert’ terhadap perkara-perkara yang boleh menambahkan cinta dan sayang kepada pasangan, suami yang dikasihinya. Untuk itu, semailah kebaikan, terimalah seadanya, galaslah tanggungjawab, insya-Allah dengan izin Allah rumah tangga kita akan kekal diwarnai pelangi bahagia.
“Dalam hal ini, isteri memiliki peranan yang sangat dominan, kerana isteri merupakan ratu di dalam keluarganya dan menghabiskan seluruh atau sebahagian besar waktunya di dalam rumahnya.” Petikan pada bahagian Blurb buku, Menuju Rumah tangga bahagia, Dr. Najla’ as-Sayyid Nayil.
Berminat untuk siarkan ulasan buku anda ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.
Jangan lupa untuk Like / Follow Konfess Buku di :
Facebook : Facebook.com/konfessbuku
Instagram : Instagram.com/konfessbuku
Twitter : Twitter.com/konfessbuku
#konfessbuku
#MalaysiaMembaca